Oleh pada 01 Jul 2022 kategori

Drama televisyen tidak boleh kita nafikan, merupakan sebuah format yang mempunyai jutaan peminatnya di negara. 

Sama ada datang dari negara luar seperti Turki atau Korea Selatan, diimport dari seberang melibatkan negara Indonesia atau Filipin atau diadaptasi dari novel cinta hasil karya penulis tempatan, drama kekal popular memenuhi slot-slot tayangan yang diatur kemas oleh penyiar televisyen.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Biasanya dinamakan dengan nama-nama lembut bertemakan bunga seperti nama Azalea, Akasia atau Sakura atau elemen kewanitaan seperti Tiara, Bidadari atau Ratu - nama-nama slot sebegini mudah difahami. Tetapi ada juga nama slot drama popular yang sering disebut, tanpa ramai tahu maknanya. 

Berikut adalah lima nama slot drama popular yang menjadi siulan peminat fanatik drama di Malaysia. 

1. Maksud Cerekarama

slot cerekarama tv3

Di antara kesemua slot drama yang ada, slot 'Cerekarama' adalah yang paling lama bertahan selepas diperkenalkan. 

Dari aspek bahasanya, 'cereka' mempunyai makna sesuatu kisah atau cerita yang haruslah dikarang ditulis berdasarkan kepada sesuatu kejadian atau peristiwa yang benar-benar berlaku. Ini bermakna, untuk melayakkan sesuatu drama atau filem digelarkan cereka - karya itu haruslah berbentuk fiksyen.

Jika anda tidak menyedari lagi, istilah cereka pula sebenarnya adalah singkatan kepada istilah 'cerita rekaan.' 

'Rama' pula wujud dalam pelbagai makna berbeza walaupun secara rasminya hanya merujuk kepada serangga rama-rama dalam daftar kata kita. Bagaimanapun, istilah ini juga digunakan dalam perkataan seperti 'gimrama' ('gimnastik berirama'), 'diorama' dan juga 'serama' yang merujuk kepada sejenis gendang tradisional orang kita.

Kami mengandaikan istilah 'cerekarama' adalah gabungan istilah 'cereka' dan 'drama' kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang hampir sama, melainkan sebuah 'drama' boleh digarap berdasarkan kepada kisah sebenar bukan fiksyen. Jadi dengan menamakan slot drama itu 'cerekarama', penerbit bebas menghasilkan sebarang bentuk karya sama ada fiksyen atau bukan fiksyen untuk ditayangkan dalam slot tersebut.

Jika anda tahu sebab sebenar kenapa slot itu dinamakan 'cerekarama', kongsikan kepada kami.

2. Maksud Widuri

bunga widuri slot widuri tv1

Gambar bunga widuri

Bagi orang-orang lama, anda pasti mengetahui lagu klasik terkenal berjudul 'Widuri' yang dinyanyikan oleh penyanyi dari Indonesia, Bob Tutupoli dan kemudiannya dijulang sekali lagi oleh Broery Marantika.

Lagu yang ditulis oleh seorang pemuzik amatur (ketika itu) bernama Adriyadie bagi menghargai seorang gadis bernama Widuri meletup dalam pasaran Indonesia, di mana album Bob terjual melebihi 650,000 unit pada tahun 1972 hanya disebabkan populariti lagu tersebut.

Walaupun digunakan sebagai nama gadis, 'widuri' dari istilah bahasanya sebenarnya merujuk kepada sejenis tumbuhan berbunga yang biasanya mempunyai bunga cantik berwarna ungu. Dikenali dengan nama saintifik caloptropis gigantea, pokok ini yang tumbuh hanya di Asia sering digunakan bunganya sebagai perhiasan atau penyediaan jambangan.

Bagaimanapun, pokok widuri juga mampu menghasilkan getah di dalam batangnya yang beracun dan racun itu digunakan satu masa dahulu untuk menyaluti anak-anak panah, untuk tujuan berburu.

Sekiranya terkena kulit, kulit akan mulai gatal dan merah-merah. Tertelan? Boleh mati tau.

3. Maksud Samarinda

kebun raya samarinda

Kami tidak tahu kenapa slot drama di Malaysia, dinamakan Samarinda. Ini kerana jika anda mencari istilah ini dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu - istilah ini tidak wujud. Kecuali di Indonesia. 

