Salah satu perkara yang kerap kali kita perdebatkan adalah definisi pedofil yang sering kita sebut - kepada mana-mana individu dalam sejarah yang mengahwini gadis-gadis bawah umur.
Banyak pihak terlupa untuk membincangkan isu-isu kahwin bawah umur ini, kita turut perlu melihat sejarah, konteks serta adat masyarakat tersebut sebelum sewenang-wenangnya melemparkan label pedofil membabi buta. Ini kerana dalam catatan sejarah baik bangsa Eropah atau kaum-kaum di Asia, perkahwinan melibatkan individu bawah umur merupakan satu perkara biasa - satu masa dulu.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahukah anda kisah-kisah melibatkan beberapa orang gadis yang dikahwinkan pada usia sangat muda melibatkan bangsa Eropah yang tercatat dalam sejarah? Berikut adalah lima tokoh wanita Eropah yang diakui melalui proses perkahwinan pada usia muda berdasarkan pada pandangan kita, tetapi tidak pada masyarakat Eropah ketika itu.
Theodora of Komnene
Salah seorang wanita yang pernah diangkat sebagai permaisuri kepada Jerusalem di bawah pemerintahan Empayar Byzantine, Theodora of Comnena merupakan anak buah kepada Maharaja Manuel I yang memerintah Empayar Rom pada abad ke 12.
Selepas Baldwin ke 3 berjaya mengambil alih bandar Jerusalem semasa era Perang Salib, pihak kerajaan beliau berpendapat adalah sangat menguntungkan bagi mereka menjalinkan hubungan dengan Empayar Byzantine ketika itu, yang turut sama menghadapi ancaman kerajaan Syria di bawah pemerintahan Sultan Nur al-Din.
Bagi mewujudkan hubungan ini, satu perkahwinan di antara Baldwin ke 3 dengan calon yang layak daripada empayar tersebut dicadangkan. Rombongan 5 orang diketuai oleh Archbishop Attard berkunjung ke Constantinople bagi mencari calon yang sesuai, jadi Theodora dipilih berdasarkan pada kedudukannya.
Lahir pada tahun 1145, Theodora dikahwinkan dengan Baldwin ke 3 pada tahun 1158 ketika berusia 12 atau 13 tahun. Dikatakan kecantikan Theodora ketika itu, dikagumi ramai. Bagaimanapun Baldwin meninggal dunia pada tahun 1162, menjadikan Theodora seorang balu pada usia 17 tahun tanpa mempunyai zuriat.
Isabella of Valois
Puteri Isabella adalah anak kepada Raja Charles ke 6 Perancis. Lahir pada tahun 1389, Isabella tidak bernasib baik lahir semasa negaranya Perancis sedang berperang dengan England. Ekoran penyakit mental yang dihadapi ayahnya, pemerintah Perancis berusaha berunding dengan England, bagi mencari jalan tengah menamatkan sengketa kedua-dua buah negara.
Untuk mencapai matlamat itu, Raja Charles ke 6 bersetuju untuk mengahwinkan anaknya Isabella kepada Raja England ketika itu, Raja Richard ke 2 yang baru kematian isteri. Cadangan pada mulanya menimbulkan kebimbangan pada Raja Charles, kerana Isabella ketika itu baru saja berumur 7 tahun -sementara Richard ke 2 pula sudah berumur 29 tahun.
Richard bagaimanapun mengatakan adalah lebih baik Isabella mula belajar menjadi permaisuri sejak kecil, kerana Richard boleh membentuknya seperti mana yang dia ingini. Richard dan Isabella dikahwinkan dan secara rasminya naik menjadi Permaisuri England pada tahun 1397.
Caterina Sforza
Caterina anak kepada bangsawan Itali bernama Galeazzo Maria Sforza, Datuk Bandar kota Milan.
Malangnya Caterina merupakan anak luar nikah hasil hubungan ayahnya dengan seorang wanita isteri orang. Ayahnya juga merupakan kawan baik kepada suami ibu kandungnya. Oleh kerana itu, hidup Caterina dilindungi bagi menjaga maruah keluarganya serta tabiat buruk ibu dan ayahnya.
