Percakapan merupakan sesuatu yang akan majoriti kita lakukan setiap hari. Dianggarkan setiap hari kita secara purata menyebut di antara 5,000 ke 7,000 patah perkataan kesemuanya.

Angka ini pastilah lebih tinggi sekiranya kerjaya anda memerlukan anda bercakap setiap masa. Dalam setiap beribu-ribu perkataan yang biasa kita sebut atau dengari, pasti ada perkataan yang telah melalui sejarah yang panjang dan unik, membuatkan kita tidak sangka sedemikian rupa susur galur perkataan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima perkataan yang biasa kita dengar serta mempunyai sejarah yang sangat panjang, aneh dan ada ketikanya melucukan.

1. Testimoni, Testify berasal dari testikel

testimoni pejual peniaga palsu

Zaman sekarang ini peniaga dan penjual produk cukup gemar memasarkan produk mereka menggunakan ulasan secara testimoni, kerana dikatakan lebih dipercayai pengguna berbanding iklan.

Walaupun tidak dapat disahihkan secara fakta, beberapa penyelidik bahasa berpendapat istilah 'testimoni', berhubungkait dengan istilah 'testikel.' Pendapat popular menyebut lelaki Rom zaman dahulu akan memegang bahagian zakar mereka atau zakar satu sama lain, semasa mengangkat sumpah.

Selain itu di dalam kitab Bible juga ada disebutkan tindakan sama iaitu meletakkan tangan ke bahagian peha, dilakukan oleh Abraham dan juga Joseph ketika kedua-duanya bersaksi dan berikrar kepada Tuhan.

Secara linguistiknya, 'testis' yang kini lebih popular merujuk kepada organ lelaki, terlebih dahulu telah digunakan bagi merujuk kepada seorang saksi. Walaupun sejarah ini serta hubungan kedua-duanya masih diperdebatkan, kami yakin anda akan terfikir tentang perkara ini setiap kali anda menulis testimoni di masa akan datang.

2. Syampu berasal dari perkataan Hindi

syampu shampoo champo

Kami yakin ramai mengamalkan syampu rambut setiap hari. Tahu tak dari mana datangnya perkataan ini?

Syampu atau shampoo yang kini merujuk kepada bahan cecair yang kita gunakan untuk mencuci rambut, karpet atau kereta serta perbuatan membasuh sesuatu dengan air bersabun - berasal dari istilah Hindi 'champo.'

Asalnya, 'champo' mempunyai makna menguli atau mengurut sesuatu agar sebati biasanya digunakan dalam perbuatan menguli tepung. Perkataan itu diperluaskan lagi maknanya, merujuk kepada perbuatan seseorang mengurut kepala dengan minyak bagi menyihatkan kulit kepala - ibarat dia sedang menguli tepung.

Tiba era penjajahan Inggeris di India sekitar pertengahan abad ke 19, masyarakat Britain di sana mula menggunakan istilah 'champo' untuk merujuk perbuatan mencuci kepala, direkodkan kali pertama dalam bahasa Inggeris pada tahun 1860 dengan ejaan 'shampoo.'

Persoalannya di sini - adakah istilah 'campur' dalam bahasa Melayu, berkongsi asal-usul yang sama?

3. 'Log masuk' masuk berasal daripada aktiviti pembalakan

buku log login log masuk kapal

Setiap hari kita akan 'log masuk' atau 'log in' ke dalam akaun milik kita, baik akaun bank, media sosial atau emel. Kenapa kita sebut 'log'?

'Log' secara tunggal mempunyai makna kayu pokok yang besar dan aktiviti pembalakan ini telah menjadi salah satu industri besar sejak dahulukala lagi.

Ketika abad ke 17, semua kayu log yang telah ditebang akan diangkut dengan kapal dan setiap rekod berkenaan urusan kapal pengangkut kayu tadi, akan direkodkan dalam sebuah buku yang dinamakan 'buku log' atau 'log book.'

Urusan rekod-merekod ke dalam buku ini akhirnya mula dirujuk sebagai satu perbuatan sehingga menjadi kata kerja, sebelum digunakan kali pertama untuk memasukkan rekod atau data ke dalam komputer sekitar tahun 1963.

4. Wedding sebenarnya berasal dari perbuatan judi

wedding wed wedd pertaruhan judi

Selepas tamatnya pandemik ni, jemputan untuk kita menghadiri kenduri-kendara atau wedding nampak kembali rancak. 'Menghadiri wedding' kembali popular di bibir kita.

'Wedding' ari aspek bahasa Inggerisnya membawa makna 'persetujuan untuk bersatu'. Tetapi pasti tidak ramai yang menyangka, istilah akarnya iaitu 'wed' sebenarnya mempunyai makna yang jauh berbeza serta agak melucukan jika dikaitkan dengan perkahwinan.

'Wed' atau 'wedd' sebenarnya berasal daripada istilah 'wadh' dalam bahasa Proto Indo-Eropah yang membawa makna 'mempertaruhkan sesuatu yang bernilai', lebih mirip dengan perbuatan berjudi. Makna ini lebih meluas diamalkan dalam bahasa lama Norse, Dane dan Jerman Lama.

Bahasa Inggeris Kuno meminjam istilah ini, menukarkannya menjadi 'weddung' yang membawa makna serupa, serta menambah maknanya kepada dua jiwa yang mempertaruhkan diri dengan satu sama lain; yakni berkahwin. Mungkin ada benarnya; perkahwinan memang satu perjudian.

Dapat pasangan yang baik, menanglah kita. Dapat yang teruk? Bungkus.

5. Kamera asalnya merujuk kepada bilik gelap

kamar gelap kamera camera camar

Sebelum istilah 'kamera' digunakan bagi merujuk kepada peranti untuk menangkap gambar, istilah itu sebenarnya telah digunakan terlebih dahulu dalam bahasa Latin bagi merujuk kepada ruangan bilik yang bertutup dalam keadaan gelap dan suram.

Wujud dalam beberapa versi berbeza mengikut bahasanya seperti 'camara' (Sepanyol), 'Kamara' (Yunani) dan 'camra' (Ireland Kuno), istilah ini mula digunakan dalam istilah 'camera obscura'; merujuk kepada bilik di mana tayangan atau projeksi visual dapat dilihat pada tirai yang dipasang.

Dari peralatan inilah idea asas tentang proses rakaman fotografi dan pengimejan tradisional mula dibangunkan. Istilah itu kekal digunakan untuk merujuk kepada peranti mengambil gambar.

Walaupun kini lebih popular dengan makna baru itu, istilah lamanya tetap terus wujud. 'Kamar' dalam bahasa kita pun masih mengekalkan istilah asal yang merujuk kepada bilik tertutup untuk privasi.

Apa yang menarik, terdapat sebuah bangunan di Oxford University yang dinamakan Radcliffe Camera. 'Camera' dalam nama ini bukanlah bermaksud 'kamera' sebaliknya membawa maksud 'bilik membaca.' Jika anda berpeluang ke sana dan mencari di mana kameranya - besar kemungkinan anda tidak akan menemuinya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)