Oleh pada 12 Aug 2022 kategori

Pengguna kesan khas  yang dijana menggunakan komputer atau CGI, sudah mengambil alih penggunaan kesan khas bersifat praktikal yang sebelum ini digunakan dalam pembikinan filem.

Bagaimanapun kualiti visual yang terhasil oleh janaan komputer sangat bergantung dengan kemahiran artis terlibat, bajet yang ada serta masa yang diperuntukkan. Produksi sesebuah filem biasa biasanya jarang lengkap ketiga-tiganya, jadi penggunaan CGI biasanya diminimakan hanya dalam adegan yang perlu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Filem bertemakan adiwira tidak takut untuk menggunakan CGI dalam majoriti adegan disebabkan keperluan mereka sesuatu yang imaginasi, tetapi ada kalanya hasil diperolehi kelakar dan lebih layak diketawakan. Berikut adalah lima kesan khas paling tak realistik pernah dicuba dalam filem adiwira.

1. Misai Superman yang perlu dipadam

misai henry cavill aneh dalam justice league

Di antara banyak kesan khas yang dikritik, visual yang dibuat bagi memadamkan misai pelakon Henry Cavill menimbulkan kontroversi besar semasa tayangan filem (asal) Justice League. 

Semasa menjalani penggambaran filem Mission Impossible - Fallout bersama Tom Cruise, Cavill sudah menandatangni kontrak untuk menyimpan misai bagi memainkan watak dalam filem tersebut. Kontrak itu pula ditandatangani selepas jadual penggambaran bagi filem Justice League dijadualkan tamat. 

Namun selepas kerja produksi Justice League memerlukan beberapa penggambaran semula yang bertembung dengan jadual produksi MI-Fallout, ini menyebabkan Cavill perlu melakonkan watak Superman yang jelas tidak bermisai - sedangkan ketika itu misainya sudah tertera tidak boleh dicukur selagi mana penggambaran filem MI belum tamat.

Untuk memastikan produksi berjalan, produksi Justice League meneruskan penggambaran dengan Cavill melakonkan watak Superman dalam keadaan bermisai. Misainya pula akan dibuang dengan bantuan CGI. Hasilnya?

Kami yakin ramai pembikin filem di Malaysia mampu menghasilkan teknik rotoskopi yang lebih baik - berbanding hasil akhir yang dapat kita tonton dalam filem itu.

2. Green Lantern

green lantern cgi kualiti rendah

Filem Green Lantern secara keseluruhannya sangat-sangat mengecewakan. Walaupun dihasilkan sebagai sebuah filem bajet besar, kualiti filem ini hancur dalam semua aspek. Lebih melucukan - pelakon utamanya, Ryan Reynolds secara sarkastik tapi serius menghentam filem ini.

Konsep visual filem ini memang kucar-kacir, seolah-olah tidak ada hala tuju rekaannya. Keseluruhan filem ini kelihatan tidak realistik serta lebih mirip kepada grafik permainan video era 2000 akibat visual yang lebih menepati projek-projek filem bebas pelajar universiti.

Kebanyakan kisah yang bocor tentang masalah pembikinan filem ini, menyalahkan penerbit yang terlalu mengongkong produksi sehinggakan banyak keputusan yang dibuat oleh pengarah diabaikan.

Ini termasuklah pemilihan pelakon, di mana pelakon asal yang dimahukan adalah Bradley Coorper namun pihak penerbit menetapkan Reynolds sebagai bintang utama.

Tamat penggambaran, proses penyuntingan filem ini berdepan banyak campur tangan yang jelas mencacatkan jalan cerita. Visualnya pula selain daripada berdepan masalah ketiadaan konsep yang jelas, turut sama berdepan permintaan studio yang tiba-tiba mahukan filem itu turut dilancarkan dalam format 3-dimensi.

Jika anda ada sedikit pengalaman bekerja dalam bidang ini, anda pasti tahu apa yang diminta bukanlah benda-benda mudah untuk ditukar-tukar begitu saja.

3. Morbius

wajah morbius guna cgi

Anda dah tonton filem ini? Bagi penulis - cukup mengecewakan. Filem ini membawa penulis kembali merasai pengalaman menonton filem era awal milenium dahulu di mana produksi filem berorientasikan adiwira masih mencari rentaknya.

