Jenama KFC atau Kentucky Fried Chicken cukup gemar mempopularkan misteri '11 rempah dan herba' yang diguna - bagi menghasilkan rasa unik ayam goreng keluaran mereka.
Resipi ini telah cuba ditiru dan direka semula banyak pihak, menjadi salah satu teknik pemasaran unik yang harus diakui sangat efektif keberkesanannya.
Sehingga dalam era teknologi maklumat, resipi asal ayam goreng KFC ini terus menjadi rahsia yang terus dilindungi dan juga terus cuba dibongkarkan.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda apa sebenarnya kandungan sebenar rahsia ayam goreng KFC? Jom kita baca kisahnya.
Popular disebabkan misteri
'Rahsia resipi KFC' menjadi salah satu teknik pemasaran paling berjaya dan syarikat pengendali restoran KFC tahu hakikat itu, jadi mereka memanfaatkan sepenuhnya apa yang mereka ada.
Misteri resipi ini memulakan usaha banyak pihak yang mahu mendedahkan apa sebenarnya kandungannya.
Salah satu pendedahan paling mengejutkan dunia serta mendapat reaksi KFC sendiri, adalah melalui buku berjudul 'Big Secrets' hasil tulisan William Poundstone keluaran tahun 1983.
Poundstone terkenal gemar membongkar apa saja mitos dan 'rahsia' yang seringkali didakwa oleh pihak-pihak tertentu, dengan resipi 11 herba dan rempah KFC menjadi salah satu fokusnya.
Melalui ujian makmal yang dijalankan untuk mengesan apakah kandungan sebenar ayam goreng KFC, hasil analisis mendapati hanya terdapat 4 bahan yang digunakan bagi membentuk rasa unik KFC; tepung, garam, lada hitam dan yang terakhir monosodium glutamate atau MSG.
Tidak ada herba dalam ramuannya seperti yang didakwa KFC.
Pendedahan Poundstone ini secara tak langsung menuduh KFC telah mengubah resipi asal yang digunakan Colonel Sanders.
Jurucakap KFC tetap mempertahankan bahawa semua ayam goreng KFC dimasak menggunakan resipi asalnya, seperti yang telah diperkenalkan sejak mula.
Resipi yang mencetuskan teori konspirasi
KFC tahu misteri berkenaan rahsia ayam goreng mereka adalah strategi pemasaran yang cukup baik.
Pada tahun 2009, syarikat pengendali jenama KFC iaitu Yum Inc. melaporkan kertas yang mengandungi tulisan tangan Colonel Sanders menyenaraikan kesemua 11 rempah dan herba kegunaannya telah pun selamat dipindahkan ke ibu pejabat mereka di Louisville, Kentucky.
Resipi itu kini selamat terletak dalam sebuah bilik kebal yang dilindungi dengan sistem penggunaan kunci pintar, lengkap dengan penggera, kamera litar tertutup serta pintu masuk keluli setebal setengah kaki - dibina di dalam sebuah ruangan berdinding konkrit setebal 2 kaki.
Lebih menarik - semasa resipi itu dipindahkan, trak yang mengangkut resipi itu ke ibu pejabat KFC merupakan trak berperisai disebabkan kebimbangan sesuatu terjadi dalam perjalanan.
Sama ada apa yang dilaporkan itu benar atau hanya sekadar taktik pemasaran - kita tak tahulah kebenarannya.
Apa yang kita tahu, sehingga kini mistik berkaitan resipi rahsia ini terus berjaya dilindungi dan dimainkan. Namun satu temuramah pada tahun 2016 yang berlaku di antara wartawan Chicago Tribune dengan salah seorang anak buah Colonel Sanders didakwa paling mirip dengan resipi asalnya.
Anak buah Colonel Sanders mendedahkan rahsia resipi
Joe Ledington adalah anak buah kepada Colonel Sanders selepas makciknya, seorang wanita bernama Claudia Ledington - adik kepada ayahnya, mengahwini Colonel Sanders sebagai isteri kedua.
Dari situlah Joe diberikan peluang untuk turut sama terlibat dalam perusahaan keluarga mereka, sama-sama membangunkan restoran ayam goreng.
Pada awalnya Joe bertugas sebagai pekerja am sebelum mula terlibat dalam penghasilan tepung salutan ayam goreng untuk dijual kepada restoran, yang menjadi modus operandi awal perniagaan Colonel Sanders.
Ekoran daripada keperluan untuk menghasilkan tepung salutan itu, pekerja-pekerja yang bertugas termasuklah dirinya sendiri perlu mengikut sukatan yang telah ditetapkan oleh pakcik mereka.
Sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung dalam permulaan empayar ayam goreng terkenal milik pakciknya, Joe mengakui mereka memang menggunakan 11 jenis ramuan herba dan rempah seperti yang didakwa.
Apakah rahsia resipi Colonel Sanders?
Sekeping nota simpanan beliau yang sebenarnya merupakan sebahagian daripada wasiat makciknya, menyenaraikan kesemua bahan yang digunakan. Joe yakin kebenarannya kerana dia sendiri pernah mengadunkan bahan-bahan itu.
11 rempah dan herba ramuan ayam goreng KFC menurut Joe adalah;
2/3 sudu besar garam
1/2 sudu besar daun thyme
1/2 sudu besar daun selasih (basil)
1/3 sudu besar oregano
1 sudu besar garam saderi
1 sudu besar lada hitam
1 sudu besar biji sawi kering (mustard)
4 sudu besar paprika
2 sudu besar garam bawang putih
1 sudu besar serbuk halia
3 sudu besar lada sulah.
Kesemua bahan-bahan ini perlulah diadun bersama 2 cawan tepung gandum.
Dalam temuramah awalnya, Joe tanpa ragu-ragu lagi mengakui apa yang disenaraikan adalah resipi sebenar pakciknya namun dalam panggilan telefon seterusnya, Joe dilihat mula tidak yakin dengan senarai itu tanpa diketahui apakah sebabnya.
Melihat senarai 11 bahan herba dan rempah yang digunakan, agak sukar untuk penulis mengakui kesemua bahan itu memang digunakan dalam penghasilan ayam goreng KFC yang ada sekarang.
Ini kerana rasa ayam goreng yang ada ketika ini agak tawar, lebih mirip kepada resipi yang didedahkan oleh Poundstone dalam bukunya. Mungkin kaedah penghasilannya yang menjadi lebih komersial mengubah rasanya.
Kita tidak akan tahu status kesahihan senarai ramuan di atas, apabila KFC sendiri menafikan kebenarannya selepas temuramah dengan Joe diterbitkan.
Walau demikian apa yang penulis ingat; rasa ayam goreng KFC yang dimakan penulis semasa kecil dan remaja jauh lebih sedap berbanding ayam goreng yang dijual ketika ini.
Mungkin faktor nostalgia membuatkan penulis berpandangan sedemikian rupa. Adakah anda berkongsi pendapat yang sama?
Rujukan
KFC recipe revealed? Tribune shown family scrapbook with 11 herbs and spices