Apabila berita penularan pandemik COVID-19 ke seluruh dunia mulai tersebar, masyarakat seluruh dunia mulai panik. Pada peringkat, banyak negara termasuk Malaysia tidak pasti apa yang perlu dilakukan. Awalnya, tiada siapa yang menyangka bilangan kes COVID-19 akan mencecah angka 1 juta pesakit.

Akibatnya, sesetengah negara terpaksa mengambil langkah ketat mengawal penularan ini dengan memperkenalkan lockdown, Perintah Kawalan Pergerakan (Malaysia), Circuit Breaker (Singapura) dan langkah seumpamanya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Secara perlahan-lahan, ketakutan terhadap penyakit ini telah menyebabkan kebencian. Apabila masyarakat dunia tahu bahawa penyakit ini berasal dari China, kes-kes perkauman dan xenofobia mulai muncul di seluruh dunia terhadap orang dari negara China.

Bagi yang tidak tahu, xenofobia merupakan sejenis fobia yang menyebabkan kebencian terhadap manusia yang berasal dari sesetengah negara. Dalam kes COVID-19, rakyat-rakyat dari negara China adalah mangsanya. Walau bagaimanapun, menyalahkan semua orang dari negara tertentu kerana sesuatu yang berlaku adalah tingkah laku yang tidak dapat dimaafkan.

Bukan sahaja rakyat negara China, malah golongan yang bukan berasal dari China dan bukan berbangsa Cina juga sering menjadi mangsa perkauman di seluruh dunia. Dalam sesetengah kes yang ekstrim, hanya disebabkan individu tersebut berasal dari negara-negara Asia, mereka juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa perkauman dan xenofobia ini.

Ingat lagi kes pelajar Malaysia yang dihalau daripada rumah sewa mereka di Australia? Itu hanyalah salah satu contoh. Hanya disebabkan penyakit COVID-19 berasal dari China, tidak bermaksud orang Asia lain juga bermasalah. Kali ini kami ingin berkongsi contoh-contoh lain masalah perkauman yang timbul ketika kes COVID-19 sedang memuncak pada ketika ini.

1. Mesir

Kedutaan Besar Jepun di Kaherah melaporkan bahawa seorang pekerja kedai makan menolak untuk melayani pelanggan berbangsa Jepun dan orang-orang tempatan juga mulai menggunakan kata "corona" sebagai penghinaan bagi merujuk kepada orang Jepun.

Dalam satu kes lain, seorang pemandu Uber ditangkap setelah video menunjukkan di mana dia secara paksa telah menghalau seorang penumpang warganegara China dari keretanya. Kejadian ini berlaku di lebuh raya di Kaherah dan pemandu itu mengesyaki bahawa penumpang itu mempunyai virus COVID-19 hanya semata-mata kerana dia berasal dari China.

Video ini menimbulkan kemarahan di Mesir dan beberapa orang telah mengunjungi lelaki itu untuk meminta maaf kepadanya. Kes ini telah dikutuk di seluruh dunia.

2. Hong Kong

protes hong kong 875

Di Hong Kong, kebanyakan restoran telah menolak pelanggan yang berasal dari Tanah Besar China. Ada juga yang mula meminta kad pengenalan Hong Kong untuk memastikan bahawa pelanggan itu bukan dari China.

Pemilik salah satu restoran itu mengatakan bahawa mereka mahu pelanggan tempatan selamat dan hidup lebih lama. Ada restoran lain mengumumkan bahawa mereka hanya akan melayani pelanggan yang berbahasa Inggeris atau Kantonis, tetapi bukan mereka yang berbahasa Mandarin.

Namun, perlakuan ini adalah alasan-alasan yang tidak munasabah untuk menutup perlakuan rasis mereka terhadap individu yang berasal dari Tanah  Besar China. 

3. Australia

koronavirus australia

Di Australia, beberapa akhbar terbesar di negara ini menerbitkan artikel dengan menggunakan tajuk utama berbaur perkauman setelah wabak novel koronavirus tersebar. Walau bagaimanapun, ramai pihak telah menandatangani petisyen yang mengecam perlakuan ini dan menuntut akhbar yang melakukannya memohon maaf.

