Artis-artis terkenal di dunia memang tidak dapat dinafikan cukup handal dalam bidang nyanyian, namun bukan semuanya mampu menulis lirik atau lagu dengan baik. Kebiasaannya, artis-artis ini akan 'membeli' lagu daripada penulis ataupun diberikan peluang untuk bekerjasama dengan beberapa orang penulis, dalam membentuk sesebuah karya.
Sekiranya sesebuah lagu meletup dan dianggap sebagai sebuah lagu 'hits' jarang sekali kita dapat mendengar tentang siapa individu sebenar di belakang lagu tersebut, sehingga kita menyangkakan artis itulah yang menulis sendiri karya-karya klasik mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Dakwaan ini tidak semestinya benar kerana sudah menjadi kebiasaan industri muzik barat menggunakan khidmat penulis yang kurang kita ambil perhatian. Tahukah anda siapa individu sebenar di belakang lagu-lagu hits bertaraf klasik atau lagu hits masakini yang kerap anda dengari setiap hari?
1. Richard Marx
Artis veteran yang terkenal dengan lagu-lagu sentimental, Richard Marx masih lagi kekal aktif dalam industri muzik sehingga kini. Kariernya mencapai kemuncak pada tahun 90-an dan menjadi runut bunyi kepada ramai remaja generasi tersebut namun popularitinya menurun, seiring dengan perubahan zaman.
Walaupun begitu, karier di belakang tabir Richard sebenarnya jauh lebih menyerlah berbanding kariernya sebagai penyanyi. Mula terkenal sebagai penulis untuk penyanyi legenda Kenny Rogers semasa Richard baru berumur 19 tahun, karier penulisan lagu beliau berterusan sehingga ke hari ini dengan artis terkenal seperti Michael Bolton, Josh Groban, Keith Urban, Lifehouse, Daughtry dan ramai lagi. Lagu beliau yang kekal klasik sehingga kini adalah lagu kumpulan NSYNC yang berjudul 'This I Promise You.'
2. Dan Wilson
Nama beliau mungkin tidak lagi segah dahulu semasa lagu 'Closing Time' bersama kumpulannya Semisonic menjadi nyanyian ramai individu. Bagaimanapun, kerjaya Dan sebagai seorang penulis lagu terus berkembang dengan kerjasama beliau dengan beberapa orang artis terkenal di dunia, membantu beliau menempatkan diri sebagai antara penulis terbaik dunia.
Dan adalah penulis kepada tujuh buah lagu album kumpulan Dixie Chicks yang memenangi anygerah album terbaik Grammy tahun 2007, beberapa buah lagu dendangan Taylor Swift dalam alum Red yang terbit pada tahun 2012, bekerjasama dengan kumpulan rock Weezer dalam penghasilan album terbaru mereka. Karya terulung Dan setakat ini adalah lagu popular penyanyi Adele "Someone Like You" yang mempopularkan penyanyi tersebut ke seluruh dunia.
3. Amanda Ghost
Amanda Louisa Gosein-Cameron atau Amanda Ghost merupakan seorang artis yang mencuba bakatnya pada awal tahun 2000. Diakui mempunyai bakat yang sukar ditemui serta diramal mampu pergi jauh, jualan album beliau gagal dan kariernya sebagai artis tergantung. Nasib Amanda berubah selepas lagu yang beliau tulis dan dinyanyikan oleh James Blunt 'You're Beautiful' meletup di seluruh dunia.
Selepas namanya meningkat naik, Amanda mula mendapat tawaran untuk menulis bagi terlalu ramai artis terkenal dunia. Beliau diberikan tanggungjawab menulis untuk Beyonce, kumpulan Prodigy serta lagu hits nyanyian Shakira.
4.Max Martin
Berkemungkinan besar anda tidak pernah mendengar siapa Max Martin atau nama sebenarnya, Martin Karl Sandberg. Max adalah penulis sebenar kepada senarai panjang lagu-lagu popular di dunia. Setakat ini, dia adalah pemegang rekod lagu-lagu hits yang mencapai tempat pertama dalam carta Billboard.
Menulis lagu untuk ramai artis popular dari dahulu hingga sekarang, jualan lagu ciptaan Max berbentuk 'singles' sahaja dianggarkan mencecah 135 juta unit. Jika nak disebutkan contoh lagu tulisan Max, terlalu panjang jadi kami cuba sebutkan beberapa contoh; 'Roar' oleh Katy Perry, 'Shake It Off' oleh Taylor Swift, 'It's Gonna Be Me' oleh NSYNC dan juga lagu yang mempopularkan Britney Spears, 'Baby One More Time.'
Tahukah anda lagu itu sebenarnya ditulis untuk kumpulan Backstreet Boys namun kumpulan itu menolak lagu tersebut? Memang rezeki Britney Spears lah lagu tu ditawarkan pada dia.
5. Diane Warren
Diane Warren merupakan ratu kepada lagu popular yang dijadikan runut bunyi filem sepanjang kariernya. Pencapaiannya di atas kertas tidaklah setanding dengan pencapaian Max Martin, namun lagu yang dihasilkan oleh Diane adalah lagu-lagu yang besar kemungkinan pernah menghiasi memori anda.
Beliau menulis lagu 'How Do I Live' yang dipopularkan menerusi filem lakonan NIcholas Cage iaitu Con Air, lagu popular Celine Dion 'Because You Love Me'' serta lagu klasik 'I Don't Want to Miss a Thing' dendangan kumpulan Aerosmith, yang kerap dijadikan lagu pemuda mengayat gadis satu masa dulu.
Menjadikan penciptaan karya yang memang sesuai untuk digunakan dalam runut bunyi sebagai fokus kerjaya, Diane sudah banyak kali dicalonkan untuk anugerah Grammy, namun hanya berjaya memenanginya sekali melalui lagu 'Nothing's Gonna Stop Us Now'. Lagu tersebut yang menjadi runut bunyi kepada filem klasik Mannequin memberikan Diane anugerah Grammy tunggal dalam kategori lagu terbaik yang dihasilkan khas untuk filem atau televisyen, pada tahun 1988.