Mencari kerja memang bukan sesuatu yang mudah, khasnya dalam era pasca Covid-19 ini di mana ekonomi yang agak gawat memaksa banyak penjimatan daripada aspek kewangan dilakukan baik dari individu dan juga syarikat.
Walaupun demikian penulis agak terkejut juga setelah menemui seorang kenalan penulis yang kelihatan agak gembira dia bakal kehilangan kerja. Bertugas sebagai seorang ejen insurans kata kenalan ini, merupakan satu pengalaman berharga tetapi pahit untuk ditelan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kenapa dia gembira diberhentikan kontraknya dan apa pula pengalaman buruk beliau yang menyumbang kepada kegembiraan itu, semasa bertugas sebagai ejen insurans? Berikut adalah lima sebab utama kenapa kehilangan jawatan tersebut, adalah satu rahmat bagi beliau.
1. Ejen insurans atau penjual insurans?
"Walaupun dalam media sosial ejen-ejen insurans sedaya upaya memaparkan imej 'mahu membantu orang ramai', kebanyakan latihan yang aku hadiri hanyalah untuk buat jualan atau sales ni," terang kenalan penulis.
"Memang jarang penekanan kepada menambah baik kemahiran kita dalam menyelia atau mengurus setiap prospek dan kes ditekankan khasnya oleh syarikat" sambung beliau lagi.
"Aku cakap pasal syarikat ya, maksud aku yang nama-nama besar insurans tu lah. Agensi memanglah ada buat training sikit-sikit tapi modul pun ikut pengalaman masing-masing. Banyak jual air liur je latihan dalam agensi ni."
"Pada akulah selama lebih 3 tahun buat insurans ni, syarikat hanya nak pastikan kau kejar sale, sale, sale, sale dan pastikan monthly payment client kau cantik, sebab itu pendapat aku dan company. Itu saja priority sebenar industry yang 'nak membantu sangat' ni."
2. Terpaksa jadi seorang yang menipu diri sendiri
"Kau tau aku ni jenis ramah dan mudah mesra dengan orang," kata kenalan penulis. "Tetapi, benda aku paling benci adalah kena paksa buat benda-benda membodohkan diri hanya semata-mata nak tinggikan peluang sale."
"Aku masa awal dulu pernah kena paksa approach 30 orang dekat shopping complex, buat-buat macam ada survey kononnya nak tahu percentage orang yang tak ada insurans lagi," cerita dia. "Padahal kami tengah cari prospect client."
"Paling tak boleh blah, aku call kawan-kawan kita seorang seorang, ajak minumlah, ajak lepak hanya sebab aku nak ada peluang cerita pasal insurans kat dia," rakan penulis mencebikkan bibir. "Bila fikir balik, malu. Member datang gembira-gembira, rupanya kita ada udang di sebalik batu."
"Ejen ni digalakkan untuk lihat semua orang sebagai prospek." Terang dia lagi. "Ada satu kali, seorang ejen lain dapat database nombor telefon tak tahu lah mana dia cedok. Semua orang dalam tu dia call nak try. Malu la sebab kerja punya pasal kita kena jadi intruder dalam hidup orang."
3. Janji manis ejen
"Dalam 3 tahun lebih aku jadi ejen, ada lah beberapa kali claim atau coverage untuk client aku tak lepas," terang dia.
"Kau tau betapa pedihnya hati ni bila kita kena salahkan balik client kita atas informasi yang dia sembunyi? Atau kita terpaksa berlakon salahkan dia balik, sebab dulu masa dia tandatangan...kita desperate nak buat sale?"
"Semua ejen dalam media sosial nampak saja manis. Tapi bila sekali saja viral kes claim atau coverage tak lepas - siapa first sekali mereka akan salahkan? CLIENT!" buntang mata dia waktu sebut tu.
"Client tak disclosed betul lah, client sebenarnya ada history lah, banyaklah alasan digunapakai," rungut dia.
"Semua tu terjadi kerana sistem insurans tu sendiri memudahkan client untuk join in, tapi menyulitkan sungguh untuk dia keluar. Semua informasi client sendiri kena disclosed willingly dan seandainya client menipu sekalipun, the burden of risk tak sikit pun jatuh pada syarikat kerana company ada rights untuk rejects claim or coverage anytime they want."
