Satu ketika dulu, kita boleh pegang muzik yang kita dengar an kuantiti jumlah muzik yang kita simpan, sangatlah terhad jika dibandingkan dengan kemudahan akses sistem Spotify atau Youtube ketika ini.
Budaya dan cara kita menghargai muzik yang ada dalam koleksi kita sangatlah berbeza, seiring dengan perubahan zaman. Sekali sekala menoleh ke belakang mengimbau kembali kenangan lama, barulah kita sedar indah sebenarnya zaman terdahulu walaupun banyak juga sebenarnya susah payah yang perlu kita hadapi.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 5 tabiat mendengar lagu dan muzik yang pernah dilakukan oleh generasi remaja zaman dahulu, namun besar kemungkinan tak perlu dilalui remaja masa kini.
1. Cari radio secara manual
Dulu-dulu, sebelum ada penala (tuner) automatik, generasi terdahulu termasuklah dari zaman sebelum merdeka, terpaksa menala sendiri radio untuk mencari stesen kegemaran. Walaupun sebenarnya sistem yang sama masih digunakan, besar kemungkinan peranti radio zaman moden hanya memerlukan kita gunakan penala hanya sekali sebelum frekuensi stesen radio di simpan dalam memori radio. Itupun penalanya automatik.
Radio lama ada roda atau piring yang perlu dipusingkan sehinggalah kita sampai ke stesen yang kita nak. Itupun kadangkala kena pulas dengan berhati-hati untuk dapatkan siaran paling jelas. Nak tukar stesen lain pula kena pusing balik dan bagi kanak-kanak generasi itu, banyak sebenarnya usia kami terbuang hanya untuk mendapatkan siaran radio paling jelas.
2. "Apa? CD ni ada 10 lagu je?"
Sebelum zaman memori 'flash' meluas yang dipopularkan oleh peranti-peranti memori USB yang murah, lagu-lagu hanya boleh didapati melalui pembelian kaset atau cakera padat. Walaupun memori flash yang ada ketika ini terhad, namun saiznya cukup besar.
Untuk sebuah kaset, hanya mampu menyimpan 60 minit lagu dalam format berkualiti tinggi atau 90 minit dalam format berkualiti rendah. Sementara itu cakera padat pula hanya mampu memuatkan 74 minit audio untuk dimainkan.
Bila anda ke kedai aksesori kereta, pasti anda dapat lihat jualan fail cakera padat dalam kereta. 8 cakera padat mampu memuatkan lebih kurang 96 lagu secara purata, jauh berbeza dengan Apple iPod generasi pertama, yang mampu menyimpan 1250 lagu dalam saiz yang lebih kecil. Bila nak melalui perjalanan jauh, terpaksalah kita bawa beberapa kotak kaset atau cakera padat (serta bekalan bateri) untuk menghilangkan kesunyian kita.
3. Fast Forward dan Rewind
Sebelum cakera padat menjadi popular, generasi dahulu menggunakan kaset. Satu kelemahan ketara kaset adalah keperluan untuk kita menggunakan fungsi fast forward atau rewind untuk mara atau mundur ke belakang, di antara lagu. Bila kita ke depan sedikit dan terlajak sehingga lagu dah bermula, kita perlu berundur ke belakang semula. Bila nak undur, mesti terlajak punyalah.
Oleh kerana sistem kaset pada waktu itu masih lagi menggunakan sistem mekanikal, semua perbuatan maju dan undur perlu dilakukan oleh pemain kaset. Pemain kaset pula memerlukan kuasa bateri. Perkara yang banyak makan bateri? Fast forward dan rewind. Jadi generasi terdahulu ada dua saja pilihan - beli bateri banyak-banyak pada harga yang mahal atau gunakan penutup pen Kilometrico, pusingkan sendiri kaset. Banyak juga kaset putus disebabkan terlalu asyik sangat pusing tak sedar dah sampai ke hujung.
