Banyak negara di seluruh dunia sudah menggalakkan rakyatnya untuk duduk diam di rumah dan mengamalkan penjarakkan sosial untuk mengelakkan diri dijangkiti COVID-19. Penjarakkan sosial ini penting untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19, kaedah yang dipanggil "flatten the curve".

Ketika artikel ini ditulis, sudah lebih 600 ribu jangkitan COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia. Tiada siapa boleh memberikan kepastian bilakah pandemik ini akan benar-benar berakhir. Namun, berikut merupakan beberapa potensi atau teori bagaimana pandemik COVID-19 bakal berakhir berdasarkan teori daripada beberapa orang pakar. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Pembendungan secara geografi

lapangan terbang covid 19

Senario pertama untuk apa-apa wabak boleh berakhir adalah pembendungan, yakni jika jumlah kes adalah terhad kepada asal usul lokasi asal wabak. Apabila manusia tidak keluar dan masuk daripada satu kawasan wabak, maka jangkitan ke lebih ramai orang di kawasan lain akan dapat diminimumkan.

Sebelum wabak COVID-19 secara rasmi diisytiharkan sebagai pandemik, terdapat pendapat mengatakan penyakit ini kemungkinan akan dapat dibendung secara geografi. Walau bagaimanapun, kemungkinan tersebut mulai pudar apabila muncul laporan bahawa masyarakat di Eropah dan Amerika Utara telah dijangkiti pada bulan Februari. 

Teori pertama ini mungkin sukar memandangkan masyarakat masa kini mempunyai keperluan untuk membuat penerbangan ke seluruh dunia untuk tujuan kerja. Dalam keadaan sekarang, ianya mungkin sudah terlambat.

2. Virus menjadi semakin kurang berbahaya secara semulajadi

selsema 772

Terdapat potensi bahawa bilangan kes boleh berkurang secara semulajadi yang mungkin disebabkan oleh beberapa perkara. Virus koronavirus dan selsema lain sering menyusur apabila cuaca semakin panas.

Virus COVID-19, yang dipanggil SARS-CoV-2, mungkin tidak dapat bertahan dengan baik dalam keadaan yang lebih lembap walaupun ianya masih belum dapat disahkan. Kes-kes juga boleh merosot kerana virus itu kehabisan orang yang mudah dijangkiti. Hal ini berkemungkinan berlaku dengan lebih pantas dalam populasi yang lebih kecil tetapi boleh mengambil berbulan lamanya dalam populasi yang lebih besar.

Walau bagaimanapun, mungkin terdapat lonjakan besar peningkatan kes sebelum ia secara semula jadi berkurangan dan ini adalah di bawah andaian bahawa tidak ada apa-apa yang dilakukan sebagai tindak balas yang menjejaskan unjuran penularan wabak ini,

Dalam sejarah, keadaan sebegini pernah berlaku ketika wabak Selsema Sepanyol (Spanish Flu) yang menjangkiti lebih 500 juta manusia pada akhir tahun 1918. Terdapat teori yang mengatakan bahawa virus pada 1918 ini bermutasi sangat cepat daripada boleh membunuh kepada kurang merbahaya.

Ini adalah kejadian biasa yang terjadi pada virus influenza - terdapat kecenderungan untuk virus patogenik menjadi kurang merbahaya selepas jangka masa tertentu. Mungkinkah perkara sama terjadi pada virus SARS-CoV-2? Bagaimana pula jika ia bermutasi kepada lebih merbahaya?

3. Pandemik menjadi endemik

hospital covid 19 china

Kemungkinan lain ialah SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19, menjadi endemik kepada manusia. Ini bermakna bahawa ia adalah penyakit yang biasa pada manusia pada masa hadapan.

Menurut ahli epidologi dari Columbia University’s Mailman School of Public Healt, Stephen Morse, "Satu senario ialah kita melalui pandemik. Kemudian, bergantung apa yang dilakukan oleh virus itu, ia mungkin akan bermutasi sebagai masalah penyakit pernafasan biasa yang boleh datang kembali pada musim-musim tertentu.

COVID-19 mungkin menjadi kes di mana ia "boleh menjadi patogen bermusim yang menyebabkan pneumonia". Satu-satunya patogen lain yang boleh dibandingkan dengan  teori ini adalah influenza bermusim. Ia boleh kembali tahun demi tahun, melainkan jika kita berjaya membangunkan vaksin untuknya.

4. Kewujudan vaksin

vaksin covid 19 622

Mencipta vaksin adalah perkara yang sukar dan memerlukan masa yang lama - sekurang-kurangnya satu tahun, tetapi berpotensi lebih lama. Ia memerlukan banyak sumber dan mungkin tidak berguna untuk menangani pandemik semasa bergantung kepada berapa lama ia tular.

