Sistem perbankan telah menjadi sebagian dari kehidupan sejak awal peradaban manusia. Sewaktu ketika dahulu, pedagang memberikan pinjaman gandum kepada petani dan peniaga yang membawa barang di antara kota.

Jenis perdagangan ini dikenali sebagai sistem barter dan merupakan pencetus kepada idea penubuhan bank-bank terawal di dunia. Prototaip untuk sistem perbankan moden dipercayai berasal dari zaman Renaissance abad pertengahan dan awal Itali. Sekitar waktu ini, salah satu bank paling terkenal dalam sejarah, Medici Bank ditubuhkan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini pihak Iluminasi ingin kongsikan pula senarai bank-bank terawal dunia yang masih beroperasi pada masa kini. Atas pelbagai faktor, terdapat banyak bank yang sudah menghentikan operasinya. Bank tertua dalam senarai ini wujud pada masa yang sama dengan Medici Bank yang terkenal yang ditutup pada tahun 1494. 

7. Coutts

bank tertua dunia

Coutts adalah bank Inggeris yang wujud sejak abad ke-17. Bank ini yang pada awalnya merupakan kedai tukang emas, dibentuk pada tahun 1692 oleh John Campbell, seorang tukang emas muda dari Scotland.

Setelah Campbell meninggal pada tahun 1712, dia menyerahkan perniagaan itu kepada keluarganya dan pada tahun 1755, cucunya, Polly, berkahwin dengan seorang saudagar dan pegawai bank bernama James Coutts.

Ketika kedua Polly dan ayahnya meninggal pada tahun 1760, bank dan sebahagian besar kekayaan Campbell diserahkan kepada James, yang menamakan bank itu atas nama dirinya. Sejak tahun 2000, Coutts telah dimiliki oleh Royal Bank of Scotland (RBS). Dalam usaha memfokuskan usahanya di UK, RBS menjual Coutts International kepada Union Bancaire Privée dengan jumlah yang tidak didedahkan.

6. Barclays

sistem perbankan

Barclays adalah salah satu bank multinasional terbesar di dunia dan bank keenam  tertua yang masih wujud. Bank ini dimulakan sebagai perniagaan tukang emas yang ditubuhkan oleh John Freame dan Thomas Gould pada tahun 1690. Pada tahun 1736, James Barclay, menantu Freame, menjadi rakan kongsi dalam perniagaan ini sehingga mendorong orang ramai untuk merujuk perniagaannya sebagai "Barclays". 

Pada awal tahun 1900-an, Barclays mula mengembangkan perniagaannya dengan mengambil alih bank Inggeris yang lebih kecil dan terus melakukannya pada hari ini.

Kerana saiznya yang besar dan mempunyai cawangan seluruh dunia, Barclays terlibat dengan beberapa skandal termasuk tuduhan penggubahan wang haram dan penghindaran cukai pada tahun 2009, manipulasi pasaran elektrik A.S. pada tahun 2008, dan manipulasi harga emas pada tahun 2008.

5. Bankhaus Metzler (Bank Metzler)

bank tertua jerman

Bankhaus Metzler bermula sebagai perniagaan perdagangan kain yang diasaskan oleh Benjamin Metzler pada tahun 1674. Metzler, yang berasal dari Saxony, berpindah ke Frankfurt pada tahun 1671 dan bekerja selama beberapa tahun sebagai penjaga akaun di sebuah syarikat pembuat kain yang terkenal, sebelum menubuhkan perniagaannya sendiri.

Sekitar tahun 1760, syarikat itu bertukar menjadi bank dan Friedrich Metzler adalah pegawai bank pertama keluarganya. Pada akhir abad ke-19, bank ini memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan kewangan individu. 

Hari ini, Metzler menyediakan perkhidmatan kewangan sebagai bank saudagar, urus niaga sekuriti, sebagai pengurus aset dan perunding kewangan korporat.