4. Membuat mix tape
Seni membuat mix tape adalah satu kemahiran yang sangat penting satu ketika dulu. Ada ramai antara pemuda dan pemudi, menjadikan mix tape sebagai bukti cinta kami pada mana-mana individu yang kami sukai. Kepada yang tak tahu, mix tape adalah kaset berbentuk rawak yang dibuat sendiri menggunakan kaset kosong, yang boleh dibeli di mana-mana kedai kaset.
Kita perlu memilih lagu serta jumlah lagu pula perlu sesuai dengan durasi kaset. Selain itu, ada juga yang hendak memasukkan kata-kata ucapan kasih sayang sebagai selingan di antara lagu. Seni menyusun mix tape ini pula hanya akan lengkap, sekiranya jarak masa di antara lagu ke lagu sempurna. Nak buat mix tape ni pun, memerlukan radio atau hi-fi khas yang mempunyai dua dek kaset.
Sekiranya anda tertanya-tanya apa itu hi-fi dan dek kaset, besar kemungkinan anda masih muda. Sekarang ni memang senang nak buat mix tape. Apa kata anda beramai-ramai kembalikan budaya mix tape ni tapi dalam bentuk digital. Buktikan cinta kita dengan kata-kata cinta yang diselang-selikan dengan lagu, kemudian emel pada kekasih anda. Attachkan fail itu pada kami juga. Kami nak dengar.
5. Tunggu waktu tertentu untuk dengar lagu
Masyarakat Malaysia satu masa dulu memang tak ramai yang mampu beli kaset dan cakera padat. Kaset kebiasaannya berharga belasan ringgit sementara cakera padat berharga lebih RM35. Untuk generasi muda waktu itu, dua amaun itu adalah satu pelaburan yang besar tak seperti sekarang, di mana pelajar sekolah bawa RM10 ke sekolah adalah perkara biasa.
Bagi golongan kurang berkemampuan, terpaksalah kami menunggu lagu kegemaran kami dimainkan di radio. Satu ketika dulu, surat khabar menyiarkan senarai lagu yang akan dimainkan dalam satu slot radio selama 2 jam. Lagu-lagu itu pula dipilih daripada permintaan peminat menerusi surat yang dihantar pada stesen radio dan setiap orang hanya dibenarkan meminta dua lagu sahaja.
Sekiranya ada nama yang terpilih disenaraikan untuk siaran hari itu, berdirilah kami depan radio nak dengar lagu pilihan kami dimainkan. Yang lebih seronok dapat dengar nama kami dibacakan. Bagi yang nak rakam lagu kesukaan mereka, waktu itu dah siap dah kaset kosong dalam dek tunggu nak tekan rakam.
Apa yang merosakkan perancangan pada ketika itu selalunya adalah suara juruhebah atau DJ radio yang bersuara ketika lagu sedang dimainkan, sehingga mencacatkan lagu. Lebih teruk, siaran tergendala sebab tuner lari.
Seronok sebenarnya teknologi pada waktu itu. Walaupun banyak susah payahnya, apa yang kami lalui satu masa dulu menjadi anekdot menarik untuk diberitahu. Kami akui teknologi yang ada ketika ini amatlah mudah digunakan, namun kemudahan itu sedikit sebanyak membuatkan kita semua tak lagi menghargai muzik atau alunan radio yang menghiburkan seperti dahulu.
Dalam lima yang disenaraikan, hanya mix tape saja nampaknya kekal relevan untuk diteruskan namun formatnya pun sudah berubah. Sekiranya ditanya adakah kami mahu kembali seperti dulu, sah-sahlah jawapannya tidak namun pengalaman membeli kaset, cakera padat serta merakamkan sendiri lagu di radio membuatkan pengalaman kami ada unsur interaksi fizikal.
Mungkin kerana itulah memori yang ada tersemat kemas, mudah mengingat dan kerap terkenang kembali.