Walaupun hampir 50 tahun meninggal dunia, nama Bruce Lee masih lagi menjadi sebutan dan dianggap sebagai seorang legenda. Bruce Lee yang semakin popular dalam industri perfileman di Amerika meninggal dunia beberapa bulan sebelum mencecah usia 33 tahun.

Bagaimana kisahnya menjadi begitu hebat sehingga sukar ditandingi oleh ahli seni bela diri lain yang lahir selepasnya? Berikut adalah beberapa kisah yang menjadikan Bruce Lee seorang legenda.

1. Tumbukan Satu Inci

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada usia 16 tahun, Lee mula mempelajari Wing Chun, gaya seni bela diri yang berasaskan keberkesanan dan kesederhanaan. Wing Chun banyak menggunakan pergerakan badan berbanding otot untuk menyerang pihak lawan.

Melalui Wing Chun, dia menghasilkan satu gerakan kuat yang dikenali sebagai "Tumbukan Satu Inci". Bruce Lee telah mempamerkan teknik ini dalam satu demonstrasi pada 1964 sehingga menyebabkan sukarelawan terpelanting dan terduduk.

Salah seorang sukarelawan bernama Bob Baker terpaksa mengambil cuti sakit kerana tumbukan Bruce Lee yang kelihatan seolah-olah tidak bergerak itu. Menurut kiraan yang dilakukan pada waktu itu, Tumbukan Satu Inci Bruce Lee mencecah kelajuan 190km sejam.

Kekuatan tumbukan ini juga dapat diterangkan menggunakan sains. Bruce Lee menggunakan keseluruhan otot dan tulang di dalam badannya untuk menghasilkan tumbukan kuat ini menyebabkannya kelihatan seperti dia memiliki kekuatan luar biasa.

2. Mengalahkan guru Karate dalam 11 saat

yoichi nakachi

Ketika Bruce Lee mengajarkan seni bela diri di Seattle pada awal tahun 60-an, ramai pengamal seni bela diri Asia marah kepada Lee yang mengubah seni bela diri tradisional dan menerima pelajar dari Barat.

Seorang ahli seni bela diri Karate bernama Yoichi Nakachi adalah antara individu yang tidak bersetuju dengan falsafah Bruce Lee. Menurut salah seorang murid Bruce Lee berjama Jesse Glover, Nakachi sering mencabar Bruce Lee untuk bertarung dan hadir di kebanyakan demonstrasi untuk mengganggu Bruce Lee.

Bruce Lee pada mulanya enggan melayan kerenah Nakachi tetapi akhirnya bersetuju dengan cabaran itu. Pertarungan antara mereka hanya disaksikan oleh lima orang sahaja termasuk Glover.

Nakachi memulakan serangan tetapi berjaya ditahan oleh Bruce Lee. Bruce Lee kemudian melepaskan beberapa tumbukan dan tendangan pada dada, kepala dan lutut Nakachi. Guru karate itu tidak sedarkan diri dan mengalami keretakan pada tengkorak. Keseluruhan pertarungan itu hanya mengambil masa 11 saat sahaja.

3. Perlu peralatan khas untuk latihan

punching bag bruce lee

Kekuatan fizikal Bruce Lee begitu hebat sehingga dia memerlukan peralatan khas untuk berlatih. Bruce Lee dilaporkan telah memusnahkan beberapa peralatan seperti punching bag dan patung kayu biasa.

Untuk latihan tendangan, Bruce Lee menggunakan punching bag khas seberat 135-300kg berbanding beg biasa yang hanya seberat 40-50kg. Bagi latihan tumbukan pula, Bruce Lee mereka satu patung khas yang diperbuat daripada campuran kayu dan besi.

Bruce Lee juga menghasilkan satu peralatan khas untuk melatih seni mempertahankan diri yang diciptanya, Jeet Kune Do. Malah, peralatan khas ini juga direka supaya rakan yang berlatih dengannya tidak cedera walaupun ada kalanya ia masih berlaku.