Terlalu banyak penggunaan kesan khas yang melampau teramat sangat, diaplikasikan ke dalam filem ini khasnya kesan pergerakan pontianak yang menghasilkan visual berwarna yang entah apa tujuannya. Nampak benar digunakan hanya sekadar nampak cantik. 

Namun masalah utama filem ini adalah kesan CGI yang diaplikasikan ke atas watak utama filem itu, Dr. Morbius lakonan Jared Leto yang nampak benar digarap menggunakan komputer. Setiap memek wajah dan riak muka Morbius semasa transformasi hanya mengundang ketawa penulis. 

Apa yang menggelikan hati penulis, Leto sendiri melobi pasukan produksi untuk menggunakan CGI bagi penghasilan wajah menakutkan Morbius - berbanding idea asal mahu menggunakan penggunaan topeng muka dan kesan khas praktikal.

Leto melihat CGI akan memberikan beliau lebih banyak kebebasan untuk menonjolkan bakat lakonannya berbanding memakai topeng...hasilnya memang agak hampeh.

4. The Matrix Reloaded

adegan pertarungan the matrix reloaded

Walaupun duduk dalam genre sains fiksyen, trilogi 'The Matrix' secara asasnya sebenarnya adalah sebuah filem berkisarkan adiwira - jadi kami rasakan judul ini juga sesuai untuk kami senaraikan. 

Menyusuli filem pertama 'The Matrix' yang harus kita akui sangat mendahului zamannya bukanlah sesuatu yang mudah. Jadi 'The Matrix Reloaded' yang bertindak sebagai sinambungan jalan cerita memikul beban yang sangat besar.

Pengenalan watak-watak baru dan jalan cerita yang baik membantu filem kedua ini turut bergelar blockbuster, mencatat kutipan USD750 juta berbanding kos USD150 - bagaimanapun kesan visual yang digunakan semasa pertarungan watak utama Neo melawan ratusan klon ejen bernama Smith meninggalkan rasa pahit ditekak.

Khususnya dalam era di mana kualiti video sudah berlipat kali ganda tinggi resolusinya, berbanding era tersebut di mana kita masih menonton dengan format VCD.

Pergerakan pertarungan yang aneh disertai oleh impak yang seakan tiada momentum, membuatkan adegan klimaks itu rasa seperti sebuah demonstrasi permainan video bagi menguji keupayaan komputer. 

Lucunya - peminat fanatik trilogi filem ini cuba mempertahankan kegagalan visual adegan itu dengan mengatakan impak pertarungan tersebut serta kewujudan terlalu banyak klon penjahat, mengakibatkan kualiti visual dunia maya yang direkabentuk mesin dalam filem itu menurun -  gagal menampung pemprosesan yang sepatutnya diperlukan.

Hanya peminat setia siri filem ini faham dengan kenyataan di atas.

5. Black Panther

adegan cgi buruk teruk black panther

Sebagai sebuah filem, 'Black Panther' sudah memahatkan impaknya dalam budaya popular dunia, berjaya mengangkat identiti dan budaya masyarakat Afrika dalam bentuk yang nyata segar berbanding cubaan-cubaan sebelumnya.

Filem ini juga merupakan sebuah filem yang sangat menghiburkan - dari mula membawakan diskusi  terbuka berkenaan pertelagahan sosio dan status masyarakat, serta kepentingan melindungi etnik dan warisan sendiri yang digarap kemas dalam kerangka sebuah filem adiwira.

Tiba babak terakhir, filem ini hilang arah. Khususnya dalam pertarungan terakhir di antara watak utama, T'Challa bertarung dengan sepupunya N' Jadaka atau Erik Stevens dalam sebuah kawasan perlombongan sambil perlu mengelak gerabak keretapi yang hadir.

Daripada sebuah filem yang tidak ada cacat cela dari segi rekaan visual - dengan tak semena-mena penonton perlu menyaksikan dua watak bertarung dalam visual komputer dekad 90-an.

Menurut mereka yang bekerja dalam menghasilkan adegan itu, terdapat percanggahan pendapat tentang hala tuju bagaimana adegan itu perlu dibuat. Pengarahnya mahukan konsep berbeza sementara Marvel Studios sebagai penerbit mahu kaedah yang berlainan.

Ekoran perbezaan itu, pasukan visual hanya mempunyai masa sekitar 6 minggu untuk menghasilkan adegan tersebut, termasuklah menjalankan proses penggambarannya. Hasilnya walaupun mengecewakan, mendapat lampu hijau dari penerbit kerana masa sudah tidak lagi mengizinkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)