gambar bomba padam kebakaran

Kecil jadi kawan, besar jadi lawan. Ungkapan itu amat sesuai digunakan dalam menceritakan hubungan api dengan manusia. Api adalah satu elemen berguna yang banyak membantu kita dalam kehidupan seharian, seperti memasak, membakar sampah ataupun menyalakan sebatang rokok. Bagaimanapun, api mempunyai sifat yang cukup bahaya ekoran mudahnya api merebak sekiranya terkena pada bahan yang mudah terbakar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda beberapa perkara menarik mengenai kebakaran di negara kita?

Lima negeri paling banyak berlaku kebakaran

negeri di malaysia yang kerap berlaku kebakaran

Di antara semua negeri di Malaysia, negeri Selangor mencatatkan jumlah kebakaran paling tinggi dengan 8161 kes dilaporkan pada tahun 2016.

Negeri Perak menduduki tempat kedua dengan 6576 kes kebakaran, diikuti oleh negeri Johor yang mencatatkan 5148 kes dan Sabah, 4620 kes. Tempat kelima jumlah kes kebakaran di Malaysia adalah Kedah yang mencatatkan 4371 kes.

Bagi tahun 2016, sebanyak 49,875 kes kebakaran dilaporkan menurut statistik Jabatan Bomba.

Enam negeri mencatatkan paling sedikit berlaku kes kebakaran, adalah Negeri Sembilan (2119 kes) Sarawak (2012 kes), WP kuala Lumpur (1698 kes) Perlis (1087 kes), WP Labuan (488 kes) dan WP Putrajaya (96 kes.)

Punca kerap berlaku kebakaran di Malaysia

kebakaran dengan niat baik sengaja

Hampir 10% jumlah keseluruhan kes kebakaran di Malaysia berlaku disebabkan apa yang Jabatan Bomba takrifkan sebagai 'sengaja dibakar dengan niat baik.' Contoh kes-kes ini adalah seperti kes kebakaran yang terjadi akibat pembersihan belukar misalnya ataupun aktiviti membakar bagi penanaman semula pokok sawit, sebagai contoh. Kes kebakaran sengaja dengan niat baik ini berjumlah 4710 kes bagi tahun 2016.

3 negeri yang mencatatkan jumlah kes mencetuskan kebakaran dengan niat baik pula adalah Terengganu, Pulau Pinang dan Melaka. Kenapa perkara itu berlaku tidak ada penjelasannya.

Punca kedua paling kerap berlakunya kebakaran adalah kes yang melibatkan litar pintas. Sebanyak 2005 kes kebakaran berlaku adalah melibatkan litar pintas dengan Pulau Pinang mendahului negeri-negeri lain.

rumah terbakar panggil bomba

Sementara itu, puntung rokok menjadi penyumbang ketiga terbesar berlakunya kes kebakaran di negara kita dengan 753 kes berpunca daripada puntung rokok yang tidak dipadamkan dengan sempurna. Apa yang membimbangkan, masyarakat Pulau Pinang sekali lagi mendahului negeri-negeri lain dengan jumlah 172 kes kebakaran disebabkan puntung rokok.

Kes-kes kebakaran dengan sengaja / berniat jahat

bakar rumah orang

Salah satu sebab lain kerap berlakunya kebakaran di negara adalah disebabkan perbuatan khianat. Jabatan Bomba mengklasifikasikan kes-kes seperti ini dibawah kategori 'sengaja dibakar dengan niat jahat.'

Kes khianat ini berjumlah 493 kes di seluruh Malaysia pada tahun 2016 dan statistiknya menunjukkan sesuatu yang perlu diberikan perhatian, khasnya oleh masyarakat negeri Sarawak.

Negeri Sarawak jauh mendahului negeri-negeri lain dalam kiraan kes kebakaran dengan niat jahat, dengan 136 kes berlaku dalam setahun, meninggalkan WP Kuala Lumpur yang melibatkan 80 kes, Selangor 73 kes dan Johor yang mencatatkan 63 kes. Kami tidak mampu mengulas lebih panjang berkenaan maklumat ini, ekoran tidak ada informasi yang menjelaskan mengapa fenomena ini berlaku terlalu kerap di Sarawak.

Kesimpulan

pembakaran secara terbuka bersihkan halaman

Berdasarkan statistik yang telah dikongsikan, kami berharap agar anda dapat berhati-hati dalam urusan seharian kita, apabila melibatkan penggunaan api.

Dengan majoriti kebakaran berpunca daripada kesilapan kita dalam menggunakan api untuk tujuan yang baik, amatlah penting sekali kita memastikan rumah, kediaman atau premis kita mempunyai sekurang-kurangnya satu pemadam api untuk kecemasan.

Pemeriksaan litar pintas di premis serta kediaman perlulah diselenggara dengan lebih baik, kerana kadar kebakaran yang berlaku akibat litar pintas cukup tinggi. Apa yang menyedihkan, terkorbannya nyawa dan harta benda dalam kes seperti itu sebenarnya dapat dielakkan sekiranya kita menyelia serta mematuhi tatacara penggunaan elektrik yang betul. Penggunaan wayar penyambung yang meningkatkan potensi berlakunya lebihan beban juga sepatutnya diminimakan.

Kepada perokok - anda ingatlah, anda adalah golongan ketiga paling kerap menjadi punca kebakaran. Pastikan puntung rokok dipadam dengan betul sebelum dibuang. Buanglah pula puntung rokok ditempat yang selamat kerana kita tidak tahu hanya kerana puntung rokok kita yang dibuang sambil lewa, mungkin akan menyebabkan kehilangan nyawa orang lain.

RUJUKAN

JBPM Statistik Punca Kebakaran, 2016




Hakcipta iluminasi.com (2017)