Apabila bercakap tentang adiwira atau superhero, pasti ramai di antara kita hanya memikirkan tentang filem dan komik.
Sedar atau tidak, adiwira telah lama wujud dari zaman dahulu lagi. Namun, genre adiwira dilihatkan meletup dalam beberapa abad yang lalu sahaja.
Semua orang tahu pasal wira-wira ini, mengalu-alukan kehadiran mereka melalui dunia hiburan dan globalisasi budaya. Tetapi seperti yang berlaku dalam banyak bidang lain, orang ramai mengabaikan banyak butiran mengenai watak-watak ikonik ini.
BESARKAN TEKS A- A+
iluminasi.com kongsikan 5 fakta menarik tentang adiwira yang ramai tak tahu.
1. Adiwira dijadikan kerjaya universiti
Sudah tentu ada yang mengatakan adiwira hanyalah untuk kanak-kanak. Ada juga yang mengatakan bahawa adiwira adalah hiburan yang tak perlu diambil begitu serius.
Namun, ia telah berubah sekarang. Dengan populariti genre adiwira yang sangat dahsyat ketika ini, banyak institusi pendidikan mula menggunapakai watak-watak adiwira sebagi objek pengajian dalam kursus mereka.
Lagipun, kisah-kisah adiwira adalah gabungan kepada seni, sastera dan sains yang lebih daripada sekadar hiburan.
Sejak tahun 2015, Institusi Smithsonian telah menawarkan kursus atas talian tentang adiwira melalui EdX, platform pendidikan yang ditubuhkan oleh MIT dan Universiti Harvard.
Kursus tersebut bertajuk "Kebangkitan Adiwira dan kesannya terhadap Kebudayaan Popular" dan merangkumi keseluruhan sejarah genre adiwira daripada asalnya pada tahun 1938 hingga ke hari ini.
2 daripada tenaga pengajarnya adalah Stan Lee, artis Marvel Comics yang sangat terkenal dan Michael Uslan, penerbit filem Batman sejak tahun 1989.
Walaupun Stan Lee telah meninggal dunia pada November 2018, tandantangannya masih berada dalam sijil yang dikeluarkan di penghujung kursus tersebut.
Sementara itu, di antara kursus yang tersedia, Universiti Oregon mempunyai satu yang dipanggil "Pengajian Komik" dan memfokuskan kepada aspek teknikal seperti lukisan dan penceritaan.
Sebaliknya, Universiti Minnesota mempunyai kursus mengenai "fizik adiwira" iaitu fakta saintifik yang digunakan oleh penulis untuk menjelaskan kuasa watak-watak adiwira.
Memang benar kita boleh meragui kursus ini dalam mempersiapkan para pelajar untuk mendapatkan kerja berbanding kerjaya lain.
Namun, selepas menamatkan kursus-kursus ini, anda boleh menggelarkan diri anda sebagai "cendekiawan adiwira" yang kedengaran sangat cool!.
2. Diinspirasikan oleh individu sebenar
Untuk menghasilkan adiwira, para penerbit tidak semestinya mengharapkan pada watak-watak mitos. Malah, watak-watak ini kadang-kala dihasilkan berdasarkan manusia sebenar.
Ada kemungkinan bahawa para artis melihat orang yang mereka kenal sebagai model terbaik untuk menghasilkan adiwira baru.
Dalam kisah lain pula, individu-individu tertentu dalam dunia sebenar mempunyai kehidupan yang sangat luar biasa membuatkan mereka ini mudah untuk dijadikan watak adiwira.
Sebagai contoh, watak Tony Stark atau Iron Man yang mana dihasilkan pada tahun 1963 berdasarkan billionaire dari Amerika Syarikat, Howard Hughes.
Para pelukis DC mahu menghasilkan watak yang mempunyai penampilan yang riang dan "rugged", seperti pelakon dan pemuzik, Sting. Dan ini dikatakan menjadi inspirasi kepada watak anti-wira ghaib iaitu John Constantine.
Bagi watak Professor X pula, ketua X-Men oleh Marvel, diinspirasikan oleh aktivis dan paderi, Martin Luther King Jr tetapi watak itu diinspirasikan oleh Yul Brynner dari segi fizikal.
Sementara itu, pelakon Samuel L. Jackson telah diambil sebagai asas untuk menghasilkan semula Nick Fury, pengasas Avengers dan pengarah organisasi S.H.I.E.L.D..
Pada mulanya, Samuel tidak tahu bahawa Marvel menggunakannya sebagai inspirasi untuk menghasilkan watak tersebut, namun beliau tetap bersetuju unutk memainkan watak tersebut.
Malah, salah satu watak jahat paling kuat dalam DC iaitu Darkseid, diinspirasikan oleh personaliti Adolf Hitler.
3. Adiwira dijadikan sebagai ikon perang
Kajian saintifik telah menunjukkan bahawa adiwira-adiwira moden memberikan kesan psikologi yang kuat kepada pelbagai lapisan manusia.
Atas sebab ini, watak adiwira dengan mudah dilihatkan sebagai tiang kepada harapan dan keyakinan, sekaligus meningkatkan nilai-nilai baik dalam masyarakat.
Tetapi apabila situasi masyarakat berubaj, adiwira juga memerlukan tujuan yang baru.
