Setiap individu di negara kita yang pernah bergelar pelajar, boleh dibahagikan kepada dua; sama ada yang bersekolah secara harian atau yang bersekolah di sekolah berasrama.

Kedua-duanya mempunyai baik buruk yang berbeza. Bagi mereka yang pernah menetap di asrama, cabaran duduk di asrama mempunyai pelbagai jenis kepayahan yang tidak perlu dilalui pelajar sekolah harian seperti kena basuh baju sendiri, kena berjauhan dengan ibu bapa, perlu mengurus diri sendiri dan kena berhadapan dengan senior setiap hari.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kes-kes buli, pukul dan belasah sering kedengaran terjadi di sekolah asrama, membuatkan segelintir ibu bapa takut. Realitinya, ada pantang larang yang harus kita ikuti kalau kita nak selamat duduk di sana. Sila ajarkan anak-anak anda.

1. Jangan bajet taiko

budak asrama taiko

Setiap pelajar tahun 6 di sekolah, akan berhadapan kejutan apabila melangkah masuk ke sekolah asrama kerana tiba-tiba mereka kembali menjadi individu paling muda di sekolah.

Jika di sekolah rendah, mereka dilihat abang besar sekolah, perangai sama haruslah dibuang sejauh mungkin bila melangkah ke alam asrama menengah. Yang selalu jadi masalah, bila ada segelintir yang dulunya kaki buli di sekolah rendah masih membawa perangai sama ke sekolah asrama.

Pelajar macam ni percayalah cakap penulis, akan jadi individu yang disasarkan oleh senior yang merasakan 'budak' sebegini perlu diberikan sedikit pengajaran. Jadi seandainya anda taiko sekolah rendah, tolong ingat dunia anda dah berubah.

2. Jangan ego dengan kawan-kawan sebaya

pengaruh rakan sebaya

Ada pelajar yang bawa perangai taiko sekolah rendah ke asrama. Ada juga yang bawa ego dia ke asrama. Mungkin kerana selama ini dia diberitahu dia pelajar terbaik, pelajar harapan, pelajar pintar dan sebagainya; membuatkan dia rasa dia perlu ada ego dengan kawan-kawan lain.

Pelajar sebegini biasanya susah nak bergaul dengan orang lain dan yang sedihnya, bakal dipulaukan. Akhirnya, pelajar sebegini tak dapat bertahan lama di sekolah asrama kerana dia tak ada sokongan daripada kawan-kawan dia sendiri.

Sebenarnya dik, daripada kau berlagak-lagak ni...kena terima; kalau anda dah terpilih masuk ke sekolah asrama khas seperti sekolah sains, sekolah integrasi, SMKA atau sebagainya, keputusan anda sekata saja. Semua orang sama tahapnya dengan anda.

3. Jangan ingat semua benda mak ayah akan tolong

pantang larang baik dengan senior

Dah masuk ke asrama, kebergantungan pelajar kepada mak bapak haruslah dikurangkan khususnya dalam perkara seperti penjagaan diri, pengurusan wang dan sebagainya.

Sebulan, dua bulan pertama mungkin normallah untuk pelajar masih berkatik-katik nak faham bagaimana nak mengurus diri, tapi bila ada yang dah 4 ke 5 bulan masih nak mak ayah bantu perkara asas seperti basuh dan gosok baju tu teruklah.

Sikit-sikit telefon pesan nak itu ini, minta sediakan itu ini. Padahal selalunya di koperasi sekolah asrama dah ada kelengkapan yang diperlukan daripada perkara seperti berus gigi dan ubat gigi, sehinggalah kepada baldi.

4. Jangan baik sangat dengan senior 

pengalaman duduk asrama

Duduk dalam persekitaran asrama, ada 4 kelompok utama kita akan berinteraksi. Rakan sebaya, guru di kelas, warden di asrama dan abang-abang senior. Senior ni pula, memang setiap masa akan cari jalan gunakan junior untuk permudah hidup mereka.

Sekejap minta tolong ambil air, belikan makanan, gosok baju dan sebagainya. Ini zaman penulis dululah, sekarang dengarnya masih berlaku tapi tak sekerap dulu.

Kadang-kadang ada senior yang baik dengan kita, supaya kita dapat diperhambakan dia kerana dia malas. Ada senior yang memang baik dengan kita, kerana 'desakan' nafsu khususnya di sekolah satu jantina. Yang ni memang kena berhati-hatilah ya.

Nak baik dengan senior, ada positifnya. Kita rasa kita ada 'pelindung.' Tapi dalam masa yang sama, mesti ada kawan-kawan sebaya kita yang rasa kurang senang dengan apa yang kita buat.

Boleh baik dengan senior, tapi kena ingat yang akan duduk dengan kita selama 5 tahun adalah kawan-kawan kita tu je lah. Jangan kerana senior (atau junior), kita kena pulau dengan geng sendiri.

5. Jangan baik dengan warden

kaedah selamat di asrama

Di kalangan warden asrama pun, kumpulan pendidik ini bijak memanipulasi kementahan pelajar asrama yang masih belum kenal dunia. 

Ada warden yang sengaja baik dengan seorang atau dua pelajar, yang akan dilatih supaya jadi mata-mata dia. Tugasnya mudah; laporkan apa saja aktiviti tidak elok atau kurang sihat yang berlaku di asrama. Kenalpasti siapa pelajar yang suka melakukan kekacauan.

Anak anda nak baik dengan warden? Silakan. Tapi perlu ingat, bila dah baik dengan warden ni secara automatik semua pelajar akan cop pelajar itu kaki report. Mulut tempayan. Tak reti nak jaga persahabatan. 

Baik dengan warden ni, mungkin ada faedahnya seperti warden belanja makan dan sebagainya. Namun tak berbaloi pun untuk anda korbankan nilai setia kawan hanya untuk baik dengan warden sekolah anda.

6. Jangan mencuri

jangan mencuri di asrama

Pantang larang paling penting yang harus dipegang mana-mana pelajar sekolah asrama, adalah satu ni - 'JANGAN MENCURI!'

Ini kerana ditangkap mencuri adalah tiket paling mudah untuk seseorang itu bakal hidup sengsara di asrama, kerana pencuri adalah individu paling dibenci majoriti pelajar asrama. Ini fakta!

Dan yang menakutkan, mentaliti pelajar asrama sering melihat pencuri walaupun dikalangan kawan-kawan sendiri sebagai beg tinju yang boleh dijadikan bahan belasahan. Tak kiralah sebaik mana atau sealim mana pun seorang pelajar, sekali dia ditangkap mencuri, susah dia nak dapat memperbaiki reputasi diri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)