Kupu-kupu adalah serangga dari jenis Lepidoptera, yang juga termasuk rama-rama atau moth. Kupu-kupu dewasa mempunyai sayap besar yang berwarna, cerah dan jelas. Kupu-kupu terdiri daripada keluarga besar Papilonoidea yang mengandungi enam sub keluarga jenis kupu-kupu yang lain.
Kupu-kupu mempunyai empat peringkat kitaran hayat. Kupu-kupu dewasa akan bertelur di tempat yang menjadi sumber makanannya di mana larva mereka, yang dikenali sebagai ulat beluncas akan mendapatkan makanan.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, tahukah anda kupu-kupu mempunyai selera yang menjijikkan walaupun ia adalah satu keperluan biasa dalam dunia serangga? Kami ingin berkongsikan kepada anda beberapa sumber makanan lain bagi kupu-kupu.
1. Lumpur
Seperti mana yang kita ketahui, kupu-kupu adalah serangga yang menjadikan nektar bunga sebagai diet. Namun, nektar bukanlah satu-satunya sumber makanan mereka.
Jika anda perasan, selepas hujan, biasanya kupu-kupu akan berkumpul di tanah untuk menyedut lumpur. Amalan ini dinamakan sebagai mud puddling. Para saintis percaya sesetengah spesis kupu-kupu melakukannya untuk mendapatkan sumber garam, nitrogen, protein dan juga asid amino.
2. Peluh dan air mata
Jika anda pernah berkunjung ke taman rama-rama, anda pasti akan perasan beberapa jenis serangga ini suka hinggap di tubuh manusia. Ia bukanlah disebabkan serangga ini jinak tetapi ia sebenarnya menyedut peluh pada manusia.
Pada 2014, satu pemerhatian dijalankan dan mendapati kupu-kupu juga minum air mata daripada buaya dan kura-kura. Pada kebiasaannya, kupu-kupu jantan yang akan melakukannya untuk mendapatkan sodium bagi penghasilan sperma yang baik dan memberikan peluang yang tinggi untuk anak-anaknya hidup.
3. Air Kencing
Kupu-kupu sebenarnya sukakan air kencing. Penulis buku Handbook for Butterfly Watchers menerangkan bahawa sesetengah spesies kupu-kupu bahkan akan mengeluarkan cecair dari tubuhnya sendiri agar ia dapat mengumpul lebih banyak mineral yang terdapat pada air kencing haiwan yang baru dihasilkan.
Ini kerana bunga sahaja tidak dapat membekalkan jumlah sodium yang cukup. Satu kajian telah dibuat oleh Michael Bodri daripada University of North Georgia untuk mengetahui sama ada kupu-kupu menggunakan deria bau untuk mengesan air kencing.
Dia meletakkan 3 sampel air kencing yang dituangkan pada pasir. Dia menggunakan air kencing lembu yang merupakan haiwan herbivor, air kencing singa, haiwan karnivor dan juga air kencing manusia, spesies omnivor.
Dalam beberapa minit sahaja kupu-kupu telah datang kepada sampel yang dituang tadi. 97 daripada 117 kupu-kupu memilih untuk menyedut sampel air kencing daripada haiwan karnivor iaitu singa.
4. Darah
Sama seperti peluh dan air kencing, kupu-kupu mengkonsumsi darah adalah disebabkan oleh kandungan sodiumnya. Darah juga mengandungi unsur gula yang akan menjadi tenaga kepada serangga ini.
Daripada perspektif kupu-kupu, bangkai haiwan yang berdarah ini sebagai sebuah restoran kerana membekalkan diet yang diperlukan dengan begitu banyak sekali. Jika mempunyai peluang sebegini, kupu-kupu pasti tidak akan melepaskannya.
5. Najis
Najis mempunyai kadar nutrisi buangan yang tinggi seperti sodium dan nitrogen. Sama seperti sumber makanan lain yang diambil oleh kupu-kupu, ia membantu kepada proses pembiakan yang lebih baik.
Ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana bukan sahaja kupu-kupu malah serangga lain seperti lalat, kumbang dan beberapa serangga lain juga menjadikan najis sebagai sumber diet mereka.
6. Bangkai
Daging bangkai haiwan adalah salah satu makanan kegemaran kupu-kupu sehinggakan para pengkaji sering menggunakan kepala atau isi udang, ular mati atau bangkai ikan untuk mengumpan kupu-kupu.
Apa yang penting adalah tekstur pada bangkai itu. Ini kerana kupu-kupu tidak mempunyai gigi untuk menggigit jadi dia akan "menjilat" bangkai itu menggunakan sesungutnya.
Biasanya umpan diletakkan dalam perangkap kupu-kupu dan diperiksa setiap lima hari sekali bagi membiarkan umpan itu benar-benar mempunyai bau yang kuat agar dapat menarik kupu-kupu dalam jarak yang luas.