Menjadi seorang adiwira memang memenatkan. Seseorang perlu bergelumang dengan dua kehidupan berbeza; identiti asal dan identiti rahsia melawan penjahat setiap hari.
Walaupun begitu dalam menyeimbangkan dua jadual berbeza itu - sebenarnya berlaku banyak kecuaian, keculasan atau perkara yang sering kali diabaikan adiwira-adiwira ini, yang sebenarnya memberikan risiko tinggi kepada mereka dan orang sekeliling mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Apakah kecuaian yang kami sebutkan? Berikut adalah lima perkara tak masuk akal tentang tabiat harian seorang adiwira, yang jelas tidak logik tetapi enggan dibincangkan penciptanya.
1. Kenapa tidak ada pekerja Wayne Enterprise yang mencurigai Bruce Wayne?
Bruce Wayne atau 'Batman' menjadikan waktu malam sebagai waktu di mana dia mencegah jenayah.
Dengan mengenakan kostum kelawar, celak mata hitam serta suara yang sengaja digaraukan, Batman berjaya melindungi identiti asalnya sebagai seorang hartawan kaya yang menguasai sebuah empayar perniagaan besar.
Masalahnya, walaupun secergas mana sekalipun Bruce Wayne - dia masih seorang manusia biasa. Dia memerlukan tidur yang cukup dan masa yang memadai untuk pulih dari kecederaan. Komik dan filem Batman jarang memaparkan aspek ini kecuali apabila berlakunya kecederaan kritikal.
Bruce Wayne seringkali digambarkan cergas, bertenaga dan bergaya ke pejabat seolah-olah cukup tidurnya. Wajahnya kekal kacak, tanpa kesan lebam atau luka walaupun dibelasah penjahat yang jauh lebih kuat dari dia, tiada masalah untuk memulakan tugasnya.
Apa yang lucu, tiada seorang pun pekerja empayar perniagaan sebesar Wayne Enterprise yang meragui identiti keduanya.
2. Siapa kutip baju Superman?
Superman digambarkan gemar menggunakan lokasi tersembunyi seperti lorong dan pondok telefon untuk menukar persalinannya; menukarkan identitinya daripada Clark Kent, wartawan lemah yang mudah dibuli kepada Superman yang perkasa.
Pondok telefon tu pun dah tak masuk akal dah pada zaman moden. Berapa kerat sangat pondok telefon sebegitu masih digunakan? Takkanlah tak ada orang pelik kenapa Clark Kent masih suka masuk pondok telefon? Nasib baik dalam beberapa dekad ini transformasi sebegini jarang dipaparkan lagi.
Yang lebih aneh, bila Superman selesai bertukar baju - baju yang dipakai Clark akan ditinggalkan dilokasi asalnya. Apa berlaku pada baju-baju itu?
Superman menyorokkan baju di tepi tong sampah
Adakah Superman akan kembali ke pondok telefon itu untuk mengutip semula baju yang dipakai atau ada individu gelandangan yang gembira menjumpai baju kemeja lengkap dengan tali leher setiap hari?
Tidak nampak Superman membawa sebungkus plastik berisi pakaian itu, semasa dia berlawan dengan orang jahat jadi jelas dia meninggalkannya dalam pondok telefon itu.
Ada pihak menyebut Superman menggunakan kuasanya untuk memampatkan bajunya dalam poket kecil pada jubah panjangnya. Lemah sungguh alasannya.
3. Berapa kerajaan Jepun rugi setiap kali Ultraman bertarung?
Keperkasaan Ultraman dan ahli keluarganya dalam melindungi bumi dari serangan kaiju atau raksasa-raksasa menggerunkan, tidak boleh disangkal.
Walaupun demikian setiap kali berlakunya pertembungan, bandar Tokyo di Jepun boleh dilihat hancur musnah menjadi medan pertarungan kedua-dua makhluk gergasi.
Jika dilihat pada kadar kemusnahan yang berlaku, mustahil untuk Jepun mampu menjadi kuasa ekonomi dunia yang dapat kita lihat sekarang. Ini kerana banyak bangunan runtuh, kediaman dimusnahkan dan jumlah individu yang terkorban akibat pertempuran layak dikatakan tak terkira ramainya.
Mungkin kerana efisiennya kerajaan Jepun serta semangat kerjasama mereka, dalam masa singkat saja bandar yang sebelum ini musnah berjaya dibangunkan semula dan pusat-pusat ekonomi kembali beroperasi.
