Pernah tengok filem Up terbitan Disney?
Dalam kisah tersebut, watak utama, pemilik rumah asal dipaksa berpindah daripada rumahnya yang menyimpan pelbagai memori dia bersama isterinya. Namun dia berkeras untuk terus tinggal di situ, sehingga memaksa pemaju pembangunan terpaksa mencari jalan lain bagi memajukan kawasan tersebut.
Adakah perkara seperti itu benar-benar berlaku? Memang benar. Banyak kejadian sama berlaku di seluruh dunia yang mengakibatkan pelbagai situasi kelakar wujud. Berikut adalah 5 kes pembinaan yang terpaksa diteruskan kerana pemilik asal enggan berpindah.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Rumah kecil di Ballard, Seattle
Sebuah kompleks membeli belah terpaksa didirikan dengan sebuah rumah terletak di dalam kompaun kawasan kompleks tersebut. Rumah tersebut terletak dalam satu ruangan kecil di antara celah kompleks tersebut dan ada pihak yang mengatakan, rumah inilah yang menjadi inspirasi kepada kisah 'Up.' Didiami oleh seorang wanita bernama Edith Macefield yang enggan berpindah kerana dia merasakan kawasannya sudah hilang identitinya. Selama 3 tahun Edith hidup dalam keadaan sedemikian sebelum meninggal pada usia 87 tahun.
2. Rumah 5 tingkat di tengah jalan di China
Di China, sebenarnya sudah banyak kejadian sebegini berlaku. Untuk senarai ini, ini yang pertama. Luo Baogen dan isterinya, yang mendiami kediaman itu merasakan pampasan yang diberikan kerajaan China tidak memadai walaupun jiran-jiran mereka di tingkat-tingkat lain sudahpun berpindah. Namun ketegasan mereka mula luntur selepas jalan tersebut dibuka secara rasmi dan nilai pampasannya dinaikkan.
3. Ladang di tengah Lapangan Terbang Narita
Di Jepun, Lapangan Terbang Narita yang dirancang sejak tahun 1966 tidak dapat disiapkan kerana ketegasan dua pemilik rumah, sebuah kilang, sebuah tokong dan ladang yang dari awalnya berada di sana, daripada berpindah. Sejak dari awal perancangan lagi aktivis sudah mula menolak pelan lapangan terbang tersebut kerana dilakukan tanpa perbincangan penduduk asal. Pada Julai 2005, kerajaan Jepun mengumumkan yang perbincangan dengan pemilik asal tanah tersebut tidak akan diteruskan kerana tidak mendapat kerjasama mereka.
4. Pemilik rumah di lokasi strategik Washington yang degil
Austin Spriggs memiliki sebuah lot tanah di Washington yang mahu dibangunkan menjadi kawasan kondominium dan pejabat. Pemaju menawarkan jutaan dollar pada Spriggs untuk tanahnya namun semua tawaran ditolak sehinggalah pembangunan terpaksa diteruskan. Lama kelamaan selepas pejabatnya tidak lagi mampu digunakan, Spriggs cuba menjual tanahnya itu kepada pembeli. Dia berjaya menjualnya pada harga USD750 ribu pada 2011. Kerugian yang beliau tanggung boleh dikatakan berjuta juga nilainya.
5. Pasangan China yang hidup tanpa elektrik dan air
Niu Chuangen dan Zhang Zhongyun merupakan pasangan suami isteri yang hidup di daedah Shandong di China. Tanah mereka telah pun ditawarkan untuk pengambilan oleh pemaju perumahan namun Niu dan Zhang berkeras tidak mahu menerima pampasan yang bernilai kurang dari separuh harga sebenar tanah tersebut.
Oleh kerana itu, pemaju menghantar samseng bagi mengugut mereka keluar, menghantar jentolak untuk merobohkan rumah mereka dan juga memotong bekalan air dan elektrik ke rumah mereka pada tahun 2009. Tidak dapat dipastikan apa nasib mereka sekarang. Setakat yang kami tahu, pada 2012, mereka masih belum berpindah keluar.