Pada tahun 1473 ketika berusia baru 10 tahun, Caterina ditunangkan dengan Girolamo Riario selepas sepupu Caterina yang bernama Costanza menarik diri daripada dikahwinkan terlalu muda. Girolamo mahu mereka berdua terus dikahwinkan, bukan sekadar bertunang-tunangan sementara Costanza pula mahu menunggu umur 14 tahun, untuk secara rasmi menjadi isteri.
Caterina bersetuju dengan permintaan Girolamo tetapi tidak diketahui apa sebabnya, perkahwinan mereka tetap ditangguhkan sehingga umur Caterina mencecah 14 tahun, mencapai umur dewasa - Girolamo pada ketika itu sudah berumur 33 tahun.
Selepas pertunangan dan perkahwinan mereka, sebagai hadiah kepada penyatuan Girolamo dan Caterina, Pope Sixtus ke 4, paderi besar Katolik ketika itu menghadiahkan Girolamo tanah di Imola, menjadikan Girolamo layak bergelar seorang Lord; menggunakan gelaran Lord of Imola.
Margaret Beaufort
Dilahirkan di antara tahun 1441 atau 1443 berdasarkan percanggahan rekod yang ada, Margaret Beaufort merupakan ibu kepada Raja Henry ke 7 yang mengasaskan the House of Tudor, salah sebuah dinasti kerabat Inggeris paling terkenal dalam sejarah England.
Anak kepada Duke John Beaufort, nasib Margaret terumbang-ambing semasa kecil selepas kematian ayahnya. Walaupun menjadi pewaris sah kepada peninggalan ayahnya termasuk tanah, harta dan estet - semua peninggalan ayahnya telah diserahkan kepada Duke William de la Pole oleh Raja England atas dakwaan ayahnya telah mengkhianati raja.
Ketika berusia 1, 3 atau 7 tahun (tidak diketahui rekod sebenar) Margaret telah dikahwinkan dengan anak kepada Duke William de la Pole, John de le Pole. Perkahwinan itu kemudiannya diisytiharkan tidak sah oleh pihak pemerintah. Pada usia 12 tahun, Margaret dikahwinkan pula dengan abang tirinya Edmund Tudor yang ketika itu berusia 24 tahun.
Selepas Edmund ditangkap dan meninggal semasa tahanan, Margaret yang ketika itu baru berusia 13 tahun terpaksa menjaga anak dalam kandungannya sendirian. Margaret selamat melahirkan anak itu yang diberikan nama Henry dan bayi itu membesar menjadi Raja Henry ke 7 England, memerintah England daripada tahun 1485 hingga 1509.
Joan of Valois
Salah seorang tokoh yang diangkat oleh pengikut ajaran Katolik sebagai seorang berstatus 'saint', Joan of Valois lahir pada 23 April 1464 - anak kedua kepada Raja Louis ke 11 di Perancis. Tidak lama selepas dilahirkan, Joan dan sepupunya, Louis yang ketika itu baru berusia 2 tahun dan waris kepada Duke of Orleans; ditunangkan.
Joan membesar dengan beberapa kecacatan akibat sakit semasa kecil. Ini menyebabkan tulang belakangnya membengkok dan dia berjalan dalam keadaan tempang. Perjanjian pertunangan yang sudah dipersetujui sejak mereka kecil memaksa mereka dikahwinkan dan Louis yang malu dengan keadaan Joan, tidak dapat menerima isteri beliau dengan sepenuh hati.
Selepas Louis naik menjadi raja Perancis pada tahun 1498 dengan gelaran Raja Louis ke 12, Raja Louis memohon kebenaran pihak gereja bagi membenarkan perkahwinan mereka berdua dibatalkan.
Raja Louis menghujahkan ketika perkahwinan mereka diatur, dia masih berada di bawah umur minima perkahwinan (14 tahun bagi lelaki).Beliau turut sama menyalahkan bentuk tubuh Joan yang kurang sempurna sebagai penyebab dia tidak teringin tidur dengan isterinya walau sekalipun.
Walaupun hujah yang diberikan tak masuk akal dan mereka sudah pun berkahwin selama lebih 22 tahun, perkahwinan mereka berdua dibenarkan untuk dibatalkan pada 15 Disember 1498.
Joan turun daripada takhta sebagai Permaisuri Perancis yang baru dipegangnya beberapa bulan dan memfokuskan hidupnya pada ajaran Kristian, membuka aliran gereja yang masih wujud sehingga kini.