Kerjaya sebagai ejen insurans memang kelihatan indah, apatah lagi ejen-ejen pula kerap tayang gambar mereka berbelanja mewah, melancong dan bertukar-tukar kereta. Macam dah jadi tren pula mesti berbuat demikian.
Di sebalik perkongsian kebahagiaan yang acapkali dimuat naik, sebenarnya tersembunyi banyak kisah duka berkenaan bebanan tugas sebagai ejen insurans yang jarang ejen sendiri paparkan. Kenapa? Tanya mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah lima rahsia berkenaan kerjaya sebagai ejen insurans yang perlu anda tahu, sebelum anda memberanikan diri terjun ke dalamnya.
1. Di mulut macam senang tapi realitinya..
Jika anda buat-buat berminat nak jadi ejen, kebanyakan ejen yang akan bertindak sebagai introducer akan katakan kerjaya ini mudah. Mereka akan keluarkan hujah menggunakan teori seperti 'the rules of large number' yang kerap menjadi peluru mereka dalam menarik anda turut serta - 'Senang, asal rajin, kena buat dan ikut saja sistem pasti akan sukses.'
Bagaimanapun, mereka tidak akan sama sekali menceritakan berkenaan tingginya kadar 'turnover' ejen yang berhenti separuh jalan tanpa sempat menghabiskan walau setahun perkhidmatan ekoran kegagalan melakukan jualan. Statistik menyokong hujah ini. Hanya 11 daripada 100 ejen berjaya kekal berkhidmat selepas tempoh 3 tahun.
2. Syarat memenuhi minima keperluan lesen
Selain bertanggungjawab menguruskan keperluan pelanggan, ejen insurans juga sebenarnya menanggung beberapa keperluan lain yang perlu dipenuhi, sebagai syarat bagi membolehkan mereka terus menjadi ejen. Setiap tahun akan ada sasaran minima jualan yang perlu mereka penuhi, sebagai contoh RM15,000 atau RM20,000 jualan terkumpul.
Ejen juga perlu memenuhi 30 jam penyertaan dalam latihan seperti yang telah ditetapkan oleh badan pengurusan insurans dan takaful negara. Ada kalanya kursus memerlukan sehingga empat hari penyertaan bagi melayakkan mereka dianggap memenuhi syarat lesen.
Walau bagaimanapun, satu syarat minima yang jarang ejen ceritakan serta selalu menjerat ejen-ejen baru adalah syarat minima kuota bayaran atau 'persistency.'
3. 'Persistency' - beban terbesar ejen
Tahukah anda kenapa kebanyakan ejen insurans yang anda jumpa akan memujuk anda membayar secara lump sum premium insurans untuk setahun tempohnya? Ini adalah kerana setiap ejen sebenarnya dikenakan syarat perlu mengutip sekurang-kurangnya minima 12 bulan premium daripada setiap pelanggan.
Sekiranya seorang pelanggan yang telah pun bersetuju namun membayar kurang daripada 12 bulan bayaran - ini akan menyebabkan kadar 'persistency' akan menurun. Apabila kadar persistency menurun ke satu tahap di bawah paras yang ditetapkan, bonus tidak lagi akan dibayar atau lebih teruk, ejen itu boleh ditamatkan perkhidmatannya.
Di sinilah ejen akan mengalami kerugian. Bagaimana? Teruskan bacaan anda.
4. Beban kewangan menjadi ejen
Tidak ramai menyedari dan mengetahui kerjaya sebagai ejen insurans dan juga takaful sebenarnya memerlukan ejen mengeluarkan wang dalam jumlah yang agak besar, bagi mengelakkan mereka dibuang kerja. Apatah lagi dalam zaman ekonomi malap seperti sekarang, pasti ramai pelanggan yang akan gagal atau tidak mahu membayar premium.
Apabila seorang pelanggan baru yang perlindungannya berusia bawah 1 tahun gagal untuk terus membayar sehingga mengganggu kadar 'persistency,' ejen-ejen kebiasaannya mengambil jalan mudah tolong membayarkan sahaja premium tertunggak bagi memastikan bonus dan lesen mereka berjalan.
Anda andaikan seorang pelanggan gagal membayar untuk 6 bulan premium berjumlah RM150, ini akan memaksa ejen melunaskan 6 bulan baki yang ada untuk mencukupkan tempoh 1 tahun. Jumlah RM900 untuk seorang. Bagaimana kalau ejen perlu membayar bagi beberapa orang pelanggan lagi?
Tak nak tolong bayarkan ; persistency jatuh. Bonus hilang tak apa lagi. Lesen pun boleh ditarik balik. Isu yang lebih besar; ditangkap tolong bayarkan premium client, itu sebenarnya akan menjadi satu kesalahan etika kerja ejen insurans.
5. Ejen boleh digantikan dengan mesin
Penulis sudah menerangkan serba sedikit masalah yang dihadapi oleh ejen insurans di negara kita. Bagaimanapun, masalah yang nampaknya akan dihadapi oleh mereka kelak adalah kepesatan teknologi yang akan membuatkan tugas ejen semakin hari boleh digantikan dengan mesin.
Buat masa sekarang, peraturan hanya membenarkan jualan kad perubatan melalui ejen-ejen lantikan menyelamatkan kerjaya ejen tetapi untuk produk lain seperti insurans nyawa, kenderaan, rumah dan lain-lain sebenarnya sudah boleh dibeli melalui atas talian.
Berapa lama lagi kerjaya sebagai ejen akan bertahan? Sebuah syarikat insurans di Jepun sudah menggantikan puluhan ejen insurans mereka dengan kepintaran buatan untuk menguruskan tuntutan. Selain itu ramalan firma McKinsey & Co juga menyebut - sekitar tahun 2030, majoriti ejen insurans yang ada ketika ini hampir 90 peratus tidak lagi akan bertindak menguruskan tuntutan, tetapi lebih hanya kepada jualan dan pemasaran.
Jadi seandainya anda hanya memerlukan ejen untuk membeli insurans di masa hadapan, adakah anda sebagai pelanggan sanggup untuk terus membayar komisyen pada ejen bertahun-tahun walaupun tugasnya sebenarnya sudah tiada keperluan?