"Ejen pun bawa mentaliti serupalah. Nak signup dipermudahkan. Bila nak claim nanti disusahkan. Itulah kelemahan utama sistem insurans ni kat Malaysia. Mana due diligence process oleh syarikat before company admit seseorang ke dalam polisi?"
4. Budaya syok sendiri dalam agensi
"Salah satu isu yang aku ada dengan leader aku dalam agensi," kata rakan penulis. "Adalah bila mereka selalu desak ejen terutamanya yang separuh masa untuk berani berhenti kerja - supaya dapat 'fokus' kepada sales. Tiap-tiap kali perjumpaan, ditanyakan benda serupa."
"Sedangkan kerjaya sebagai ejen ni tak terjamin pun. Bila-bila masa boleh kena terminate, kerana kita sangat terikat dengan kuota sales kita," jelas dia. "Even client tak bayar premium bulanan pun, akan beri kesan kepada performance review kita."
"Ramai ejen yang dah kononnya sukses bila buat talk akan bangga sebut kerja mereka dulu apa. Dikutuknya kerja lama dia gaji kecillah, waktu kerja panjanglah, sanggup tinggal gaji sedap," kenalan penulis terus menyambung. "Semata-mata supaya nak pujuk orang yang belum 100% terjun dalam dunia ejen, supaya ambil risiko seperti mereka."
"Ayat 'berapa lama lagi nak macam tu? Bila nak berubah? Sampai bila?', semua tu disebut kononnya sebagai cabaran," dia tersenyum. "Lepas tu mulalah tunjuk slaid kejayaan dia. Harta apa dia ada. Kat mana dia dah melancong. Nak bagi inspirasi katanya. Majoriti ejen ni macam tu lah kaedahnya. Syok dengan kejayaan diri sendiri dan suka bercerita tentangnya."
5. Elemen 'new age movement' dalam latihan
"Benda yang aku paling tak sangka berlaku dalam sistem latihan ejen insurans ni," dia menceritakan. "Adalah penggunaan elemen-elemen latihan berkonsepkan new age movement yang sebenarnya banyak digunapakai oleh ejen, tanpa mereka sedar."
"Memang buat sales ni kena percaya perkara-perkara karut ke?" soal dia pada penulis.
"Aku sejak mula jadi ejen dah diajar untuk buat board besar-besar apa kita nak beli, apa impian kita, ke mana kita nak pergi, disuruhnya kita tampal kertas tu kat rumah," cerita dia. "Kata trainer, semua tu perlu untuk kita percaya kita boleh dapat."
"Bila mereka dah banyak guna ayat 'percaya' ni, aku dah nampak ada red-flagged tapi aku gagahkan juga," terang dia. "Tetapi modul-modul training mula letak law of attraction sebagai salah satu elemen penting yang ejen perlu 'percaya' - aku mula rasa tak sedap hati."
"Trainer pun duk ulang-ulang 'kalau kita percaya, kita positif, kita akan dapat, percaya, positif, mesti dapat," sambung kenalan tadi lagi. "Dah duduk lama dalam industri insurans ni, lama-kelamaan kita akan sedar semua cakap ayat manis, positif, cantik tentang kerjaya dan kejayaan ejen-ejen ni..."
Dia berhenti sejenak menghirup air. "Hanyalah cerita-cerita sedap yang diceritakan kepada orang ramai untuk cipta ilusi bahawa hidup sebagai ejen ni indah belaka. Aku tak bolehlah nak terus hidup sedemikian rupa. Nak jadi ejen dan pengurus agensi yang berjaya - nombor satu syarat dia mestilah jadi tukang gebang terhandal dunia."
"Lagipun aku dah penat nak kena menyanyi, bertepuk tangan, tunjuk kita positif setiap masa. Semua tu macam tak selarilah dengan dunia sebenar kita. Asal tunjuk sikap yang sedikit condong ke arah negatif je, mulalah ada peluang nak kena maki dengan manager."
Dia menghabiskan air di cawan. "Bila kau dah masuk jadi ejen ni, barulah kau sedar ada banyak persamaan sebenarnya antara kerja sebagai ejen dan jadi ahli kultus ajaran sesat yang suka memuja-muja ketua dia."