Dengan mengetahui potensi untuk mempengaruhi manusia, kerajaan menggunakan watak buku komik untuk meningkatkan semangat populasi untuk berjuang untuk negara mereka di medan perang.
Kes yang paling jelas dalam hal ini adalah watak Kapten Amerika. Komik pertamanya dikeluarkan pada Mac 1941, 9 bulan sebelum Amerika Syarikat terlibat dalam Perang Dunia Kedua ketika perang berada di kemuncak.
Idea seorang adiwira memakai bendera Amerika ketika mengalahkan Nazi dengan tangan sendiri adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh populasi negara mereka pada ketika itu.
Oleh itu sebabnya ia bukanlah satu kebetulan bahawa komik ini adalah yang paling banyak dibaca ketika perang berlangsung dengan berjuta-juta salinan terjual setiap bulan.
Malah, tentera AS juga membaca cerita-cerita adiwira ini ketika berada di medan perang.
Komik Kapten Amerika juga termasuk perkara-perkara seperti ilustrasi patriotik atau momen dalam cerita di mana adiwira ini meminta pembaca membeli bon perang (jaminan hutang yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk membiayai operasi ketenteraan dan perbelanjaan lain semasa perang.).
Sementara itu, Superman juga digunakan untuk menggalakkan pembelian bon perang. Pada tahun 1969, selepas tentera meminta Superman untuk muncul di medan perang, DC menerbitkan sebuah komik di mana adiwira ini muncul dalam Perang Vietnam.
Pada tahun 2005, Marvel bekerjasama dengan Pentagon untuk mengedarkan komik percuma kepada sejuta tentera di bawah kempen yang disebut "America Supports You."
Dengan ini, watak adiwira sememangnya dilihatkan sebagai satu cara yang baik untuk digunakan sebagai propaganda perang.
4. Adiwira adalah genre yang paling menguntungkan
Bukanlah sesuatu yang menghairankan bahawa filem adiwira adalah sangat menguntungkan. Rata-rata, filem seram memberikan pulangan RM80 juta dalam box-office domestik.
Sebaliknya, filem adiwira secara puratanya boleh mencapai sehingga 8 kali jumlah tersebut dalam pasaran yang sama. Tidak dinafikan bahawa genre adiwira adalah lebih "hidup" daripada sebelum ini.
Pada tahun 2017, genre adiwira adalah yang paling berjaya dengan pulangan sebanyak RM20 bilion untuk 8 filem utama Marvel, DC dan Saban.
Pada tahun 2018, keadaan yang sama berulang dengan pendapatan yang lebih besar. Pada penghujung tahun 2018, pendapatan yang dihasilkan oleh 8 filem superhero dengan siaran teater pada tahun itu adalah antara RM31.3 dan RM33.4 bilion.
Malah, genre ini mewakili 25.5% daripada jumlah jualan tiket di Amerika Syarikat. Tetapi adiwira bukan satu-satunya pemenang dalam industri filem.
Menjelang 2018, Marvel Cinematic Universe jauh melepasi mana-mana francais filem lain dari segi pendapatan.
Jika kita gabungkan semua filem mengenai watak-watak Marvel, jenama itu mewakili francais media paling tinggi di dunia, melebihi francais Pokemon dan pendapatannya sebanyak RM246 bilion.
Dengan tujuh siaran utama genre ini pada tahun 2019, para pakar percaya bahawa keadaan ini hanya akan terus berkembang bagi industri adiwira.
5. Korea Utara pun ada adiwira
Bagi sebuah negara yang tidak mempunyai cahaya lampu pada waktu malam, mudah untuk kita anggap bahawa budaya adiwira tak sampai ke Korea Utara.
Lagipun, watak fiksyen seperti adiwira ini kebiasaannya adalah budaya Barat yang mana sangat dibenci oleh Korea Utara.
Akan tetapi, Korea Utara sendiri pun tergoda dengan idea bagi mempunyai watak adiwira untuk dikagumi. Sudah tentu mereka harus melakukan ini dengan mengekalkan pandangan "anti-imperalis" mereka.
Jadi, dengan tidak membuta tuli mengagungkan adiwira asing, Korea Utara memutuskan untuk menghasilkan adiwira mereka sendiri.
Di Korea, kisah adiwira bernama Hong Gildong sudah wujud untuk tempoh yang lama. Pendek cerita, Hong Gildong adalah Robin Hood versi Korea.
Dalam kisah itu, Hong adalah seorang lelaki yang terasing dan berubah menjadi adiwira, melindungi orang yang tidak bersalah dari penjahat dan bahkan membebaskan bandarnya daripada tentera musuh.
Sebaliknya, imej filem adiwira Korea Utara yang masih dalam penghasilan telah bocor pada tahun 2014.
Imej-imej ini menunjukkan apa yang kelihatan sebagai adiwira asli memakai pakaian seragam tentera, menunggang kuda bersayap dan menggunakan obor sebagai senjata.
Adiwira ini yang dilihatkan seperti Superman versi Korea Utara, menyerang "orang jahat," yang mana terdiri daripada rakyat Amerika Syarikat, dengan membuang emas mereka ke laut dan dengan itu memberi tamparan kepada kapitalisme.
Rujukan:
2. Utexas