Di pusat membeli-belah dan kedai-kedai tertentu, kakitangan kedai atau restoran menolak kemasukan orang berketurunan Asia ke premis mereka. Mereka memberi alasan bahawa ianya adalah berusaha untuk mencegah penyebaran COVID-19. Terdapat juga banyak laporan lain mengenai orang keturunan Cina atau Asia yang menjadi sasaran serangan rasis dan xenofobia .

Ada juga yang diserang secara fizikal. Terdapat juga kes tragis seorang lelaki yang tiba-tiba pengsan dan meninggal dunia akibat serangan jantung di Sidney. Walau bagaimanapun, orang sekeliling yang melihat kejadian tersebut menolak untuk melakukan CPR kerana lelaki itu berbangsa Cina.

4. Belgium

corona time xenophobia

Belgium juga telah melihat peningkatan kes perilaku rasis sejak pandemik COVID-19 mulai tular. Orang Asia sering dihina di jalanan dan terdapat beberapa kes orang muda meludah mereka yang telah dirakamkan.

Sekumpulan pelajar sekolah menengah telah memakai kostum Cina dan mengangkat papan tanda yang bertulisan "Corona Time" dan menyiarkan gambar tersebut dalam talian. Sebilangan pelajar menunjukkan mata sepet sebagai sikap rasis. Pihak sekolah mengeluarkan kenyataan mengenai kes itu namun tidak permohonan maaf.

5. Perancis

perkauman di perancis

Kempen anti-perkauman dengan ayat yang berbunyi "Koronavirus telah menjadikan lebih ramai orang menjadi rasis daripada jumlah pesakit itu sendiri"

Le Courrier Picard, sebuah surat khabar Perancis memaparkan foto seorang wanita Asia dengan topeng di halaman depannya pada 26 Januari 2020 dengan tajuk  "Amaran Tahap Kuning". Kejadian ini dilihat sebagai tindakan yang sangat rasis dan dikecam secara meluas.

Banyak orang Asia di Perancis tersinggung dengan tajuk utama ini. Ini bukan satu-satunya surat khabar yang bertindak seperti ini. Namun, ramai orang lain memanggil COVID-19 sebagai "Virus China" sehingga menyinggung orang-orang Cina. Banyak restoran pemilik berbangsa Asia turut melaporkan bahawa mereka mengalami penurunan pelanggan.

6. Jerman

covid 19 jerman

Kedutaan Besar China di Berlin telah melaporkan bahawa terdapat banyak kes perkauman yang memusuhi orang Asia sejak wabak itu bermula. Sebuah majalah Jerman bernama Der Spiegel menerbitkan banyak isu yang dianggap rasis kerana kebanyakannya menyalahkan China kerana kemunculan novel coronavirus.

Pemilik rumah di Jerman mula memberi tahu kepada pelajar Asia bahawa mereka harus segera meninggalkan rumah yanng disewa kerana khuatir mereka akan mnyebarkan virus itu. Terdapat kes orang Asia dipukul secara kejam semata-mata kerana mereka adalah orang Asia.

Bahkan ada kes doktor yang menolak untuk merawat pesakit warganegara China walaupun mereka tidak mengunjungi China dalam beberapa bulan sebelum itu.

7. Amerika Syarikat

trump covid 19 464

Pada bulan Februari 2020 sahaja, terdapat lebih daripada 1,000 kes perkauman dan xenofobia yang dilaporkan terhadap orang-orang Asia Amerika di Amerika Syarikat. Sebilangan besar perniagaan pemilik Asia-Amerika di seluruh negara mengalami kerugian kewangan yang besar kerana jumlah pelanggan sangat berkurang.

Presiden Donald Trump berulang kali menyebut COVID-19 sebagai "Virus China" yang secara tidak langsung telah mewujudkan stigma buruk dan perlakuan rasis terhadap orang Cina di Amerika Syarikat. Banyak media-media utama mengecamnya kerana kelantangannya ini.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. UN
  3. The Atlantic



Hakcipta iluminasi.com (2017)