Oleh pada 27 Jul 2019 kategori

Kes kematian pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain memang mengejutkan kita semua. Sehingga kini kes ini masih lagi dalam siasatan serta sedang menunggu untuk dibicarakan, dengan kesemua suspek disabitkan di bawah akta kanun keseksaan.

Budaya membuli ini harus diakui memang berlaku di kalangan pelajar yang tinggal di asrama, baik di peringkat rendah, menengah sehinggalah ke peringkat tertiari seperti kes allahyarham Zulfarhan. Apa yang menakutkan, kes ini sebenarnya bukanlah kes pertama yang menyebabkan kematian pelajar di kawasan tempat belajar seperti sekolah dan universiti.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sudah banyak kali kisah-kisah tragis yang serupa berlaku, sehingga mengorbankan nyawa. Berikut adalah lima kes kematian akibat budaya buli yang berleluasa di kalangan pelajar negara kita.

1. Hishamuddin Majid (1988)

hishamuddin majid teknik cheras

Hishamuddin Majid merupakan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Teknik Cheras ketika kejadian menyayat hati ini berlaku. Pada 24 Mac 1988, dua orang bekas pelajar sekolah tersebut hadir bagi mengambil slip keputusan peperiksaan SPM mereka dan juga menurunkan 'nama' mereka pada junior yang terpilih, dengan Hishamuddin ketika itu layak untuk menggunakan nama salah seorang yang terlibat.

Dalam 'upacara' yang dilakukan pada jam 11.30 pagi di salah sebuah tandas, Hishamuddin dibelasah oleh beberapa orang bekas pelajar sebagai tanda persetujuan dia untuk mewarisi nama samaran itu. Selepas di belasah, Hishamuddin yang kesakitan meminta izin untuk menamatkan sesi kelasnya pada hari itu lebih awal atas alasan tidak sihat.

Petang itu, keadaan Hishamuddin semakin tenat sebelum dia dihantar ke hospital pada jam 7.30 malam. Sejam berikutnya, doktor mengumumkan Hishamuddin telah meninggal dunia akibat kecederaan organ dalaman. Selepas laporan polis dibuat bapa Hishamuddin, polis menangkap dua suspek. Bagaimanapun, perbicaraan di mahkamah gagal membuktikan kes itu disebabkan ketiadaan saksi, jadi kedua-dua suspek dilepaskan selepas melakukan permohonan maaf kepada keluarga mangsa.

2. Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri (2010)

ibu bapa sedij

Kematian adik Mohammad Naim yang pada kejadian berusia 16 tahun, memang satu tragedi yang malang sekali untuk dirinya. Salah seorang pelajar di Maktab Tentera Di-Raja (MTD), Mohammad Naim menjadi sasaran sekumpulan pelajar senior yang membulinya sejak sesi persekolahan bermula.

Bagaimanapun, pada 24 Jun 2010, Naim yang didakwa dibelasah pelajar senior tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera Kem Sungai Besi, yang terletak tidak jauh dari MTD. ekitar jam 10.45 malam, Naim dipaksa melakukan tekan tubi sambil diterajang senior yang memerhati.

Punca kematiannya dikatakan disebabkan oleh gegaran yang berlaku pada bahagian kepalanya, selepas dia jatuh ditendang salah seorang pelajar senior semasa kejadian tersebut. Lima orang pelajar ditahan bagi membantu siasatan dengan empat daripadanya dihukum buang sekolah terlebih dahulu. Komandan MTD semasa kejadian juga telah dipindahkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi. (rujukan)

3. Mohd Shahrizal Mohd Shaffie (2008)

askar wataniah

Dalam kes yang melibatkan golongan dewasa pula, Mohd. Shahrizal yang merupakan seorang tentera berpangkat prebet didapati meninggal dunia selepas dibuli dan dibelasah oleh 7 orang tentera lain. Mohd. Shahrizal didakwa tidak cukup jantan untuk menjadi seorang askar serta tidak pandai melipat pakaian, menyebabkan dia yang pada ketika itu berusia 27 tahun dijadikan sasaran pembuli di kem tentera.

Mohd. Shahrizal dikatakan ditumbuk, disepak, kepalanya dihentak dengan objek kayu serta dipijak dengan but sukan, yang menyebabkan dia pengsan sebelum meninggal dunia pada 5 April 2008. Bedah siasat mendapati punca kematian Mohd. Shahrizal adalah akibat hentakan objek tumpul ke tubuh.

Tujuh suspek mengaku bersalah menyebabkan kematian tanpa niat membunuh ke atas Mohd. Shahrizal dan dikenakan hukuman penjara 7 tahun setiap seorang pada tahun 2010. (rujukan)

4. Jackson Nuing Awe (2017)

jackson nuing awe

Sebuah sekolah berasrama di Kapit menyaksikan peristiwa duka selepas seorang pelajar tahun 1 bernama Jackson Nuing Awe meninggal dunia akibat dibelasah. Pelakunya pula adalah seorang pelajar tahun 6 berusia 12 tahun. Kejadian ini berlaku pada 24 Ogos 2017.

Pihak sekolah yang mendapati keadaan Jackson agak kritikal, terus mengejarkan beliau ke Hospital Sibu. Kanak-kanak itu dapati mengalami pendarahan teruk pada bahagian kepala serta kesan-kesan lebam di seluruh tubuhnya. Suspek ditahan sebelum dibebaskan kerana perlu menghadiri ujian UPSR yang akan dilangsungkan tidak lama selepas kejadian tersebut.

Apa yang menyedihkan, punca kejadian ini berlaku disebabkan pelajar tahun 6 itu yang dikatakan berang kerana Jackson mengejek nama ayahnya. (rujukan)

5. Muhammad Farid Ibrahim (2004)

suspek buli bunuh kematian

Pada kejadian melibatkan pelajar di Sekolah Menengah Agama Dato' Klana Petra Maamor, Ampangan, Negeri Sembilan - seorang pelajar bernama Muhammad Farid Ibrahim yang berusia 16 tahun didapati meninggal dunia selepas dibelasah beramai-ramai 8 orang pelajar lain. Kesemua mereka didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara oleh mahkamah.

Kisah kejadian ini agak sadis bunyinya. Mangsa dikatakan diikat tangan dan kakinya selepas berlaku pertengkaran di antara dia dengan kumpulan senior melibatkan pinjaman barangan. Selepas dibelasah, kumpulan senior tadi mendapati keadaan Farid agak longlai, jadi mereka menukarkan pakaiannya sebelum pergi bertemu warden, melaporkan Farid telah jatuh dalam bilik air.

Bagaimanapun, selepas Farid dikejarkan ke hospital didapati kesan-kesan cedera yang ada mustahil boleh berlaku hanya kerana terjatuh. Terdapat juga pendarahan dalam bahagian otak Farid yang menyebabkan dia pengsan sebelum meninggal dunia tidak lama selepas sampai di hospital.

8 pelajar yang dibicarakan didapati bersalah namun terlepas hukuman gantung sampai mati, dipenjarakan di Penjara Kajang. Dalam perbicaraan yang dijalankan, kelapan-lapan suspek didapati cuba melindungi sesama mereka dan tidak ada satu orang pun mahu mengakui apa yang berlaku. Salah seorang bapa suspek juga bertindak mengeluarkan kenyataan palsu mencipta alibi tanpa bukti, semata-mata mahu melindungi anaknya yang dirasuk syaitan. (rujukan)




Hakcipta iluminasi.com (2017)