Kami tahu dalam zaman penuh informasi, kadangkala ada banyak berita yang mudah saja untuk terlepas daripada pandangan kita.
Jadi di sini kami kumpulkan lima berita meliputi lima topik berbeza iaitu dunia, ekonomi, sains, nasional dan juga Islam untuk memastikan anda pembaca Iluminasi dapat mengikuti berita-berita ini dengan mudah.
Berikut adalah berita-berita menarik yang dapat kami kongsikan untuk anda minggu ini.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Jamal Kashoggi dibunuh atas arahan Putera Mohammed Salman
Dalam siasatan yang telah dilakukan oleh pihak CIA, mereka membuat kesimpulan berdasarkan semua maklumat yang ada bahawa insiden pembunuhan melibatkan Jamal Kashoggi, seorang jurnalis kelahiran Arab Saudi sebenarnya dilakukan atas arahan Putera Mohammed Salman sendiri.
Pendedahan itu sekaligus menyukarkan proses perdamaian yang sedang diusahakan di antara Amerika Syarikat, Turki dan juga Arab Saudi. Bukti yang diperolehi CIA menunjukkan wujud rakaman perbualan di antara Putera Mohammed memberikan arahan pembunuhan dilakukan secepat mungkin.
Ketika ini, 21 orang ejen Arab Saudi yang dipercayai terlibat telah ditahan, dengan lima daripadanya dijangka bakal berdepan hukuman mati.
2. Malaysia kritik Kerajaan Australia kerana iktiraf Jerusalem
Dalam persidangan kemuncak negara-negara Asean, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara terbuka mempersoalkan keperluan kerajaan Australia merancang untuk memindahkan pejabat kedutaan mereka ke Jerusalem.
Teguran ikhlas itu yang disuarakan kepada Perdana Menteri Australia sendiri, Scott Morrison mempertikaikan adakah Australia secara tak langsung sebenarnya mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, menyamakan sokongan tidak rasmi itu seperti membenarkan insiden keganasan yang dilakukan ke atas penduduk Palestin berleluasa. Kerajaan Australia akan membuat keputusan pada bulan Disember kelak. (rujukan)
3. Kejatuhan BitCoin
Dalam tempoh seminggu, nilai matawang digital BitCoin telah turun mendadak sehingga mencapai paras RM17,704 - susut hampir 1/3 nilai asalnya sebelum itu. Proses menjanan BitCoin, yang banyak dilakukan oleh perusahaan besar dan individu-individu yang melabur, mula tertekan disebabkan penurunan ketara itu.
Salah sebuah firma BitCoin terbesar dunia, Giga Watt terpaksa melakukan permohonan status bankrap berikutan kegagalan mereka untuk menanggung hutang yang dianggarkan mencecah lebih RM32 juta, disebabkan penurunan itu. Kos operasi yang memerlukan perbelanjaan elektrik tinggi menjadi punca utama.
Setakat ini firma-firma penjana BitCoin di China berada dalam keadaan kurang terkesan disebabkan penurunan nilai, dibantu oleh kos elektrik yang rendah di sana. Bagaimanapun, sudah mula kedengaran laporan beberapa firma terpaksa menghentikan operasi sebesar 20,000 unit penjana disebabkan keuntungan yang turun terlalu banyak.
Walaupun begitu, penganalisa berpendapat harga BitCoin yang sering diperkatakan ini bakal menampakkan kenaikan semula bermula tahun hadapan. Berapa kenaikannya? Tidak dapat dijangka buat masa sekarang. (rujukan)
4. Matahari tiruan China
Kami sudah melaporkan bagaimana kerajaan China sedang dalam perancangan mahu membina 'bulan tiruan' bagi mengurangkan kos elektrik negara mereka pada waktu malam.
Pada 15 November 2018, sekumpulan saintis dan penyelidik daripada China Institute of Plasma Physics mengumumkan kejayaan mereka membina sebuah sistem yang dinamakan Experimental Advanced Superconducting Tokamak atau EAST yang mampu mencapai suhu 100 juta darjah celcius. Sekiranya dibandingkan dengan matahari, EAST enam kali lebih panas berbandingnya yang 'hanya' mampu mencapai 15 juta darja celcius.
Dengan menggunakan teknologi gabungan nuklear dan sejenis alat yang digelarkan Tokamak, sebuah alat yang dibina khas untuk melakukan proses yang sama seperti apa yang berlaku pada matahari - proses yang dilakukan adalah berlawanan dengan teknologi nuklear yang sedia ada sekarang kerana reaktor tersebut melakukan penggabungan (fusion) berbanding pemecahan (fission).
Ini merendahkan risiko berlakunya kes-kes letupan nuklear seperti banyak yang telah berlaku sebelum ini. (rujukan)
5. Larangan dan peraturan tali pinggang serta vape yang baru diumumkan
Kerajaan Malaysia menerusi kementerian yang terlibat, telah pun mengumumkan penetapan untuk semua pengusaha bas ekspress perlu memasangkan tali pinggang keselamatan, pada semua unit bas yang baru.
Ini adalah satu langkah yang penulis rasakan sangat perlu, memandangkan agak tidak logik jugalah kereta yang menempatkan lima orang di dalamnya memerlukan tali pinggang, sementara bas pula tidak ada. Syarat baru ini akan dimulakan pada tahun 2020.
Dalam satu kenyataan lain, kementerian kesihatan juga mengumumkan bahawa rokok jenis elektronik atau vape dan juga peralatan shisha yang menjadi kegilaan anak muda negara kita, turut sama dilarang untuk digunakan dalam semua premis makanan, berkuatkuasa tahun depan. Kami menyambut baik langkah ini dan berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana memperkenalkan peraturan ini, yang sepatutnya diperkenalkan sejak sekian lama.