Sejak dahulu lagi, istana bukan sahaja menjadi tempat tinggal pemerintah sesuatu kerajaan, tetapi juga pusat pentadbiran. Disebabkan itulah istana merupakan kesan tinggalan sejarah yang mesti dipelihara. Maka, tidak hairanlah sesetengah penjajajah bertindak memusnahkan istana kerajaan yang ditawan bagi memusnahkan terus kesan sejarah musuh mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada zaman dahulu juga, istana juga dibina dengan tembok-tembok besar kerana fungsinya juga sebagai kubu untuk melindungi penduduk kawasan itu daripada seranngan tentera pihak musuh. Dalam kebanyakan kes, struktur batu besar yang ada sekarang dibina setelah kubu awal atau istana yang lebih kecil dibina.
Bagi istana yang terselamat dan masih wujud pula, kerajaan biasanya akan membelanjakan sejumlah wang bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilakukan, seterusnya membolehkan istana tersebut dibuka untuk orang ramai pada hari ini sebagai tarikan pelancong.
Untuk artikel kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi pula 7 istana tertua dunia yang masih wujud dan kekal utuh sehingga ke hari ini. Diharapkan istana-istana ini dapat dikekalkan untuk tatapan generasi yang akan datang.
7. Alcázar
Alcázar pada asalnya adalah kubu Arab yang dibina di atas tinggalan kubu Rom. Catatan tertulis terawal yang menyebutkan istana ni wujud sekitar tahun 1120 setelah kota ini ditakluki oleh Raja Alfonso VI.
Di bawah pemerintahan Raja Alfonso VIII dan isterinya Eleanor dari England, istana ini menjadi kediaman utama mereka dan mereka memulakan pembinaan istana seperti yang ada sekarang. Pada tahun 1882, istana ini perlahan-lahan dikembalikan ke keadaan asalnya dan pada tahun 1896, Raja Alfonso XIII memberikan istana ini kepada Kementerian Perang untuk digunakan sebagai kolej tentera.
6. Istana Rochester
Istana Rochester dibangunkan pada sekitar tahun 1080-an setelah William II meminta Gundulf, paderi Rochester untuk membina sebuah istana batu di Rochester agar beliau dapat mengambil alih kuasa sebuah lintasan sungai yang penting. Istana batu ini adalah yang paling awal seumpamanya di England kerana banyak istana awal negara ini pada mulanya dibina dari kayu.
Pada tahun 1127, paderi besar Cantebury mula membina kediaman istana besar yang merupakan salah satu bangunan terpelihara yang terbaik di England atau Perancis dan juga bangunan tertinggi yang dapat bertahan di Eropah. Istana ini telah diperbaiki pada abad ke-19 dan ke-20 dan hari ini dibuka untuk orang ramai di bawah jagaan Warisan Inggeris.
5. Istana Hohensalzburg
Kubu awal Istana Hohensalzburg dibina pada tahun 1077 oleh Gebhard I dari Helffenstein, yang merupakan paderi besar pada masa itu. Walaupun Paderi Gebhard terpaksa diusir dan disingkirkan, penggantinya telah menyelesaikan pembinaan istana ini.
Semasa pemerintahan Empayar Rom, para paderi besar Salzburg terus memperluas istana untuk melindungi kekuasaan dan kepentingan mereka. Sekitar tahun 1500, paderi besar Leonard von Keutschach menyelesaikan pembinaan kubu seperti yang kelihatan sekarang.
4. Istana Windsor
Walaupun terdapat kediaman kerabat Raja di Windsor pada zaman Saxon, sekitar abad ke-9, pembinaan bangunan pertama istana ini bermula sekitar tahun 1070 setelah Penjajahan Norman ke England oleh William the Conqueror. Sejak pemerintahan Raja Henry I, istana Windsor telah digunakan oleh raja Inggeris yang memerintah, yang menjadikannya istana paling lama didiami di Eropah.
Istana asalnya dibina daripada kayu, tetapi secara beransur-ansur diganti dengan kubu batu. Ketika Henry III berkuasa, beliau membina istana kerajaan yang mewah dan Edward III membina semula istana untuk menjadikannya lebih megah. Windsor Castle masih dimiliki oleh keluarga diraja Inggeris dan merupakan tarikan pelancongan yang popular.
3. Istana Warwick
Bangunan pertama yang dibina di tapak Istana Warwick dibina pada tahun 1068 oleh William the Conquerer. Bermula sekitar tahun 1260, istana ini secara beransur-ansur dibina semula daripada batu oleh setiap Earl of Warwick yang berikutnya.
Selama abad berikutnya, pelbagai generasi Earls of Warwick berikutnya menambah struktur asal dan pada tahun 1350, Caesar’s Tower dibina diikuti oleh Guy’s Tower pada tahun 1395. Pada tahun 1978, keluarga Greville yang memiliki istana ini selama lebih dari 374 tahun menjualnya kepada Tussauds Group (sebuah syarikat media dan hiburan) dengan harga $ 1.7 juta.
2. Reichsburg Cochem
Reichsburg Cochem atau Istana Cochem adalah salah satu istana tertua di dunia. Dipercayai bahawa istana ini pertama kali dibangunkan sekitar tahun 1000. Dokumentasi awal istana bermula pada tahun 1051 ketika Richeza, anak perempuan tertua Ezzo dan bekas Ratu Poland, memberikan istana itu kepada anak saudaranya Palatine.
Pada tahun 1151, istana ini secara rasmi menjadi istana kerajaan setelah Raja Konrad III menduduki istana ini secara paksa. Sebahagian strukturnya hancur pada tahun 1688 akibat serangan oleh tentera Raja Perancis Louis XIV, tetapi dipulihkan oleh seorang ahli perniagaan Louis Fréderic Jacques Ravené pada tahun 1868.
1. Citadel Aleppo
Citadel Aleppo adalah salah satu istana tertua dan terbesar di dunia. Istana ini terletak di atas bukit di Kota Purba Aleppo dan diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1986.
Penggunaan bukit Citadel bermula sekurang-kurangnya pada tahun 3000 SM, tetapi sebahagian besar struktur semasa mungkin dibina semasa dinasti Ayuubid pada abad ke-12. Malangnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, benteng tersebut telah rosak teruk dalam Perang Saudara Syria yang sedang berlangsung.
Kredit: