Mengharungi musim wabak dalam skala pandemik sudah pastilah bukan sesuatu yang mudah, bagi semua orang.
Sekiranya kita merasakan terpaksa berkurung di rumah berhadapan dengan kehilangan kebebasan akibat kuarantin sukar, pasti jauh lebih sukar nasib mereka yang dijangkiti atau menerima perkhabaran buruk ada ahli keluarga yang didapati positif.
Bagaimana wabak Covid-19 akan berakhir? Kita belum tahu lagi. Apa yang kita tahu, adalah bagaimana pandemik sebelum ini berakhir. Berikut adalah lima kisah ringkas bagaimana pandemik-pandemik dalam sejarah berakhir?
BESARKAN TEKS A- A+
1. Wabak Justinian (tahun 540)
Kehadiran tikus-tikus dalam kapal dipercayai datang dari Mesir ke sebuah pekan pelabuhan bernama Pelusium, menyebabkan jangkitan wabak mula merebak ke bandar-bandar besar seperti Alexandria dan Constantinople, pusat pentadbiran Empayar Byzantine.
Merebak melangkaui benua Eropah, Asia dan Afrika. dianggarkan wabak ini membunuh sehingga 100 juta orang - hampir separuh daripada populasi manusia ketika itu. Pada ketika itu, tidak ada cara dan kaedah yang boleh dicuba bagi membendung penyebaran wabak yang terjadi.
Banyak yang tidak diketahui tentang wabak Justinian kerana wabak ini berlaku lebih 1400. Berdasarkan kepada kajian tentang kemajuan perubatan zaman tersebut, dianggarkan wabak Justinian tamat bukan kerana mereka menemui penawarnya - tetapi kerana semua yang teruk dijangkiti meninggal dunia.
2. Maut Hitam (abad ke 14)
Dikenali dengan nama 'The Black Death' oleh masyarakat Eropah yang menjadi mangsa paling ramai wabak ini, wabak ini merupakan wabak jangkitan yang sama seperti wabak Justinian - serta mempunyai kadar kematian yang hampir serupa.
Maut Hitam dipercayai bermula dari Asia Tengah sebelum merebak ke China dan sampai di Crimea (kini di Russia) yang menjadi laluan utama wabak itu hadir ke Eropah. Dianggarkan 30 ke 60% penduduk Eropah meninggal dunia dalam wabak ini dan populasi manusia berkurangan daripada 475 juta orang kepada 350-375 juta yang tinggal.
Bagi menghentikan penyebaran, pihak berkuasa pelabuhan Venice yang menyedari puncanya datang daripada isi anak kapal yang berlabuh - memperkenalkan undang-undang agar semua anak kapal dan barangan yang hadir, perlu menunggu di pelabuhan selama 30 ke 40 hari; sebelum dibenarkan turun ke darat.
Maut Hitam tidak tamat di situ, kerana kesannya terus menular di banyak lagi negara - tetapi kaedah yang diperkenalkan, berjaya memperlahankan penyebarannya.
3. Wabak Huey Cocoliztli (abad ke 16)
Wabak yang jarang disebutkan kerana bersifat epidemik ini berlaku di kalangan masyarakat Aztec dalam dua fasa, dari tahun 1545 hingga 1548 dan 1576 sehingga 1580. Kesannya pula amat menakutkan - menyebabkan populasi orang Aztec pada ketika itu menurun daripada anggaran 20 juta orang kepada hanya 2 juta orang.
Punca wabak pula adalah disebabkan oleh kedatangan pedagang Sepanyol ke kawasan itu, yang dipercayai membawa bermacam jenis penyakit baru - dan salah satunya adalah penyakit demam panas, yang kini kita tahu adalah demam tifoid.
Jangkitan tidak pernah berhenti dalam peringkat epidemik sehinggalah kes terakhir dilaporkan pada 1815. Apa yang memburukkan keadaan, orang Aztec/Mexico bukan sekadar perlu berdepan epidemik dan kematian orang tersayang - mereka juga perlu berhadapan dengan penjajah Sepanyol yang mahu menjadikan masyarakat tempatan pekerja, bagi membolehkan mereka membangunkan empayar.
4. Wabak besar Yunnan ( tahun 1855)
Direkodkan bermula seawal tahun 1787 dalam skala kecil, wabak besar Yunnan melanda wilayah Yunnan dalam beberapa fasa, dikatakan berpunca daripada usaha pembangunan atau urbanisasi yang dijalankan. Ini menyebabkan populasi Yunnan meningkat mendadak dalam tempoh 100 tahun.
Kesedaran orang ramai tentang kaedah melawan wabak ketika itu sudah mula subur. Masyarakat Yunnan menyedari jangkitan wabak kebiasaannya bermula disebabkan oleh kematian tikus, jadi mereka mula menanam bangkai tikus yang ada serta memasang api dalam rumah, kerana mereka percaya api mampu membunuh apa saja yang menyebabkan wabak itu.
Malangnya, langkah pencegahan yang mereka ambil gagal membantu disebabkan oleh perang saudara yang terjadi. Situasi yang buruk menyebabkan tahap kebersihan terpaksa diabaikan, sehinggakan serangan wabak berlaku besar-besaran bermula sejak 1855. Beberapa kawasan mengalami penurunan populasi sehingga 80%, dengan anggaran 50 orang mati dalam sehari.
5. Wabak penyakit cacar
Penyakit cacar atau 'smallpox' merupakan jangkitan yang kerap berlaku, direkodkan sejak 10,000SM lagi. Wabak ini dikatakan datang daripada kawasan penempatan di Afrika, sebelum pedagang dari Mesir hadir ke situ membawa sama jangkitannya ke benua lain.
Jadi sepanjang tempoh tersebut, pasti akan berlaku jangkitan cacar di beberapa kawasan yang lebih bersifat epidemik. Aktiviti penjajahan yang berlaku di seluruh dunia oleh orang Eropah mula menyebabkan jangkitan ini merebak lebih pantas, lebih luas. Di benua Eropah saja, dianggarkan 400,000 orang meninggal dunia akibat cacar dalam setahun.
Sudah direkodkan pelbagai usaha dilakukan untuk menangani wabak cacar ini, dengan proses inokulasi di mana akan dibuat bukaan pada kulit seseorang yang sihat - akan dijangkitkan dengan nanah seorang pesakit cacar menjadi kaedah utama rawatan.
Kaedah itu walaupun mampu memberi kesan yang positif, agak sukar dikawal kesan negatifnya. Hanya selepas seorang doktor British bernama Edward Jenner berjaya mencipta vaksin pertama dunia untuk penyakit cacar pada tahun 1796 barulah wabak ini berjaya dikawal.
Kes terakhir cacar direkodkan berlaku pada tahun 1975 dan kematian terakhir berlaku pada tahun 1978, selepas keberkesanan vaksin membolehkan jangkitan itu berjaya dikawal seterusnya dibasmi.