Seorang pembantu telah mengalami bahu terkehel apabila memegal punching bag ketika Bruce Lee melakukan latihan tendangan. Bruce Lee agak bingung kerana dia tidak menggunakan sepenuh tenaga ketika kejadian itu berlaku.

4. Kamera filem tidak mampu menangkap kelajuan Bruce Lee

bruce lee kato

Pada 1966, Bruce Lee menjalani penggambaran siri TV Amerika pertamanya iaitu The Green Hornet sebagai Kato. Namun, terdapat satu masalah ketika penggambaran sedang dijalankan.

Pergerakan Bruce Lee terlalu laju untuk rakaman kamera pada waktu itu. Pengarah meminta supaya Bruce Lee memperlahankan gerakannya tetapi ia masih lagi blur apabila rakaman ditayangkan semula.

Akhirnya, pihak produksi mendapat idea dengan menggabungkan dua teknik untuk menjadikan babak pertarungan Bruce Lee lebih nyata. Bruce Lee terpaksa memperlahankan lagi gerakannya dan pihak produksi meningkatkan kelajuan filem ketika babak pertarungan untuk mengatasi masalah itu.

5. Ramai pelajar daripada golongan selebriti

bruce lee kareem abdul jabbar

Kareem Abdul-Jabbar dan Bruce Lee

Pada sekitar tahun 60-an, beberapa nama besar telah meminta Bruce Lee untuk mengajarkan mereka seni bela diri. Selebriti yang menjadi anak muridnya ialah seperti pelakon Chuck Norris dan Steve McQueen, legenda bola keranjang Kareem Abdul-Jabbar dan banyak lagi.

Apabila salah seorang anak murid selebritinya bernama Stirling Silliphant menghebahkan kehebatan Bruce Lee kepada selebriti lain, Bruce Lee merasa sedikit jengkel. Dia telah menaikkan yuran daripada $100 sejam kepada $275 sejam supaya tidak ramai yang sanggup membayarnya.

Namun, jangkaan Bruce Lee silap apabila ramai selebriti yang terus menginginkan khidmatnya. Walaupun tidak begitu suka, Bruce Lee terpaksa melakukannya kerana bayaran yang lumayan. $275 pada ketika itu bersamaan kira-kira $2,000 pada hari ini.

Para pelajar selebriti ini sedikit sebanyak membantu menaikkan nama Bruce Lee dalam bidang seni bela diri dan dunia hiburan.

6. Bruce Lee menakutkan pelakon siri TV "Batman"

the green hornet dan batman

Dalam siri The Green Hornet yang ditayangkan pada 1966-67, watak Kato dan Green Hornet membuat penampilan dalam siri TV "Batman". Kato dan Green Hornet pada mulanya bekerjasama dengan Batman dan Robin tetapi mereka perlu bertarung sesama sendiri dalam satu babak.

Watak Kato lakonan Bruce Lee diarahkan bertarung dengan watak Robin lakonan Burd Ward. Perkara itu membuatkan Ward begitu gementar dan takut untuk melakonkan babak melawan Kato.

Mengikut skrip, watak Kato kalah kepada Robin tetapi Bruce Lee tidak berpuas hati dan tidak mahu melakonkan babak itu. Bruce Lee mendakwa semua orang tahu bahawa Robin akan kalah dengan mudah menentang Kato.

Pihak produksi terpaksa meredakan ketegangan itu dengan merombak semula skrip dan babak pertarungan antara Kato dan Robin di mana ia berakhir dengan seri. Walau bagaimanapun, Burt Ward masih lagi kelihatan gemuruh ketika melakonkan babak itu.

Sebenarnya, banyak lagi kisah yang menjadikan Bruce Lee sebagai seorang legenda. Ada sebahagian kisah hebat Bruce Lee masih lagi dipersoalkan dan belum terbukti 100% sahih sementara sebahagian pula memang mengagumkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)