Di negara republik tersebut, wujud sebuah wilayah yang terletak di bahagian timur Kalimantan, iaitu Kota Samarinda. Samarinda adalah sebuah kawasan yang masih bergantung kepada industri pembalakan dan pertanian sebagai punca ekonomi utama, mempunyai populasi lebih 800,000 penduduk - majoritinya adalah orang Melayu Banjar dan Melayu Kutai.

Menurut sejarah kota Samarinda, bandar itu bermula hasil percantuman enam buah masyarakat kampung berbeza di enam lokasi, iaitu Kampung Pulau Atas, Karang Asam, Karamumus, Luah Bakung, Sembuyutan dan Mangkupelas. Kehadiran orang Banjar ke sana menubuhkan kerajaan menyatukan mereka sebagai sebuah masyarakat lebih besar.

Nama 'Samarinda' pula hadir daripada sebutan masyarakat di sana terhadap usaha menambak sungai yang selalu naik ketika air pasang, membanjiri kawasan penduduk. Bagaimanapun selepas setiap kali menambak, mereka mendapati paras tanah yang dijadikan benteng masih 'samarandah' dengan paras air - membantutkan usaha mereka.

Oleh kerana itu kawasan itu akhirnya disebut-sebut sebagai 'Samarandah' kerana paras tanah tambaknya gagal menghalang air yang naik, sebelum diolah namanya kepada 'Samarinda.' Jadi persoalannya di sini - kenapa slot TV kita menggunakan nama tersebut? Kali akhir kami periksa, drama-drama yang disiarkan bukanlah karya produser dari Samarinda, Indonesia.

4. Maksud Saranghae

saranghae nama slot drama

Kami tahu ramai peminat KPOP dan drama Korea Selatan ada di luar sana, jadi kami tujukan seksyen melibatkan bahasa Korea ini khas kepada anda.

Jika anda benar-benar fanatik semua tentang industri hiburan Korea Selatan, kami yakin anda dah tahu ungkapan 'saranghae' membawa maksud 'saya cintakan awak'.

Bagaimanapun, harus diingatkan dalam aspek bahasa - penggunaannya biasanya dituturkan oleh kekasih kepada kekasih, tidak sesuai untuk kegunaan hubungan lebih bersifat kasual seperti sahabat sejati atau rakan karib. Sekiranya kita pecahkan istilah ini kepada suku katanya, 'sarang' sahaja membawa makna 'cinta' manakala 'hae' pula membawa maksud 'benar/betul/boleh'. 

Untuk menyebut ungkapan sama tetapi membawa makna lebih formal - masyarakat Korea menggunakan ungkapan 'sarang-ham-ni-da' bagi individu lebih tua atau 'sarang-he-yo' untuk individu yang kita hormati tanpa pertalian.

5. Maksud Chamsarang

chamsarang nama slot drama tv malaysia

Choi Chamsarang (kiri) dan suami

Ditulis sebagai '참사랑' dalam bahasa Korea, sekiranya anda cuba menterjemahkan perkataan Korea ini ke dalam bahasa Inggeris anda akan mendapati makna yang diberikan Google adalah 'disaster love' atau 'catastrophe love', yang bermaksud 'cinta tragik.'

Kami tak tahu kenapa ini berlaku, mungkin disebabkan ralat oleh fungsi terjemahan Google yang gagal membaca huruf tersebut dengan betul. Ini kerana menurut terjemahan asal - ungkapan 'cham-sarang' mempunyai makna cinta sejati atau cinta sebenar.

Uniknya, ungkapan ini selain dijadikan ucapan, judul-judul karya baik karya muzik, drama dan filem - turut sama digunakan sebagai nama individu dan lokasi.

Ada seorang pelakon wanita Korea Selatan bernama Choi Chamsarang. Tidak kami tahu sama ada beliau sedar atau tidak nama yang menyerupai nama beliau, digunakan sebagai judul slot tayangan drama Korea Selatan di Malaysia. Mesti dia bangga kalau tahu.

Selain itu, wujud beberapa lokasi yang menggunakan nama sama, seperti Pasar Mini Chamsarang, Hospital Chamsarang, Syarikat Chamsarang dan juga Wisma Chamsarang di merata-rata tempat di negara tersebut.




Hakcipta iluminasi.com (2017)