Siapa yang bayar kos pemulihan bandar-bandar ini?
Adakah kerajaan Amerika Syarikat yang menanggung segala kos, dek wujudnya hubungan kerjasama ekonomi dan ketenteraan antara kedua-dua kerajaan? Pernahkah Ultraman terfikir tentang nyawa yang telah terkorban hanya kerana tindakan dia?
4. Kenapa penjahat selalu menunggu adiwira Jepun bertukar?
Setiap kali berlakunya keganasan, perwira-perwira dari Jepun seperti Masked Rider atau Super Sentai akan hadir menggunakan identiti manusia mereka pada mulanya cuba bertarung.
Namun tanpa kekuatan luar biasa mereka, mereka pastilah akan tewas dulu. Dalam keadaan terdesak adiwira-adiwira ini akan 'menyeru' kuasa mereka menggunakan gaya dan aksi tertentu, seterusnya bertukar menjadi adiwira sebenar yang berkuasa tinggi.
Tiap-tiap kali dalam semua episod, transformasi yang berlaku akan memakan masa 30 ke 1 minit, belum mengambil kira waktu untuk adiwira Jepun itu menayangkan gaya keperwiraan mereka sama ada secara individu atau berkumpulan.
Daripada mula bertukar sehinggalah sedia untuk bertempur, pastilah lebih 1 minit diperlukan, lebih jika setiap anggota punya pose berbeza.
Apa yang ganjil dalam tempoh tersebut raksasa dan penjahat yang sebelum itu sibuk bertarung melakukan onar, boleh pula menunggu dengan sabar adiwira itu bertukar tanpa sedikitpun berusaha untuk mengganggu transformasi mereka.
Konco-konco orang jahat yang sebelum itu sibuk membelasah juga tekun menunggu semua itu selesai sebelum kembali bertarung, mengakibatkan mereka akhirnya dibelasah selepas itu.
Dari manakah datangnya kesabaran penjahat ini dalam memastikan adiwira selesai bertukar? Kenapa mereka tak ambil kesempatan menyerang saja adiwira ketika itu, menyelesaikan pertarungan sebelum pertarungan sebenar bermula?
5. Kenapa Spiderman tak pernah kena saman dengan majlis perbandaran?
Jika Superman gemar meninggalkan sampah baju dan Ultraman gemar meruntuhkan bandar, Spiderman pula cukup terkenal di kalangan pekerja majlis perbandaran di mana adiwira itu berkhidmat sebagai individu paling banyak membuat kotor dalam bandar.
Anda cuba pusing keliling rumah anda, cari sarang labah-labah untuk dibersihkan. Mesti setengah hari diperlukan untuk kerja pembersihan. Itu baru sebuah rumah - Spiderman pula gemar memancutkan jaringnya ke bangunan-bangunan tinggi untuk bergerak ke sana ke mari.
Masalahnya, anda cuba tengok ke arah mana Spiderman menembak jaringnya - semua ke kawasan bangunan tinggi yang susah untuk dibersihkan. Pekerja majlis perbandaran perlu menggunakan kren hanya untuk mencabut jaring itu dari dinding.
Satu bangunan berapa lama agaknya diambil untuk dibersihkan? 10 bangunan? 100 bangunan?
Paling teruk berkenaan Spiderman ini - jaringnya itu pula merupakan sejenis gentian kimia yang mempunyai kekuatan tensil yang cukup tinggi, sangat kuat melekat serta cukup sukar untuk dicabut berikutan keperluan menampung beban hayunan yang besar.
Walaupun ada usaha untuk menerangkan bahawa jaring labah-labah Spiderman terhasil daripada sebatian kimia yang akan terurai selepas 1 jam ditembak, ini masih tidak menjelaskan tentang kemampuan watak itu dalam trilogi awal filem Spiderman lakonan Tobey Maguire.
Dalam ketiga-tiga filem itu, jaring labah-labah yang keluar daripada tembakan Spiderman adalah sebatian semulajadi yang dihasilkan sendiri oleh tubuh Peter Parker. Adakah cecair itu akan terurai seperti mana yang diperkatakan?
Apa pula pandangan majlis perbandaran sekiranya mereka tahu jaring labah-labah yang memenuhi bandar itu, terhasil daripada proses semulajadi tubuh seorang lelaki?
Tolonglah Spiderman. Orang lain boleh naik motor atau kereta semasa bertugas. Jangan rosakkan keindahan tempat awam hanya untuk kesenangan sendirilah.