India adalah negara ke-2 di dunia yang mempunyai kepadatan penduduk yang paling tinggi dan diantaranya ramai golongan kanak-kanak.Akan tetapi dunia juga menyaksikan sebahagian besar kanak-kanak di sana terdiri dari golongan anak yatim dan anak jalanan yang terbiar dan hidup melarat dan seringkali dipandang hina di mata masyarakat.

Kisah hidup mengenai Sindhutai Sapkal adalah salah satu kisah hitam di antara berjuta kanak-kanak malang di India. Dia dilahirkan pada tahun 1948 dan dibesarkan di dalam keluarga pengembala lembu di Wardha di daerah Maharashta. Dia diberi gelaran “Chindi” yang bermaksud secebis kain yang koyak oleh masyarakat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun begitu Sindhutai yang masih muda ini sangat dahagakan ilmu pengetahuan. Bapanya berusaha memberikannya pendidikan walaupun ditentang oleh ibunya sendiri. Disebabkan kekangan kemiskinan keluarganya, Sindhutai hanya menggunakan daun pohon Bharadi sebagai nota catitan untuk pembelajarannya.

sindhutai sapkal

Hanya berupaya menghabiskan pembelajaran pada tahun 4, Sindhutai terpaksa berhenti sekolah apabila dipaksa berkahwin pada usia seawal 10 tahun kerana ingin mengurangkan beban keluarganya yang sangat miskin. Dia berkahwin dengan lelaki berumur 30 tahun bernama Shrihari Sapkal atau Harbaji, pengembala lembu dari kampung Navargaon di daerah yang sama.

Ketika berumur 20 tahun, Sindhutai telahpun melahirkan 3 orang anak. Dia juga merupakan seorang aktivis yang menentang perbuatan seorang lelaki tempatan yang dikenali ramai kerana memungut najis kering lembu secara percuma dari penternak untuk dijadikan keuntungan.

sindhutai siptai sapkal

Tuduhan Sindhutai ternyata benar dan ini mengundang pemungut cukai untuk datang ke kampungnya dan memberi notis amaran serta denda kepada lelaki tersebut. Berang dimalukan oleh seorang wanita dari keluarga miskin, lelaki itu telah berjaya menghasut suami Sindhutai untuk menghalaunya keluar dari rumah.

Lebih menyedihkan lagi ketika itu Sindhutai sedang sarat mengandung 9 bulan dan pada malam itu juga dia telah melahirkan seorang bayi perempuan di dalam kandang lembu bersebelahan rumahnya. Sindhutai yang malang itu juga terpaksa menggunakan batu tajam untuk memotong tali pusat bayi yang baru dilahirkannya dan terpaksa berjalan sejauh beberapa kilometer dari rumahnya ke rumah ibunya.

sindhutai suap

Lebih menyedihkan lagi, setibanya di rumah orang tuanya dia dihalau oleh ibunya sendiri kerana malu dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.Dia terpaksa merempat dan meminta sedekah berdekatan stesen keretapi demi sesuap makanan untuk bayi dan dirinya.Dia juga pernah hampir membunuh diri akibat tertekan.

Akan tetapi segalanya berubah apabila dia menyedari lebih ramai yang senasib dengannya tergolong dari kalangan kanak-kanak.

Dia mengambil keputusan untuk membantu kanak-kanak malang dengan mengambil mereka sebagai anak angkat dan menjaga mereka seboleh yang mungkin. Anak kandungnya sendiri diberikannya sebagai anak angkat kepada Shrimant Dagdu Sheth Halwai kerana tidak mahu ada perasaan cemburu antara anak sendiri dengan anak angkatnya yang ramai.

sindhutai santai

Sindhutai menyerahkan seluruh hidupnya untuk anak-anak yatim yang dijaganya. Semakin lama semakin ramai sehingga kini mencecah 1400 orang. Mereka memanggilnya sebagai “Mai” atau emak. Kini dia mempunyai 207 orang menantu lelaki, 36 menantu wanita dan lebih dari seribu orang cucu.

Ramai diantara anak angkatnya yang telah berjaya dan menjadi pekerja profesional seperti doktor dan peguam. Sebilangan diantara anak angkatnya termasuk anak perempuannya sendiri membuka rumah anak yatim mereka sendiri. Salah seorang anak angkatnya sedang membuat PhD mengenai kisah hidup Sindhutai.

Dia telah memenangi anugerah sebanyak 273 kali kerana kesungguhannya itu. Dia gunakan wang yang diberikan melalui anugerah itu untuk membeli sebidang tanah untuknya membangunkan sebuah pusat anak yatim.

Pusat yang diberi nama Sanmati Bal Niketan itu terletak di Hadapsar dan menempatkan lebih dari 300 kanak-kanak malang terbiar. Bekas suaminya juga telah kembali kepadanya untuk memohon maaf dan dia menerimanya.

Jika berkunjung ke pusat jagaannya, dia akan bergurau dengan menyatakan bahawa suaminya itu adalah anaknya yang paling tua. Filem Mee Sindhutai Sapkal yang diterbitkan pada 2010 menceritakan tentang susah payah wanita berjiwa besar dan sentiasa berfikiran positif ini dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik. Disebabkan usahanya juga dia digelar “ibu semua anak yatim” di India.

sindhutai award

Namun begitu dia masih juga aktif sebagai aktivis dan telah terlibat dalam membantu menyelamatkan lebih 84 buah kampung. Penduduk kampung di daerahnya seringkali dicederakan oleh binatang buas dari hutan berdekatan seperti ular, harimau, beruang dan gajah.

Cadangannya telah menarik perhatian Menteri Perhutanan dan telah bersetuju untuk menambah baik sistem pampasan kerana sebelum ini tiada pampasan diberikan kepada mangsa yang diserang sedangkan pampasan hanya diberikan kepada haiwan ternakan dan tanaman yang dirosakkan sahaja.

Walaupun dia kurang berpelajaran serta sering dipandang hina oleh masyarakat sebelum ini kerana kemiskinan, namun dia berjaya membuktikan bahawa dirinya merupakan salah seorang inspirasi kepada ribuan orang di luar sana.

Permulaan yang sangat teruk bagi dirinya juga membuktikan nasib seseorang itu boleh berubah dengan sikap positif dan kesungguhan serta usaha. Semoga kisah Sindhutai ini menjadi inspirasi kepada anda juga.

sindhutai anak yatim 502




Hakcipta iluminasi.com (2017)