Bakat semulajadi seseorang dalam seni, ada masanya tidak terhad kepada satu atau dua bidang semata-mata. 

Bagi sesetengah individu berbakat dalam bidang muzik, menyertai gerakan muzik bawah tanah atau underground merupakan antara pilihan yang ada, menjadi tapak pelancaran kepada karier lebih besar dalam bidang seni atau lain-lain bidang. 

Untuk lima individu di bawah - karier mereka telah berkembang sehingga terkenal dalam arus perdana, tetapi realitinya kelima-limanya bermula dari akar umbi mereka sebagai pemuzik underground yang sering dipandang hina arus perdana industri hiburan negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Rashidi Ishak (Dead Mushroom)

dead mushroom

Rashidi (kiri sekali, semasa sudah berusia)

Rashidi Ishak merupakan salah satu nama yang cukup digilai gadis tempatan, ekoran karier beliau sebagai peragawan kepada jenama terkenal Levi's.

Dalam masa sama, Rashidi juga bergerak bersama kugiran Dead Mushroom yang cukup terkenal dalam sirkit bawah tanah - ekoran aksi lincah mereka di atas pentas. Dead Mushroom cukup popular dengan lagu utama mereka 'Read My Mind' yang menjadi antara lagu klasik, masih segar diputarkan sehingga sekarang.

Selepas mula berjinak-jinak dengan industri filem dan drama, Rashidi Ishak akhirnya memilih untuk memfokuskan karier dalam bidang lakonan. Dia pernah dicalonkan dalam kategori pelakon terbaik Festival Filem Malaysia 2001 menerusi filem 'Mimpi Moon' yang terus menjadi trademark beliau sebagai pelakon. 

Dead Mushroom tidak pernah dibubarkan sejak dibentuk, masih aktif bermain muzik walaupun kini lebih kerap dirujuk sebagai 'uncle' oleh peminat-peminat mereka.

2. Myo (pelbagai)

myo pemuzik

Myo (kiri, tersenyum lebar)

Bagi peminat muzik, anda sudah pasti mengenali Myo yang menjadi anggota utama dua kugiran muzik di negara kita iaitu Oh Chentaku yang pernah meletup satu dekad dahulu, serta sebuah kumpulan berkonsepkan duo bernama Jemson yang selamat melancarkan album pada 2021 selepas mendapat geran sokongan kerajaan membantu karyawan berhadapan pandemik.

Namun lebih ramai mengenali Myo atau Mior Luqman Hakim sebagai seorang pengacara televisyen menerusi rancangan-rancangan travelogue beliau iaitu 'Ke Korea Ke Kita' dan 'Ke Indonesia Ke Kita', serta sebuah filem tempatan.

Menubuhkan kumpulan Oh Chentaku sejak tahun 2007 dan masih aktif bermain muzik, Myo cukup terkenal dengan mulut yang petah bercakap serta suka memaparkan mimik muka lucu. Lihat sajalah video klip yang kami kongsikan di atas.

Lagunya balada sedih, tapi lirik dan videonya akan membuatkan anda ketawa terbahak-bahak.

3. Qi Razali (OAG)

qi razali destinasi bajet

Qi Razali (kanan)

Siapa yang tak pernah tengok Qi Razali mungkin bukan seorang kaki TV. Mula berjinak dengan dunia seni lakonan dan pengacaraan dalam siri 'Destinasi Bajet' sebelum lakonannya dalam siri 'Blogger Boy' memacu namanya, Qi sebelum itu sudah terkenal sebagai pemain dram bersama kumpulan indie legenda OAG.

Mula bermain muzik yang bersifat alternatif, menggabungkan elemen-elemen dekad 70-an, Qi dan OAG mencipta fenomena menerusi album pertama mereka pada tahun 1994.

Selepas itu OAG terus kekal menjadi antara kugiran indie paling berpengaruh serta menjadi rujukan kepada, mengekalkan hanya dua anggota asalnya iaitu Radhi dan Qi sendiri sehingga kini.

Qi Razali kini bergerak aktif menerusi rumah produksi Blublack yang diasaskan oleh abangnya, Sha'arin Razali Wong yang satu ketika dulu juga terkenal sebagai pemain dram dalam kumpulan blues rock Blackrose.

4. Yasmin Matthews

maddthelin yasmin matthews

Yasmin (berhijab sambil berdiri sebelah kaki)

Satu-satunya wanita dalam senarai, Yasmin Matthews Mohd Redwan atau pada era undergroundnya lebih terkenal dengan dengan Yasmin Maddthelin merupakan vokalis utama bagi kumpulan post-hardcore tempatan Maddthelin. 

Pada penampilan awal bersama kumpulan tersebut, Yasmin tampak selesa tidak mengenakan hijab sebelum dia kekal aktif mengenakan hijab sambil menyanyikan lagu-lagu bingit.

Perjalanan karier Yasmin mula berubah selepas perwatakannya yang menarik membuka peluang untuk dia mula menjadi pengacara, dengan rancangan 'Hijabista' terbitan Astro.

Perubahan ini mungkin memberikan peluang berbeza kepada Yasmin, yang akhirnya memilih untuk menamatkan penglibatan beliau bersama kugiran bawah tanah itu pada tahun 2014.

Hubungan beliau dengan dunia muzik bawah tanah bagaimanapu tidak berakhir, selepas dia menerima lamaran suaminya yang juga seorang penggiat muzik dalam genre sama; membuktikan muzik keras tidak menghalang seseorang ada rasa ingin dicintai. 

5. Josiah Hogan

josiah hogan maddame

Josiah (tengah, betul-betul bawah lampu)

Pertama kali penulis diperkenalkan dengan muzik grunge dendangan kumpulan Maddame, memang penulis sukar nak terima. Sebagai pentaksub Kurt Cobain, grunge yang dibawakan kumpulan itu agak perlahan serta kurang pop-nya. 

Selepas itu nama Josiah Hogan mula terkenal sebagai pelakon dalam siri drama tempatan, apatah lagi apabila ramai anak gadis mula berbicara berkenaan wajah Josiah Hogan yang agak jantan. 

Bila penulis tertonton (ya, tertonton) episod kedua drama 'Mimpi Sabrina' di kaca TV dan seorang pemuda mat salleh muncul di kaca TV, barulah penulis menyedari individu yang sedang berlakon dalam drama Melayu itu adalah penyanyi utama kumpulan grunge Maddame. 

Bergerak sebagai penyanyi dan pemain gitar utama kumpulan tersebut, Josiah dan Maddame telah pun melancarkan tiga album sejak tahun 2010, kekal aktif menerbitkan lagu secara kendiri.




Hakcipta iluminasi.com (2017)