Budaya mat rempit dan kaki lumba kereta memang berleluasa di merata-rata tempat. Budaya ini turut sama mendapat 'sokongan' daripada penggiat seni, dengan filem-filem bertemakan mat rempit serta pelumba kereta haram kerap menjadi kandungan filem tempatan, malahan siri Fast and The Furious turut menjadi salah satu siri filem paling laris, pada peringkat antarabangsa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekiranya ditanya pada mereka yang terlibat dalam aktiviti ini, majoritinya akan menceritakan tentang rasa seronok yang hadir apabila adrenalin sudah merebak dalam badan, sehingga menyebabkan ramai ketagih untuk mengulangi aktiviti-aktiviti ini. Mengejar kelajuan terpantas sudah jadi aktiviti yang menarik minat orang ramai, tak kiralah melalui cara yang salah atau pun cara rasmi - seperti menyertai sesi di litar.

Bagi kaki kelajuan ini - berapakah kelajuan terpantas pernah dicapai manusia di atas tanah yang telah direkodkan? Berikut adalah lima rekod terpantas pernah dicatatkan manusia di atas tanah.

5. The Green Monster (927.87km/j)

art arfons green monster kelajuan terpantas

Green Monster adalah gelaran yang diberikan kepada kenderaan pacuan enjin jet turbo yang telah pun memegang rekod kelajuan terpantas atas tanah 3 kali di antara tahun 1964 hingga 1965. Dibina oleh adik beradik Art Arfons dan Walt Arfons, Green Monster menggunakan enjin yang dibina oleh General Electric Motor bernombor J79, diambil daripada sebuah jet pejuang.

Art membeli sendiri enjin tersebut daripada seorang penjual besi buruk, walaupun pada awalnya ditentang oleh kerajaan Amerika Syarikat dan GE sendiri - berikutan tindakan itu akan mendedahkan rahsia enjin tersebut pada awam. Art dan Walt membina semula enjin tersebut lalu dipasangkan pada kenderaan mereka, melakukan rekod tersebut di lapangan garam Bonneville pada 7 November 1965.

4. Spirit of America - Sonic 1 (955.950km/j)

spirit of america so1 kelajuan terpantas

Satu minggu selepas bersaing dengan The Green Monster dan tewas kerana terbabas, kenderaan Spirit of America -Sonic 1 (SOAS1) kemudiannya berjaya memecah rekod yang dicatatkan oleh Art Arfons pada 15 November 1965. SOAS1 berjaya mencatatkan kelajuan hampir 30km/j lebih pantas berbanding The Green Monster di atas laluan yang sama.

SOAS1 dibina memang untuk menjadi pencabar kepada adik beradik Arfons, menggunakan enjin jet turbo yang serupa seperti The Green Monster, menjadikan kelajuan kedua-duanya memang setara. Setelah berjaya memecahkan rekod The Green Monster, SOAS1 memegang rekod kelajuan terpantas atas tanah selama 5 tahun sebelum dipecahkan oleh kenderaan berikutnya dalam senarai.

3. Blue Flame (1,014.656km/j)

blue flame kelajuan terpantas

Kenderaan berwarna biru yang dinamakan Blue Flame ini dibina oleh sebuah syarikat pembinaan enjin bernama Reaction Dynamics sejak tahun 1965, dengan bantuan pakar-pakar bidang gas American Gas Association dan juga Institut Teknologi Gas Des Plaines, Illinois. Apa yang menarik, berbanding dua pemegang rekod sebelum ini - enjin yang dipasang pada Blue Flame adalah enjin ciptaan mereka sendiri.

Rekod dunia Blue Flame dibuat pada 23 Oktober 1970 oleh pemandu Gary Gabelich, dengan cubaan dilakukan sebanyak dua kali dalam mendapatkan ketepatan kelajuan yang dicapai. Berjaya memecah penanda 1,000km/j secara rasmi, Blue Flame kini dipamerkan di Sinsheim, Jerman sejak tahun 1981.

2. Thrust2 (1020.406km/j)

thrust2 kelajuan terpantas

Thrust2 adalah satu projek melibatkan banyak pihak, diketuai oleh seorang usahawan Scotland bernama Richard Noble. Richard menjadikan impian hidupnya untuk berusaha mencabar rekod-rekod kelajuan yang telah dicapai serta mahu menjadi pemegang rekod itu sendiri. Bermula kecil-kecilan pada tahun 1979, ciptaan Thrust2 banyak berdepan masalah teknikal dan kewangan.

Cubaan-cubaan serta eksperimen yang dilakukan, termasuklah sesi ujian banyak berhadapan kesukaran. Usaha untuk melakukan rekod di Lapangan Garam Bonneville tidak kesampaian, jadi kru Thrust 2 memilih untuk melakukannya di Gurun Black Rock pada 4 Oktober 1983. Rekod yang mereka cipta pada hari itu, dengan menggunakan enjin binaan syarikat Rolls-Royce berjaya memegang rekod selama 14 tahun sebelum Richard Noble dan pasukannya kembali, mencatatkan rekod baru.

1. Thrust SSC (1227.985km/j)

thrust ssc kelajuan terpantas

Sudah meletakkan namanya sebagai pemegang rekod dan merasai sendiri pengalaman memandu terlalu laju, Richard Noble kembali mengetuai pembinaan sebuah lagi jentera baru yang dinamakan sebagai Thrust SSC. Kenderaan sepanjang 16.5 meter itu dipacu oleh dua buah enjin Rolls-Royce yang akan menggunakan 18 liter minyak setiap saat atau 550l/100km!!

Dalam percubaan rekod itu, Thrust SSC dipandu oleh juruterbang Tentera Udara Britain, Andy Green di Gurun Black Rock, Nevada, lokasi sama Thrust 2 mencatatkan rekodnya. Berikutan penambah baikan yang telah dilakukan oleh pasukan dan kru, Thrust SSC berjaya menjadi kenderaan darat pertama berjaya memecah kelajuan bunyi pada 15 Oktober 1997.

Rekod yang dicatat ini masih kekal hingga kini, namun Richard Noble dan pasukannya bakal kembali lagi memecah rekod yang mereka pegang. Kenderaan baru yang dinamakan sebagai Bloodhound SSC dianggarkan mampu mencecah 1609.km/j dan pembinaan serta ujian masih dijalankan, dengan anggaran rekod baru bakal dicipta dalam tahun 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)