4. C. Hoare & Co

bank tertua uk

C. Hoare & Co adalah bank swasta kecil dan tertua yang terletak di United Kingdom. Ia ditubuhkan pada tahun 1672 oleh Sir Richard Hoare dan masih dimiliki oleh keluarganya, dengan keturunan generasi ke-10 dan ke-11 menguruskan operasi bank tersebut.

Bank ini memberi perkhidmatan kepada pelanggan bernilai tinggi dan memberikan mereka pinjaman, gadai janji, akaun simpanan dan perkhidmatan perancangan cukai dan harta tanah. Ketika abad ke-18, bank ini mula memperkenalkan banyak aspek perbankan moden, khususnya cek bercetak.

Sebagai bank tertua di England dan salah satu yang paling berprestij, C. Hoare & Co mempunyai banyak pelanggan terkenal termasuk Lord Byron, Jane Austen, Eton College dan Catherine of Braganza yang merupakan isteri kepada Raja Charles II.

3. Sveriges Riksbank

sejarah penubuhan bank

Sveriges Riksbank (biasa disebut Riksbanken) adalah bank pusat Sweden dan bank tertua ketiga masih beroperasi. Bank ini juga merupakan bank pusat tertua di dunia. Bank ini ditubuhkan pada tahun 1668 di bawah kawalan langsung Riksdag of Estates (pihak berkuasa tertinggi Sweden setelah raja pada masa itu) untuk mencegah raja daripada masuk campur urusan bank.

Bank Sweden sebelumnya, Stockholms Banco, gagal di bawah kawalan raja kerana mengeluarkan terlalu banyak wang kertas tanpa jaminan yang tepat. Pada tahun 1866, bank tersebut menerima nama sekarang iaitu Sveriges Riksbank, setelah badan perundangan nasional baru ditubuhkan.

Berikutan krisis kewangan global pada awal tahun 2000-an, bank ini menutup semua cawangannya di Sweden dan melantik syarikat swasta untuk penghasilan wang syiling dan bil.

2. Bank Berenberg (Joh. Berenberg, Gossler & Co. KG)

joh berenberg gossler co kg

Bank Berenberg, yang secara sah dikenali sebagai Joh. Berenberg, Gossler & Co. KG, adalah bank perdagangan dan swasta tertua di dunia dan masih beroperasi sejak ditubuhkan pada tahun 1590 oleh keluarga Berenberg / Gossler.

Bank ini tidak pernah menukar identiti atau nama asalnya dan masih dimiliki oleh keturunan pengasas asalnya. Bank yang mempunyai ibu pejabat di Hamburg, Jerman ini mempunyai 13 cawangan domestik dan antarabangsa pada masa kini.

Nama bank ini diberi sempena nama Johann Berenberg dan menantunya Johann Hinrich Gossler. Sebelum mereka membuka bank, orang Berenberg adalah peniaga kain. Logo bank, yang tidak pernah diubah, menggabungkan lambang keluarga Berenberg (beruang) dan keluarga Gossler (kaki angsa).

1. Banca Monte dei Paschi di Siena

bank terawal dunia

Banca Monte dei Paschi di Siena yang juga dikenali sebagai BMPS, adalah bank tertua di dunia yang masih beroperasi sehingga kini. Bank ini ditubuhkan pada tahun 1472 atas perintah Magistrature Republik Siena dan telah beroperasi sejak itu,

Pada abad ke-17 dan ke-18, setelah Itali disatukan, BMPS memperluas operasinya ke seluruh negara dan menawarkan pinjaman gadai janji pertama kepada warganegara Itali.

Hari ini, BMPS adalah bank runcit komersial keempat terbesar di Itali. Dalam beberapa tahun terakhir, seperti beberapa bank besar di seluruh dunia, BMPS telah diselamatkan oleh pemerintah untuk mengelakkan penutupan operasinya.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Bank Rate
  3. The Guardian
  4. Oldest.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)