Walaupun negara kita menjadi salah satu lokasi paling popular syarikat pengeluar permainan video beroperasi, sayangnya tidak banyak usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai latar belakang dalam perisian tersebut. Mungkin kerana negara kita aman agaknya.

Negara seperti Russia, Afghanistan, Amerika Syarikat, Britain dan negara-negara Afrika kerap dipilih untuk divisualisasikan semula sehinggakan banyak pengeluar berjaya membina semula lokasi di dalam negara tersebut, sebagai tempat di mana jalan ceritanya berlaku untuk tontonan semua.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun tidak banyak, telah wujud beberapa judul permainan video yang memaparkan negara kita. Kita tolak dulu kesemua judul perisian Formula 1 yang memaparkan litar Sepang, kami tak masukkan dalam senarai ini ya. Berikut adalah 5 permainan video yang memaparkan negara kita.

1. Iron Man 2

iron man 2 malaysia

Negara kita tidak dipaparkan dalam filem Iron Man 2, tetapi untuk salah satu misi dalam permainan video rasmi filem tersebut - Tony Stark dan rakannya James Rhodes perlu terbang ke Malaysia bagi membereskan sebuah markas penjahat bernama Advanced Idea Mechanic. Plot ceritanya jauh berbeza dengan filem tau.

Markas tersebut pula terletak dalam kawasan yang agak tersembunyi, berada di tengah-tengah hutan dengan infrastruktur yang menyerupai bangunan kuil di luarnya. Sementara bahagian dalam markas tersebut yang perlu dihapuskan pula menyerupai sebuah masjid. Kami tidak merasakan wujud niat tersembunyi di situ.

Kajian yang dijalankan oleh penerbit agak lemah sehingga tak jelas ke-Malaysia-an lokasi tersebut.

2. Hitman 2 : Silent Assassin

hitman 2 klcc menara

Salah satu paparan paling menyeluruh melibatkan lokasi ikonik Malaysia iaitu Menara Berkembar Petronas, menara tersebut menjadi pentas kepada watak utama tajuk Hitman, iaitu Agent 47 menjalankan tugasnya. Dalam tugasan ke 10 beliau, Agent 47 ditugaskan untuk menyelinap masuk ke Menara Berkembar Petronas bagi membunuh seorang penggodam kelahiran Indonesia berwarganegara Malaysia bernama Charlie Sidjan.

Malangnya, maklumat yang diperolehi oleh Agent 47 ketika itu hanya memaparkan wajahnya semasa berusia 6 tahun jadi pemain perlu mengenalpasti rupa wajah Charlie yang dewasa sendiri. Menara Berkembar Petronas dipaparkan dalam durasi yang lama namun rekaan dalamannya agak berlainan berbanding yang sebenar.

Apa yang mencacatkan paparan ini adalah individu yang berada di dalam KLCC itu mengucapkan selamat seperti masyarakat India serta bercakap dengan slanga negara tersebut. Baju uniform pasukan polis juga berwarna coklat. Mungkin penerbit perisian Hitman 2 mengambil rujukan daripada tayangan filem Tamil.

3. SOCOM 4 US NAvy Seals

socom 4 gameplay malaysia

Negara kita dipaparkan secara sangat meluas dalam judul SOCOM 4 yang diterbitkan pada tahun 2011. Satu pasukan askar kelolaan NATO ditugaskan untuk menghapuskan sebuah kumpulan gerila pemberontak yang menggelarkan diri mereka 'Naga' dan beroperasi di negara kita.

Walaupun paparan tentang negara kita dipaparkan secara agak longgar, pengeluar tajuk ini sekurang-kurangnya berjaya memaparkan dialog-dialog serta adegan yang agak lucu aksi pengganas. Namun slanga yang digunakan watak, lebih mirip dengan slanga Indonesia atau masyarakat Borneo. Bolehlah. Usaha tu ada.

4. Burnout Dominator

burnout dominator malaysia

Salah satu rekaan semula paling realistik Kuala Lumpur yang dipaparkan dalam permainan video, Burnout Dominator memilih untuk menjadikan laluan di sekeliling Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasinya. Kenapa? Mungkin kerana mat-mat motor kerap melepak di Dataran Merdeka agaknya.

Harus diakui rekaannya tidaklah serupa dengan lokasi sebenar, terpaksa diolah untuk membolehkan laluan trek dibina dengan lebih berkesan tetapi usaha untuk memadankan papan tanda, bangunan serta pokok yang ditanam harus dipuji. Trek yang digelarkan 'Spiritual City' bagaimanapun gagal mereka semula kesesakan trafik yang kerap membelenggu Kuala Lumpur.

5. Street Fighter IV

street fighter malaysia

Bagi peminat permainan video popular Street Fighter IV, pasti ramai yang menyedari salah satu pentas latar belakang yang dibina untuk permainan video tersebut sebenarnya memaparkan negara kita. Kami andaikan ini disebabkan banyak rekaan latar yang digunakan dalam judul tersebut, sebenarnya dibina di negara kita melalui sebuah studio yang bernama Streamline Studio.

Latar belakang bernama 'Kanzuki Beach Stage' sempena nama keluarga British pemilik pantai tersebut (dasar penjajah!) memaparkan beberapa orang wanita dalam keadaan kurang berpakaian, bersorak menyaksikan pertarungan sambil dibantu beberapa ekor monyet dan penyu. Kami tidak tahu mengapa penyu itu ada di situ kerana tidak nampak ia seakan sedang bertelur.

Elemen rekabentuk chalet yang dipaparkan memang kena dengan rekaan chalet di negara kita. Namun satu elemen yang paling tepat sekali adalah prop beberapa helai kain batik yang sedang dijemur di sidaian.




Hakcipta iluminasi.com (2017)