Usaha untuk membangunkan projek kereta terbang di negara kita memberikan banyak reaksi yang berbeza di kalangan ahli masyarakat.

Ini kerana bagi mereka yang menidakkannya, usaha itu dilihat sebagai satu cubaan 'syok sendiri' yang tidak akan membawa sebarang faedah akhirnya. Bagaimanapun, bagi mereka yang yakin dengan kemampuan tenaga tempatan - usaha ini merupakan sesuatu yang bakal mengubah persepsi kita terhadap kemampuan sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di seluruh dunia, banyak sebenarnya projek membangunkan kereta terbang sedang dijalankan dan kereta terbang bukanlah lagi satu fantasi semata-mata. Sudah ada projek yang benar-benar berjaya menerbangkan kereta dan berikut adalah lima yang benar ada dalam dunia nyata.

1. PAL-V Liberty

pal v liberty

Sudah pun dijual secara komersial, PAL-V Liberty merupakan hasil tangan syarikat PAL-V yang berpengkalan di Raamsdonksveer, Belanda. Merupakan gabungan kereta dan helikopter, PAL-V menyifatkan ciptaan mereka sebagai sebuah 'pesawat giro' yang menggunakan dua enjin berbeza.

Satu enjin khas untuk pemanduan di atas tanah berkuasa 99 kuasa kuda, mampu mencapai kelajuan 160km/j. Sebuah lagi enjin pula khas untuk penerbangan dan enjinnya mematuhi semua piawaian enjin pesawat Eropah dan Amerika Syarikat. Jadi pemandunya memerlukan lesen pesawat untuk melayakkan seseorang menerbangkannya.

Liberty memerlukan lebih kurang 5 ke 10 minit untuk bertukar mod daripada kereta kepada 'pesawat giro'. Untuk memilikinya, wujud dua model iaitu model 'sport' pada harga RM1.6 juta dan model 'pioneer' pada harga RM2.5 juta.

2. Terrafugia Transition

transition terrafugia

Sebuah projek yang mengambil masa sangat panjang daripada pelancarannya pada 2006, dengan prototaip pertama diperkenalkan pada tahun 2009 sebelum syarikat Geely dari China membeli pembangun kereta ini Terrafugia yang berpusat di Massachussetts, Amerika Syarikat pada tahun 2017.

Pertama kali berjaya terbang dan mendarat dengan selamat pada 23 Mac 2012 di New York, Transition mampu menerbangkan dua orang serentak dan mengikut jurucakap Geely, dirancang akan mula dipasarkan pada tahun 2019 pada harga RM1.6 juta seunit.

Setakat ini jarak penerbangan Transition diumumkan mampu mencecah 787 km jaraknya dengan kelajuan purata 172km/j. Di atas tanah, Transition mampu bergerak sepantas 110km/j.

3. Maverick LSA

maverick lsa

Di antara semua kereta dalam senarai ini, Maverick LSA merupakan rekaan yang paling tradisional. Ini kerana jenama kereta terbang ini dibangunkan oleh I-TEC atau Indigenous Peoples’ Technology and Education Center bukan untuk tujuan keuntungan, tetapi lebih kepada usaha gerakan penyebaran Kristian.

Berikutan dana yang terhad, pembangunan Maverick juga agak kerap berdepan masalah kemalangan tetapi setakat ini belum ada berlaku kematian. Dibangunkan dengan tujuan memudahkan pendakwah Kristian sampai di tempat-tempat yang sukar dijejaki, harga bagi satu unit Maverick adalah RM392,000.

Sistem penerbangan Maverick menggunakan konsep luncuran angin dengan bantuan payung terjun, selain daripada satu model lagi mampu terbang dengan menggunakan enjin kipas sebagai pemacunya. Oleh kerana kemampuan yang terhad, kelajuan Maverick di udara hanya sekitar 65km/j pada ketinggian 600 kaki daripada permukaan.

4. AeroMobile

aeromobile kereta terbang

Sudah dibangunkan sejak tahun 1989 dan kini telah masuk versi ke 3.0, model ini yang dibangunkan hasil kerjasama syarikat dari Belanda dan Slovakia ini berjaya memenuhi syarat-syarat sah penerbangan pada tahun 2015 selepas penerbangan pertama berjaya dilakukan pada tahun 2013.

Mempunyai kapasiti dua orang, rekaannya yang agak futuristik membolehkan AeroMobile dalam versi terbaru mencapai kelajuan sehingga 200km/j pada jarak 700 km di udara. Di atas tanah, AeroMobile mampu mencapai kelajuan 160km/j dengan jarak 875 km.

Memerlukan tiga minit untuk bertukar mod daripada kereta ke pesawat, harga AeroMobile agak tinggi iaitu RM4.2 juta. Sekiranya semuanya berjalan lancar, kumpulan pertama AeroMobile akan dikeluarkan pada tahun 2020.

5. Toyota Skydrive

toyota skydrive ilustrasi

Digelarkan sebagai kereta terbang terkecil dunia, sekumpulan jurutera di Toyota sedang sibuk membangunkan Skydrive. Rancangannya, Skydrive akan digunakan semasa pembukaan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo kelak. Projek ini bermula secara sampingan pada tahun 2012 melibatkan beberapa orang jurutera Toyota, sebelum Toyota mengeluarkan dana bagi membantu pembangunannya secara serius.

Setakat ini pembangunannya yang dilakukan secara lebih kecil berbanding syarikat dalam senarai, sudah berjaya menerbangkan model yang mempunyai skala 1/5 daripada saiz sasaran - sebelum jatuh terhempas.

Mempunyai berat 400kg, sasaran kumpulan pembangunnya yang dinamakan Cartivator agar mampu terbang sepantas 100km/j dengan ketinggian 50m. Di atas jalan raya pula, Skydrive mampu mencecah 60km/j. Buat masa sekarang, Skydrive mampu terapung - tetapi tidak diketahui sama ada Skydrive akan mampu terbang dengan baik lengkap dengan pemandunya, pada hari pembukaan Olimpik yang akan dilangsungkan pada 24 Julai 2020.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Tapi nampak macam lama lagi je pembangunan dia. Rupa pun masih macam dron gergasi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)