Sistem demokrasi mempunyai banyak lubang-lubang untuk dieksploitasi, tak kiralah daripada peringkat komuniti sehinggalah kepada peringkat negara sekalipun.
Ada kalanya sistem demokrasi itu mampu memberikan keputusan-keputusan yang tidak dijangkakan, seperti melantik bukan manusia sebagai pemimpin ekoran pengundi memilihnya.
Berikut adalah 5 pilihanraya yang dimenangi oleh bukan manusia dan mencatat sejarah dunia dalam proses lantikan kepimpinan sesebuah komuniti atau masyarakat.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Boston Curtis
Boston Curtis memenangi kerusi ahli jawatankuasa parti Republican yang ditandinginya pada tahun 1938. Bagaimanapun, Boston Curtis tidak pun berkempen untuk pilihanraya tersebut kerana Boston adalah satu-satunya calon yang bertanding bagi kawasan Milton, Washington.
Menang dengan jumlah undian 51, pengundi di Milton tidak menyedari yang mereka sebenarnya sedang mengundi seekor keldai coklat. Kemenangan Boston adalah hasil kerja Datuk Bandar kepada Milton, Kenneth Simmons seorang ahli parti Demokratik yang mahu membuktikan kelemahan-kelemahan yang ada pada sistem pilihanraya di situ serta mahu memalukan parti Republican.
Kenneth membawa Boston melakukan pendaftaran di mahkamah, dengan cop jari kaki Boston digunakan untuk menandatangani semua dokumen pencalonan.
Yang anehnya, Boston berjaya memenangi pilihanraya ahli jawatankuasa bagi pihak parti Republican dan peristiwa ini menjadi satu kemaluan besar pada parti Republican ketika itu, baik dari pimpinannya mahupun pengundi mereka sendiri.
Ini membuktikan pengundi parti Republican mengundi tanpa mengambil kira siapa calon yang diletakkan oleh parti mereka itu. (rujukan)
2. Bosco the Dog
Bosco Ramos adalah seekor anjing jenis Labrador yang dipilih sebagai datuk bandar kepada pekan Sunol, California. Dalam satu pilihanraya yang diadakan secara suka-suka, Bosco menewaskan dua lagi 'pencabar' utamanya dan diangkat sebagai datuk bandar pekan itu dalam tahun 1981.
Kerap meronda di sekitar pekan, Bosco akan mengetuai sebarang perarakan yang diadakan dalam pekan tersebut serta berlegar-legar memantau kawasan seliaannya.
Bosco meninggal dunia semasa masih lagi memegang jawatan sebagai datuk bandar Sunol pada tahun 1994, ketika tidur. Penduduk Sunol membina sebuah tugu peringatan kepada Bosco yang diletakkan di hadapan pejabat pos. Legasi Bosco tamat di situ namun penduduk Sunol percaya, Bosco sebenarnya mempunyai banyak anak-anak yang berkeliaran di pekan mereka. (rujukan)
3. Duke the Dog
Duke adalah seekor anjing kepada sebuah komuniti 1000 orang yang tinggal di sebuah daerah bernama Cormorant, Minnesota. Setakat ini, sudah 3 penggal Duke berjaya mengekalkan penguasaannya dalam persaingan merebut jawatan datuk bandar pekan tersebut.
Penduduk Cormorant pula dilaporkan sangat-sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Duke setiap tahun jadi Duke dibenarkan dicalonkan, tanpa persaingan.
Duke pula lebih banyak menghabiskan masa meronda di sekeliling pekan. Pada pilihanraya terakhir yang dimenanginya pada tahun 2016, Duke memenangi majoriti undian dengan hanya satu undi diberikan kepada teman wanitanya, seekor anjing bernama Lassie.
4. Tiao Si Monyet
Dalam senarai ini, hanya Tiao saja yang gagal memenangi pilihanraya yang ditandinginya. Tiao, seekor chimpanzee yang lahir pada 1963 menetap di Zoo Rio de Janeiro sebelum dilantik sebagai calon datuk bandar Rio de Janeiro pada tahun 1988.
Tiao diletakkan sebagai calon berikutan wujudnya gerakan-gerakan yang mahu merosakkan undi, jadi Tiao dijadikan alternatif kepada mereka yang mempunyai hasrat sedemikian. Dalam pilihanraya tersebut, Tiao mendapat hampir 400 ribu undian daripada orang ramai yang meletakkan dia pada kedudukan ketiga daripada 12 orang calon.
Berikutan pencapaian memberangsangkan itu, Tiao diiktiraf sebagai chimpanzee paling banyak memenangi undian oleh Guinness World Records. Pada tahun 1996, Tiao meninggal dunia akibat kencing manis pada usia 34 tahun dan kematiannya disambut oleh masyarakat Rio de Janeiro dengan 3 hari berkabung.
5. Bedak kaki Pulvapies
Kami letakkan calon paling ini ditempat terakhir kerana kejadian ini memang aneh. Pada tahun 1967, sebuah pekan kecil yang mempunyai populasi 4000 orang bernama Picoaza, Ecuador telah memilih sebotol bedak kaki berjenama Pulvapies, sebagai datuk bandar mereka.
Pengeluar produk itu secara suka-suka mula berkempen untuk bedak tersebut berikutan calon-calon yang disenaraikan kurang digemari penduduk pekan itu. Mereka bukan setakat mencipta iklan dalam majalah, pengeluar produk itu turut sama menyebarkan risalah bagi berkempen untuk bedak kaki mereka sebagai Ahli Majlis Kerajaan Tempatan.
Apa yang berlaku berikutnya adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Pengundi benar-benar memilih bedak Pulvapies sebagai ahli majlis, sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati calon yang tewas - kerana tidak dapat menerima hakikat, orang ramai sanggup mengundi satu botol bedak untuk kaki berbanding mereka. (rujukan)