Terdapat segelintir orang yang mengalami masalah sukar untuk mendapatkan zuriat walaupun telah mencuba bertahun-tahun lamanya. Masalah ketidaksuburan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di dunia dan ia tidak mengira kaum, pangkat atau kerjaya.

Namun, ada juga yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat atas pelbagai alasan peribadi. Disebabkan masalah dan pilihan ini, dunia kini menyaksikan penurunan kadar kelahiran yang ketara berbanding generasi sebelum ini terutamanya di negara-negara maju.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Masalah penurunan kadar kelahiran semakin meningkat di negara-negara maju seperti di Eropah. Wanita di Eropah perlu mempunyai kadar kelahiran 2.1 anak untuk mengekalkan populasi penduduknya. Kini, purata kadar kelahiran di sana hanyalah 1.58 anak sahaja.

Masalah ini bukan sahaja berlaku di kalangan rakyat biasa tetapi juga di kalangan pemimpin-pemimpin dunia. Sebagai contoh, lebih daripada separuh pemimpin-pemimpin negara perindustrian G7 (Group of Seven) tidak mempunyai anak kandung.

Mereka sering menjadi keluarga contoh bagi rakyat di negara masing-masing tetapi tidak mempunyai zuriat disebabkan masalah atau pilihan sendiri. Berikut adalah beberapa pemimpin negara maju yang tidak mempunyai zuriat. 

1. Theresa May - Bekas Perdana Menteri U.K.

theresa may

Theresa May adalah ahli politik British yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri United Kingdom dari 13 Julai 2016 sehingga 24 Julai 2019. Theresa berkahwin dengan suaminya, Philip May, pada tahun 1980 tetapi masih belum mempunyai cahaya mata. Dia pernah beberapa kali membincangkan perkara ini kepada umum.

Dalam salah satu wawancara radio "Leading Britain’s Conversation", Theresa ditanya apakah kesan baginya kerana tidak mempunyai anak. Theresa menyatakan bahawa ia adalah perkara yang menyedihkan. Dia dan suaminya telah berusaha untuk mendapatkan anak dengan pelbagai cara tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. 

theresa may dan suami

Jawapan itu menerangkan statusnya sebagai seorang wanita tanpa anak adalah disebabkan keadaan, bukannya pilihan. Ini kerana, institusi keluarga seseorang pemimpin itu sering menjadi perbualan dan perhatian rakyat. (sumber)

2. Shinzo Abe - Perdana Menteri Jepun

shinzo abe

Shinzo Abe adalah Perdana Menteri Jepun sejak dari tahun 2012 sehingga sekarang. Sebelum ini, dia pernah menjadi Perdana Menteri Jepun buat pertama kali pada 2006-2007. Dia merupakan perdana menteri kedua paling lama memegang jawatan dalam sejarah negara itu.

Abe berkahwin dengan isterinya, Akie Abe, atau nama sebenarnya Akie Matsuzaki pada tahun 1987 tetapi tidak dikurniakan cahaya mata. Seperti Theresa May, Akie Abe juga mendedahkan bahawa dia dan suaminya bergelut untuk mendapatkan anak sebelum ini.

shinzo abe bersama isteri

Ia agak sukar bagi Shinzo Abe yang berusaha untuk meningkatkan kadar kelahiran di Jepun. Jepun mengalami masalah kekurang populasi sejak kebelakangan ini. Populasi penduduk di Jepun hari ini sebanyak 126 juta orang tetapi menurun sebanyak 250,000 setiap tahun. Jika berterusan, jumlah penduduk Jepun akan kurang daripada 100 juta menjelang tahun 2053. (sumber)

3. Paolo Gentiloni - Bekas Perdana Menteri Itali

paolo gentiloni

Paolo Gentiloni Silveri adalah ahli politik Itali yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri ke-57 negara itu dari tahun 2016 sehingga 2018. Beliau berkahwin dengan isterinya, Emanuela Mauro, pada 1989 dan tidak mempunyai zuriat. 

