Kes kebakaran di Malaysia semakin meningkat setiap tahun dengan kerugian yang dicatatkan sebanyak 4.4 bilion ringgit untuk tahun 2016 sahaja. Selain kerugian harta benda, kebakaran juga boleh meragut nyawa, melecur dan juga kecacatan seumur hidup kepada mangsa.
Kebakaran ini boleh terjadi disebabkan pelbagai faktor seperti kecuaian manusia, litar pintas, kebocoran gas dan sebagainya.
BESARKAN TEKS A- A+
Ibu bapa sebagai ketua rumah tangga haruslah memainkan peranan penting bagi memastikan rumah mereka memeliki alat-alat yang diperlukan untuk menyelamatkan diri sewaktu berlakunya kebakaran. Berikut adalah beberapa alatan yang sangat disyorkan untuk disediakan di setiap rumah.
1. Alat Pemadam Kebakaran (Fire Extinguisher)
Kebanyakan bangunan tempat kerja atau bangunan awam diwajibkan untuk meletakkan alat pemadam kebakaran di beberapa tempat yang diperlukan. Malangnya, mengikut info daripada pihak Fire Prevention Center (FPC), 95% daripada rumah-rumah di Malaysia tidak memiliki alat pemadam kebakaran.
Alat pemadam kebakaran berfungsi untuk memadam kebakaran kecil atau kebakaran di peringkat awal. Setiap rumah digalakkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya satu alat pemadam kebakaran sebagai langkah keselamat. Alat pemadam kebakaran ini perlulah sentiasa berada dalam keadaan baik dan diletakkan di tempat yang mudah dicapai.
2. Penggera Asap (Smoke Detector/Smoke Alarm)
Alat penggera asap atau smoke detector mungkin sangat asing bagi orang Malaysia. Walaubagaimanapun, di sesetengah negara seperti Kanada setiap rumah wajib memasang alat penggera asap ini di beberapa lokasi yang strategik. Kegagalan memasang alat ini boleh menyebabkan pemilik rumah didenda oleh pihak berkuasa.
Malangnya, undang-undang ini masih belum diwajibkan di Malaysia. Smoke detector sangat penting terutamanya pada waktu malam di mana penghuni rumah sedang nyenyak tidur. Pada ketika ini, deria bau manusia kurang aktif sebaliknya mereka lebih peka dengan bunyi. Disebabkan itulah kebanyakan kes kebakaran yang berlaku pada waktu malam banyak meragut nyawa kerana penghuni rumah sesak nafas dengan asap dan gas daripada kebakaran.
3. Penggera Gas (Gas Detector)
Alat penggera gas atau gas detector sangat penting terutamanya di dapur. Walaupun kita boleh mengecam kebocoran gas melalui bau, ianya kadang kala tidak tepat. Apabila konsentrasi gas di sesuatu kawasan itu terlalu tinggi, hidung manusia tidak dapat mengesan bau tersebut.
Pada setiap tahun, statistik menunjukkan peningkatan kes letupan gas di rumah menjelang musim perayaan. Pada masa ini, golongan wanita selalunya sibuk memasak dan banyak meluangkan masa didapur. Memasangkan alat penggera gas mungkin dapat menyelamatkan ahli keluarga anda daripada menjadi mangsa seterusnya.
4. Topeng (Smoke Hood)
Ketika kebakaran, kebanyakan mangsa pengsan atau mati disebabkan lemas dengan asap dan gas beracun. Oleh itu, adalah sangat penting untuk memastikan di rumah anda mempunyai smoke hood untuk mengelakkan anda mati kelemasan asap.
Alat-alat yang disebutkan di atas merupakan antara keperluan yang wajib ada pada setiap rumah. Secara kiraan kasar, harga untuk kesemua alat di atas lebih kurang RM1000 dan ianya boleh digunakan untuk tempoh 5 tahun.
Sebagai ibu bapa, adalah untuk menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan keselamat anak-anak. Untuk mendapatkan alat-alat di atas, anda mungkin boleh menghubungi pihak Fire Prevention Center Malaysia atau bertanya orang yang lebih arif berkenaan alat tersebut.