Setiap orang mempunyai kenangan manis berkunjung ke kompleks beli-belah. Bagaimanapun sama seperti air laut, perniagaan beli-belah berkonsep shopping mall ini pun ada pasang surutnya mengikut perkembangan ekonomi negara.
Malaysia dengan kompleks beli-belah memang tak boleh dipisahkan, menjadi bukan saja pusat komersial bahkan kompleks-kompleks sebegini juga memainkan menjadi pusat sosial yang menjalin interaksi meluas di kalangan ahli masyarakat kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Tetapi setiap shopping mall ada jangka hayatnya sehingga terpaksa ditutup atau diroboh, memadam semua nostalgia yang pernah kita ada. Berikut adalah tanda jelas bila sebuah kompleks beli-belah itu sedang berdepan masalah dalam niaga.
1. Kedai penyewa mula berpindah keluar
Petanda utama dan terawal sebuah kompleks beli-belah sedang berdepan masalah, adalah apabila penyewa-penyewa premis perniagaan yang dibuka di dalamnya mula meninggalkan kompleks tersebut. Tak kiralah penyewa premis kecil, peniaga di medan makanan atau penyewa berstatus tunjang atau anchor tenant yang menjadi tarikan utama - kalau nampak ada perubahan yang ketara dari segi pergerakan peniaga, itu sudah jelas menampakkan kepincangan sedang melanda.
Paling jelas sekali di medan seleralah. Sekiranya dapur-dapur masakan di sana tidak ada lagi penyewa, melainkan hanya segelintir yang kekal ada, itu membuktikan bilangan pekerja yang bertugas di kompleks itu sudah tidak mencukupi untuk membantu peniaga makanan dan minuman terus beroperasi.
2. Fasiliti ditutup demi mengurangkan bajet
Selepas berlakunya penamatan penyewa kepada ruang niaga, apa yang akan terjejas seterusnya adalah kadar bayaran sewa yang diterima pemilik bangunan.
Oleh kerana kekurangan penyewa, pemilik atau badan operasi kompleks akan perlu memperkenalkan langkah-langkah penjimatan terhadap fasiliti yang sebelum itu ada. Nyalaan lampu yang sebelum itu meriah terpaksa dikurangkan. Eskalator dan lif akan dihadkan penggunaannya.
Yang sedih, fasiliti menarik seperti air pancut pun terpaksa dihentikan bagi mengurangkan belanja elektrik dan air agar kompleks mampu beroperasi. Suasana kompleks beli-belah akan bertukar menjadi suram dan sedikit menakutkan.
Nak singgah pun, rasa berat hati kerana pendingin hawa di dalamnya sudah dimatikan. Nak meninjau pun kita kena baca doa dulu, takut terserempak lembaga jadian di dalamnya.
3. Ruang legar bawah mula disewakan sebagai kedai perabot
Penyewa dah keluar. Fasiliti dah dihadkan. TIdak ada lagi daya tarikan menarik mampu dijadikan bahan pameran di ruang legar. Sayanglah ruang sebesar itu tidak dimanfaatkan, bukan?
Banyak pemilik kompleks beli-belah memilih jalan menyewakan ruang legar mereka kepada pengusaha syarikat perabot, untuk mempamer dan menawarkan produk jualan mereka kepada yang hadir. Ini adalah petanda yang sangat penting untuk kita tahu.
Kerana sekiranya kompleks beli-belah yang anda gemari sudah tiba ke tahap ini, besar kemungkinan kompleks itu sudah tidak boleh lagi diselamatkan.
4. Kiosk-kiosk mula memenuhi ruangan yang ada
Oleh kerana penyewa sudah lari keluar dan tidak ada peniaga baru mahu masuk menyewa, dek bimbang risiko meniaga - langkah kedua yang akan diambil pemilik kompleks beli-belah dalam menurunkan kerugian, adalah menyewakan laluan dalam kompleks kepada peniaga kiosk.
Ini kerana jika dibandingkan dengan premis sebenar, sebuah kiosk biasanya tidak memerlukan kadar sewa yang tinggi kepada peniaga serta mampu merendahkan bil utiliti yang perlu ditanggung pemilik.
Barangan yang dijual oleh kiosk-kiosk ini pula biasanya pelbagai, dengan sesetengah peniaga secara terbuka berani menjual barangan cetak rompak yang salah di sisi undang-undang, pada harga yang agak mencekik kita.
Kalau ada penyewa premis pun, barang pamerannya ibarat pasar malam dengan jualan barangan murah menjadi tarikan utama. Tidak ada hiasan, bahan pemasaran atau rak cantik menyusun produk yang ada. Kadang-kadang, papan tanda kedai pun tak ada.
Namun semua ini tidak lagi menjadi faktor, kerana pada tahap ini - kompleks beli-belah ini sudah nazak.
5. Laluan pelanggan mula dijadikan stor peniaga
Dalam tahap terakhir sebelum sebuah kompleks beli-belah melingkup, setiap kompleks tenat ini akan sampai ke tahap di mana peniaga yang meniaga di kiosk-kiosk dibenarkan melambakkan barangan mereka sepanjang laluan.
Jadi penuhlah barangan-barangan peniaga kiosk ini bukan saja di kiosk, bahkan memenuhi laluan pejalan kaki yang ada sehingga menyukarkan kita bergerak.
Tahap kebersihan, estetik dan komersial pada tahap ini sudah tidak dipedulikan lagi sehinggakan ada ketikanya mop lantai, baldi, kain buruk pun boleh disidai di mana-mana saja yang tukang cuci suka, menambah lagi cela pada pemandangan.
Akhirnya, kompleks beli-belah yang satu ketika dulu ceria dan menjadi tempat nostalgia kita masa muda, bertukar menjadi tempat yang gelap, suram dan hapak baunya - menunggu masa ditutup menamatkan era kegemilangan yang pernah kita rasa.
Satu per satu kiosk akan berhenti meniaga...dan yang tinggal hanyalah kedai perabot di ruang legar utama. Kami tak tahu kenapa syarikat perabot sebegini kental betul bertahan lama.