Gentiloni adalah salah seorang daripada pemimpin Eropah yang tidak mempunyai anak kandung. Mujurlah, penggantinya iaitu Giuseppe Conte yang mula bertugas sebagai Perdana Menteri Itali pada 1 Jun 2018 mempunyai seorang anak hasil daripada perkahwinan terdahulu.

4. Angela Merkel - Canselor Jerman

angela merkel bersama suami

Walaupun Jerman mempunyai Presiden tetapi Canselor lebih berpengaruh dan berkuasa dalam hal ehwal negara. Jawatan itu kini disandang oleh Angela Merkel sejak tahun 2005. 

Merkel tidak pernah mempunyai zuriat sendiri tetapi mempunyai dua orang anak tiri, hasil perkahwinannya dengan Joachim Sauer pada tahun 1998. Suami adalah seorang ahli kimia dan profesor fizik di Humboldt University di Berlin.

Suami kedua Merkel meminta agar kedua-dua orang anaknya itu tidak menjadi perhatian umum dan jauh dari publisiti. Angela Merkel dijangka akan menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2021 dan tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan selepas itu. (sumber)

5. Emmanuel Macron - Presiden Perancis

emmanuel macron

Emmanuel Jean-Michel Frédéric Macron adalah ahli politik Perancis yang berkhidmat sebagai Presiden negara itu sejak 14 Mei 2017. Dia merupakan individu termuda menjadi Presiden Perancis dalam sejarah ketika berusia 39 tahun.

Macron hanya mempunyai tiga orang anak tiri hasil perkahwinannya dengan bekas gurunya sendiri, Brigitte Marie-Claude Trogneux pada tahun 2007. Brigitte yang berusia 40 tahun ketika itu bertemu dengan Macron yang berusia 15 tahun apabila mengajar di Sekolah Tinggi La Providence di Amiens. Anak kedua Brigitte iaitu Laurence merupakan rakan sekelas Macron di sekolah yang sama. (sumber)

6. Mark Rutte - Perdana Menteri Belanda

mark rutte

Mark Rutte adalah ahli politik yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Belanda sejak tahun 2010. Mark Rutte tidak mempunyai cahaya mata kerana dia masih belum berkahwin.

Apabila ditanya mengenai kehidupan peribadinya, Rutte mendakwa dirinya adalah lelaki 'straight' dan gembira menjadi bujang tetapi sebenarnya dia tiada masa untuk perhubungan romantik. Tambah Rutte lagi, suatu hari nanti mungkin dia akan mempunyai isteri dan anak. (sumber)

7. Stefan Löfven - Perdana Menteri Sweden

stefen lofven dan isteri

Kjell Stefan Löfven adalah Pemimpin Parti Demokratik Sosial dan berkhidmat sebagai Perdana Menteri Sweden sejak tahun 2014. Seperti rakan pemimpin Eropah yang lain, Löfven tidak mempunyai anak kandung.

Namun, Löfven mempunyai dua orang anak tiri hasil perkahwinannya dengan Ulla Margareta Löfvén pada tahun 2003.

8. Nicola Sturgeon - Menteri Pertama Scotland

nicola sturgeon bersama suami

Nicola Ferguson Sturgeon adalah ketua Parti Kebangsaan Scotland yang berkhidmat sebagai Menteri Pertama Scotland yang kelima. Beliau adalah wanita pertama yang memegang kedua-dua jawatan itu.

Sturgeon berkahwin dengan Peter Murrel pada tahun 2010 tetapi belum mempunyai cahaya mata. Dia dan suami telah berusaha untuk mendapatkan anak tetapi malangnya dia keguguran pada tahun 2011 ketika menjadi timbalan Menteri Pertama. (sumber)

Sebenarnya, ramai lagi pemimpin dunia yang tidak mempunyai anak. Beberapa lagi pemimpin lain seperti Xavier Bettel (PM Luxembourg), Dalia Grybauskaitė (bekas Presiden Lithuania) dan Klaus Iohannis (Presiden Romania) juga tidak mempunyai anak.

Perhubungan sejenis juga menyumbang kepada masalah ini seperti Leo Varadkar (Taoiseach/PM Ireland). Hal ini menjadi kebimbangan tentang masa hadapan sesebuah negara itu sendiri apabila masalah penurunan populasi semakin meningkat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)