Apa yang membuatkan Australia lain daripada yang lain adalah ia terletak jauh terpencil daripada negara-negara lain, maka segala apa yang terdapat di dalamnya kebanyakannya tidak terdapat di tempat lain.
Dahulunya tanah ini didiami oleh orang Asli Australia namun orang Barat iaitu dari England telah menghantar para banduan dari negara itu ke tanah ini bermula tahun 1788.
BESARKAN TEKS A- A+
(Laluan menghantar kumpulan banduan pertama dari England ke Australia)
Sejak itu, negara ini berkembang menjadi sebuah negara berbilang kaum apabila ramai pelarian menjadikan Australia sebagai tempat perlindungan.
iluminasi.com kongsikan 7 fakta menarik yang anda tak tahu mengenai Australia.
7. Saiz keluasan yang tersangat besar
Jika anda membandingkan keluasan Australia yang hanya mempunyai 7 negeri dengan Amerika Syarikat dengan 50 negeri, saiz Australia hanyalah sedikit kecil iaitu sebanyak 7,692 kilometer persegi.
Jika Rusia tidak menjual Alaska kepada AS, maka saiz Australia jauh lebih besar berbanding negara tersebut.
Ramai yang beranggapan Australia adalah sebuah negara yang kecil namun sebenarnya ia adalah antara negara terbesar di muka bumi, di tangga ke-6 selepas Brazil, China, Amerika Syarikat, Kanada dan Rusia.
Keluasan Australia hampir 23 kali ganda Malaysia, namun populasi di Malaysia jauh lebih tinggi iaitu seramai 31.2 juta orang berbanding Australia dengan 24.1 juta.
Lebih menarik, jumlah populasi kambing di Australia lebih banyak berbanding manusia, kira-kira 150 juta. Tak peliklah jika harga kambing di negara ini tersangat murah.
6. Daging kangaroo antara daging pilihan
Ya, Australia mengambil kesempatan baik terhadap populasi haiwan makropod yang tersangat banyak ini sebagai makanan.
Walaupun tak semua penduduk Australia sukakan daging kangaroo namun daging haiwan ini boleh didapati secara meluas di mana-mana pasar raya, penjual daging tempatan dan juga muncul dalam menu-menu di restoran.
Disebabkan kangaroo adalah haiwan yang agak aktif, ia menjadikan daging haiwan ini rendah lemak dan dianggap sebagai alternatif yang lebih baik berbanding daging lembu dan kambing.
5. Kepelbagaian budaya dan bahasa
Terdapat lebih daripada 200 bahasa digunakan di Australia termasuklah 45 bahasa asli yang berbeza.
Bahasa yang paling popular selepas bahasa Inggeris adalah bahasa Itali, Yunani, Kantonis, Arab, Vietnam dan Mandarin.
4. Orang asli Australia
Orang asli Australia termasuk Aboriginal Australia dan penduduk pulau Selat Torres berjumlah 669,881 orang atau kira-kira 3% daripada jumlah populasi Australia pada tahun 2011.
Peta Bahasa Aboriginal Australia menunjukkan pandangan yang berbeza negara ini yang berpecah kepada pelbagai wilayah berdasarkan bahasa atau suku kaum berbanding negeri-negeri rasmi.
Tidak seperti di Amerika Syarikat, untuk merujuk seseorang sebagai berkulit hitam di Australia bermaksud mereka adalah warisan Aborigin.
3. Gelombang wanita yang kuat
Australia merupakan negara kedua di dunia yang memberikan hak mengundi kepada wanita, iaitu pada tahun 1902.
Kejayaan mendapatkan hak ini boleh dikaitkan dengan kerja-kerja penyokong gerakan "Women's Suffrage" seperti Lady Mary Elizabeth Windeyer dan anaknya Margaret Windeyer.
2. Eksklusif di Australia
Lebih daripada 80% tumbuhan, mamalia, reptilia dan katak yang terdapat di Australia adalah unik kepada negara/benua ini sahaja dan tidak dapat ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.
Sesetengah spesis haiwan endemik yang terkenal termasuklah koala, kangaroo, dingo, echidna, platypus, wallaby dan wombat.
1. Tak semua haiwan berbisa boleh membunuh anda
Ini adalah antara salah satu stereotaip lama yang mana mengatakan semua haiwan di Australia adalah berbisa, dan ia tidak benar. Namun, negara ini mempunyai banyak makhluk berbisa.
Sebagai contoh, di negeri Queensland, terdapat 120 spesis ular namun hanya 65% sahaja yang berbisa dan daripada jumlah ular berbisa ini, 23 daripadanya adalah spesis ular air dan tidak langsung ditemui di darat.
Labah-labah merupakan antara haiwan yang paling ditakuti di antara haiwan berbahaya di Australia, namun bisa kebanyakan labah-labah biasa di Australia dianggap tidak terlalu bertoksik kepada manusia.
Rekod menunjukkan tiada kematian disebabkan gigitan labah-labah sejak tahun 1981.