Dalam internet, di kalangan majoriti orang merasakan diri mereka bijak berbahas. Pendapat dan reaksi dikeluarkan sewenang-wenanganya, dipertahankan dengan keras seandainya kita dikritik.

Senang cerita, tidak ada orang bodoh dalam internet - semuanya bijak-bijak belaka. Tetapi dari segi kajian psikologi, terdapat beberapa ciri yang membezakan orang yang bijak dan orang yang tidak mampu berfikir dengan baik. Sifat-sifat ini pula mampu dikenalpasti dengan mudah, asalkan kita mampu menyelami diri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima petanda paling jelas anda mempunyai IQ atau kemampuan berfikir yang rendah.

1. Tidak mempunyai daya ingin tahu yang tinggi

tiada keinginan pelajari sesuatu perkara baru

Kanak-kanak mempunyai satu sifat yang sepatutnya dipupuk sejak kecil iaitu rasa ingin tahu terhadap semua perkara.

Masih ingat tak bagaimana setiap perkara baik kecil atau besar, mampu mengakibatkan kita tertanya-tanya semasa kita kecil? Malangnya, lama-kelamaan usia yang meningkat mengakibatkan kita kurang rasa ingin tahu.

Mungkin disebabkan tekanan hidup serta masa terbatas, kita mula rasa kurang nak ambil 'port' tentang perkara yang kita anggap tidak penting sebaliknya hanya gemar menumpukan kepada perkara yang rutin dan biasa.

Seseorang yang mempunyai IQ rendah tidak lagi berminat untuk tahu perkara baru, enggan bertanya serta cukup berpuas hati dengan apa yang telah diketahui mereka.

Mereka merasakan apa yang mereka tahu sudah memadai dan mencukupi untuk mereka meneruskan hidup.

2. Berfikiran sempit

minda sempit tanda fikiran cetek

Salah satu masalah yang sangat ketara di kalangan netizen adalah masalah bagaimana sempitnya pemikiran kita dalam menerima sesuatu perbezaan pandangan yang baru.

Kita gemar berpaut kepada kepercayaan yang telah kita pegang, tanpa mahu sedikitpun cuba melihat sesuatu isu dalam perspektif baru.

Dalam masa yang sama, kesempitan fikiran ini juga menyumbang kepada keegoan seseorang menjadi sukar untuk menerima pendapat yang mencabar pemikiran kita. Kita percaya kita dah tahu semuanya, mereka yang mempertikaikan kita adalah mereka yang tidak tahu.

Ini adalah sifat yang cukup jelas sering berlaku pada seseorang yang mempunyai IQ rendah.

Dia gagal untuk membuka mindanya, sering merasa pandai serta takut untuk dicabar apa yang dia percaya; menghalang dirinya daripada menyerap pandangan yang sepatutnya mencerdikkan dirinya.

3. Tidak mampu menilai kembali perbuatan sendiri

tanda iq rendah

Kegalalan mempunyai kemampuan untuk mengenalpasti kelemahan diri, akibat dan kesan hasil kerja tangan kita merupakan ciri ketara seseorang yang lemah berfikir.

Seseorang yang lemah IQ-nya gagal untuk mengetahui perkara yang perlu diperbaiki sama ada melibatkan perangai peribadinya atau hubungannya dengan orang lain, sebaliknya suka untuk terus menuding jari, sekiranya sesuatu isu berlangsung tidak seperti yang dia harapkan.

Ada masanya sesuatu perkara itu cukup mudah diterjemahkan sekiranya kita meletakkan beban ke atas diri kita sendiri, membolehkan kita tahu apa yang patut dielakkan di masa hadapan dan cara memperbaiki apa yang telah rosak.

Orang lemah fikiran pula terus kekal dalam kotak mindanya, enggan untuk menyalahkan secuit pun dirinya malahan akan terus kekal bertindak keras menyerang mereka yang dirasakan bertanggungjawab terhadap nasib buruk menimpa dirinya.

4. Terlalu berfikiran fantasi

petanda seseorang beriq rendah

Dalam isu politik khasnya, kita dapat melihat bagaimana ramai netizen mengeluarkan pendapat-pendapat dan permintaan yang ada kalanya tak masuk akal.

Dia mahu itu, dia mahu ini, dia mahu hidup senang, tetapi realitinya semua permintaan itu teramat sukar untuk digapai.

Apa yang sangat menyedihkan, individu-individu seperti ini meletakkan beban tanggungjawab memenuhi fantasi sendiri kepada pihak lain seperti kerajaan, parti politik, ahli politik atau sesiapa saja yang diidolakan mereka; tanpa mahu mengakui perubahan utama perlulah datang dari diri sendiri.

Seorang yang mempunyai fikiran fantasi ini mempunyai satu bentuk impian utopia yang mereka harapkan dapat dibentuk, memberikan mereka lonjakan hidup diharapkan mereka.

Lebih menyedihkan sekiranya apa yang mereka hajati itu gagal atau dikekang perancangannya, individu berfikiran fantasi ini akan mudah naik berang serta kembali kepada sikap menyalahkan orang lain yang dikatakan menjadi punca fantasinya gagal dilaksana.

5. Berfikiran hitam atau putih

pemikiran hitam putih

Semua situasi mempunyai bermacam cara untuk kita melihatnya, tetapi bagi individu berfikiran lemah mereka hanya mampu menelaah sesuatu berdasarkan kepada pegangan hitam atau putih.

Jika dia pilih hitam, yang putih salah. Jika yang dia pegang putih, siapa yang melihatnya hitam dilihat perlu diperbetulkan.Seperti kami sudah tegaskan di atas, perbuatan paling senang dalam memperbaiki kemampuan kita berfikir adalah dengan kembali berpijak di bumi nyata.

Jika realiti yang positif tidak membenarkan kita terlalu mengharapkan fantasi atau menyempitkan fikiran, pemikiran hitam atau putih juga perlulah berpaksikan kepada dunia nyata. Ada berjuta-juta orang di sekeliling kita dalam satu masa yang melihat sesuatu isu dalam berjuta-juta perspektif berbeza, tak serupa kita.

Kemampuan untuk menerima kewujudan berjuta-juta perspektif ini tanpa memaksa orang lain menerima hitam atau putih yang kita suka, merupakan langkah pertama yang patut kita lakukan dalam memperbaiki kemampuan minda kita.

Seseorang yang berdaya fikiran lemah hanya mampu memproses pemikiran hitam putih, keras berpegang bahawa hitam atau putih adalah solusi dan masalah utama tanpa mampu memahami wujud bermacam spektrum kelabu di antara kedua-dua warna.




Hakcipta iluminasi.com (2017)