Vaksin juga tidak menyediakan seseorang dengan 100 peratus imuniti. Sebagai contoh, dua dos vaksin polio adalah 90 peratus berkesan terhadap polio, dan tiga dos adalah 99 hingga 100 peratus berkesan.

Seberapa berkesan vaksin itu bergantung kepada jenis vaksin tertentu yang dikembangkan dan vaksin yang paling berkesan mungkin bukan vaksin pertama yang dibangunkan. Kini, beberapa syarikat sedang mengusahakan pembangunan vaksin untuk SARS-CoV-2.

Satu lagi perkara yang perlu diketahui mengenai vaksin adalah bahawa ia hanya akan membantu mencegah penyakit sebelum seseorang itu dijangkiti. Tujuan utama untuk penciptaan vaksin adalah untuk mencegah wabak pada masa depan. Marc Lipsich, ahli epidomologi dari Harvard University menganggarkan bahawa 40 hingga 70 peratus orang di seluruh dunia mungkin dijangkiti oleh SARS-CoV-2 dalam tahun yang akan datang,

Walau bagaimanapun, jika kita berjaya memperlahankan penyebaran penyakit ini, kita boleh menggunakan vaksin untuk mencegah koronavirus daripada menjangkiti lebih ramai manusia. Apabila ini berlaku, lama kelamaan jangkitan penularan aan terhenti seterusnya membolehkan penyakit ini pupus.

5. Gabungan ubat-ubatan dan cara rawatan lain

ubat antiviral 428

Pada masa kini, para pesakit yang disahkan COVID-19 akan dirawat berdasarkan simptom yang dialami mereka. Memandangkan belum ada ubatan yang dicipta untuk merawat COVID-19, maka gabungan ubat-ubatan sedia ada akan digunakan. Semuanya bergantung pada gejala yang ditunjukkan oleh pesakit.

Pada masa kini, doktor mungkin akan menggunakan salah satu atau gabungan ubat-ubatan berikut:

  • Hydroxychloroquine dan chloroquine -  Ubat untuk rawatan malaria
  • Favipiravir atau Avigan - Ubat antiviral dari Jepun
  • Remdesevir - Dibangunkan untuk virus Ebola
  • Kaletra - Ubat untuk rawatan HIV
  • Tocilizumab - Merawat tindak balas keradangan pernafasan

Ubat-ubatan ini mungkin membantu dalam merawat pesakit, tetapi tidak ada jaminan ianya akan berkesan. Sekiranya ubatan ini membantu, maka ianya boleh menurunkan keparahan penyakit pada orang yang dijangkiti, dan seterusnya mengurangkan beban terhadap sistem kesihatan.

Sesetengah ubat boleh menghalang seseorang yang terdedah daripada sakit dengan menghentikan virus daripada dapat menyalin (repicate) di dalam badan. Secara keseluruhan, jika sistem kesihatan tidak terbeban oleh banyaknya orang yang perlu dimasukkan ke dalam ICU, mungkin terdapat kadar kematian yang lebih rendah kerana doktor boleh memberikan lebih fokus pada satu-satu pesakit.

Adalah penting untuk diperhatikan bahawa mempunyai rawatan yang berkesan mungkin tidak menjejaskan jumlah kes atau kadar kes baru. Cara terbaik untuk mencegah kes-kes baru adalah menurunkan kadar jangkitan dari orang ke orang iaitu melalui penjarakkan sosial.

Pengakhiran yang tidak pasti

rawatan covid 19 533

Senario dan teori-teori di atas sekadar kemungkinan berdasarkan pendapat beberapa orang pakar dalam bidang ini. Apa yang berlaku dalam dunia realiti bergantung kepada begitu banyak faktor yang akan menjadi sukar untuk menghasilkan senario yang meramalkan dengan tepat apa yang berlaku.

Kepentingan senario adalah untuk menggambarkan hasil yang berpotensi dan apa yang sedang atau tidak dilakukan untuk mencapai hasil tersebut. Terdapat banyak ketidakpastian mengenai pandemik COVID-19.

Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah cuba untuk mengawal berapa banyak kes-kes baru yang ada dan cuba untuk tidak membiarkan rasa takut mengawal emosi kita sehinggakan menyebabkan kita menjadi panik. Sebagai rakyat, kita boleh memainkan peranan masing-masing dengan mengikut segala saranan kerajaan.

Kredit:

  1. Live Science
  2. Washington Post
  3. History
  4. Stat News



Hakcipta iluminasi.com (2017)