Ketika artikel ini ditulis, seluruh dunia sedang dilanda pandemik COVID-19 termasuklah Malaysia. Penularan penyakit ini yang begitu pantas menyebabkan banyak negara menutup pintu sempadan kecuali untuk urusan-urusan penting sahaja seperti urusan kerja dan urusan kecemasan.

Sudah tentu industri pelancongan paling terkesan. Banyak hotel dan pusat-pusat pelancongan yang terpaksa gulung tikar akibat kedatangan pelancongan yang merudum. Selain itu, industri pengangkutan udara juga terkesan teruk kerana kuranganya penumpang yang menggunakan khidmat mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebanyakan syarikat penerbangan mula mengambil langkah drastik mengecilkan jumlah pekerja mereka bagi memastikan mereka dapat terus beroperasi di saat-saat sukar ini. Langkah ini turut diambil oleh syarikat pnerbangan tempatan antaranya Air Asia.

Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi senarai syarikat-syarikat penerbangan tertua dunia yang masih beroperasi hingga ke hari in. Kami berharap syarikat-syarikat ini dapat mengharung saat-saat sukar ini.

1. KLM

klm

Royal Dutch Airlines atau lebih dikenali sebagai KLM merupakan syarikat penerbangan tertua di dunia yang masih beroperasi sehingga ke hari ini. Syarikat ini ditubuhkan pada tahun 1919 dengan nama Koninklijke Luchtvaart Maatschap (daripada nama inilah singkatan KLM wujud kerana lebih mudah diingati).

Syarikat ini telah mengadakan penerbangan pertamanya setahun kemudian dan pada 1924 syarikat ini memegang rekod sebab penerbangan terpanjang di dunia daripada Amsterdam ke Jakarta. Ketika itu, Indonesia masih lagi berada di bawah penguasaan koloni Belanda.

Pada tahun 1946, KLM menjadi syarikat penerbangan Eropah pertama yang mempunyai jadual penerbangan tetap ke New York. KLM bergabung dengan Air France pada tahun 2004, tetapi syarikat ini masih mengekalkan ibu pejabatnya di Amsterdam.

2. Avianca 

avianca

Syarikat Avianca ditubuhkan hanya beberapa bulan selepas penubuhan KLM. Avianca adalah syarikat penerbangan tertua kedua di dunia yang masih beroperasi. Berpusat di Bogotá, Colombia, ia adalah syarikat penerbangan tertua di Amerika. Sebelum Perang Dunia Kedua , Avianca digelar SCADTA (Sociedad Colombo Alemana de Transportes Aéreosa atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Colombian-German Air Transport Company). 

Syarikat ini ditubuhkan oleh seorang usahawan Jerman pada tahun 1919. Semasa perang, ribuan lagi orang Jerman melarikan diri ke Colombia dan hubungan SCADTA dengan Jerman menjadi kerisauan.

Akibatnya, pada tahun 1940, syarikat ini telah membuang kesemua pekerja mereka yang mempunyai kewarganegaraan Jerman dan mula menggunakan nama baru.

3. Qantas

qantas airlines

Queensland and Northern Territory Aerial Services atau singkatannya “Qantas” merupakan sebuah syarikat yang berasal dari Australia. Syarikat yang berpangkalan di Sydney in ditubuhkan pada tahun 1920 dengan tujuan utamanya ketika itu adalah menghubungkan kawasan-kawasan kurang penduduk dengan seluruh Australia.

Menjelang 1935, syarikat ini mula mengembangkan operasi mereka dengan menawarkan pnerbangan antarabangsa. Logo syarikat ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 1944 dan menyebabkan syarikat ini mula mendapat gelaran “The Flying Kangaroo”. 

Syarikat ini terkenal dengan perkhidmatannya yang dianggap antara yang terbaik di dunia sehingga membolehkan mereka mendapat anugerah syarikat penerbangan terbaik dunia beberapa kali.

4. Aeroflot

aeroflot

Dalam bahasa Russia, Aeroflot membawa maksud "armada udara". Syarikat ini telah melakukan penerbangan pertamanya pada tahun 1923. Pada masa itu, Aeroflot beroperasi dengan nama Dobrolet, yang bermaksud "sukarelawan."

Tidak lama selepas penukaran namanya pada tahun 1932, Aeroflot menjadi syarikat penerbangan terbesar di dunia. Perkara ini tidak mengejutkan kerana kapal terbang adalah cara terbaik untuk melakukan perjalanan melintasi wilayah luas di bawah kuasa Kesatuan Soviet.

Sama seperti negara Russia sendiri, Aeroflot berpecah kepada beberapa entiti yang lebih kecil pada tahun 1990-an sebelum disusun semula menjadi  sebuah syarikat penerbangan. Moscow iaitu ibu negara Rusia kini juga menempatkan ibu pejabat Aeroflot.

5. Czech Airlines

czech airlines

Czech Airlines dibentuk pada tahun 1923 untuk menjadi syarikat penerbangan nasional untuk negara Czechoslovakia yang baru ditubuhkan ketika itu. Czech Airlines adalah syarikat penerbangan pertama yang menampilkan kru kabin di dalamnya.

Syarikat penerbangan ini juga menjadi syarikat penerbangan yang pertama menjadi mangsa rampasan kapal terbang. Pada tahun 1950, lapan pembelot Czech merampas dan mengalihkan tiga pesawat pengangkutnya ke Nuremberg.

Sebilangan penumpang yang menjadi mangsa rampasan ini dihantar kembali ke Czechoslovakia yang ketika itu dibawah pengaruh komunis sementara yang lain meminta suaka politik di Jerman Barat yang dikuasai pihak Tentera Bersekutu.

6. Finnair

finnair

Syarikat Finnair mula beroperasi pada tahun 1923.  Finnair mendapat gelaran "Syarikat penerbangan rasmi Santa Claus" kerana syarikat ini kerap melakukan penerbangan melintasi Kutub Utara.

Pada 12 tahun terawal syarikat ini beroperasi, ianya hanya sebuah syarikat penerbangan kecil yang mempunyai beberapa buah kapal terbang sahaja. Walau bagaimanapun, penganjuran Sukan Olimpik 1952 di Helsinki berjaya memberikan impak positif kepada syarikat ini.

Penganjuran Sukan Olimpik ini mendorong pembinaan lapangan terbang di ibu kota negara Finland (yang turut menjadi hab utama Finnair) dan syarikat itu mendapat pertambahan 100,000 penumpang. Syarikat penerbangan ini terkenal antara syarikat penerbangan paling selamat di dunia. 

7. Delta

delta

Delta merupakan Syarikat penerbangan tertua yang masih beroperasi di Amerika Syarikat dan Delta juga merupakan salah satu syarikat penerbangan terbesar di dunia. Kini berpusat di Atlanta, syarikat ini ditubuhkan di Macon, Georgia pada tahun 1924.

Syarikat ini pada awalnya ditubuhkan untuk perkhidmatan operasi penghapusan tanaman kecil dan dikenali sebagai Huff Daland Dusters, Inc. Syarikat ini mula menawarkan penerbangan komersil penumpang pada tahun 1929.

Delta adalah syarikat penerbangan pertama yang menawarkan makanan percuma dalam kabin pada tahun 1959 dan juga syarikat pertama yang melarang merokok dalam semua penerbangannya pada tahun 1995.

Kredit:

  1. CNN Travel
  2. World Atlas
  3. Readers' Digest



Hakcipta iluminasi.com (2017)