Kes tuntutan atau saman telah lama wujud di dunia dan ia merupakan sesuatu yang amat rumit. Sebelum dibuktikan siapa yang benar dan salah, kedua-dua pihak akan menjalani proses yang kadang-kadang mengambil masa yang lama dan tak masuk akal.
Apa yang lebih mengarut, terdapat kes di mana individu menyaman dirinya sendiri, di atas kesalahan yang dilakukan dirinya. Masalah yang jelas dalam kes seperti ini adalah plaintif (penuntut) juga merupakan defendan (pesalah).
BESARKAN TEKS A- A+
Malah, bergantung kepada keadaan, mereka juga adalah satu-satunya saksi kes. iluminasi.com ingin kongsikan 5 kes di mana individu menyaman dirinya sendiri.
5. Kes mahkamah Curtis Gokey
Pada tahun 2006, Curtis Gokey menuntut majlis perbandaran Lodi, California supaya membayar RM14,500 selepas sebuah trak milik bandar itu melanggar keretanya.
Tuntutan itu adalah tidak pelik, namun apa yang pelik adalah Curtis merupakan pemandu trak ketika kemalangan itu berlaku. Ini bermakna, dia menyaman dirinya sendiri disebabkan oleh kemalangan yang dia lakukan.
Majlis perbandaran Lodi menolak tuntutan ini kerana jelas dia tidak boleh menyaman dirinya sendiri.
Kes ini tidak terhenti di situ apabila isteri Curtis, Rhonda meneruskan tuntutan dengan menyaman bandar itu yang bermaksud menyaman suaminya, sebanyak RM19,350, lebih banyak daripada tuntutan awal oleh suaminya.
Peguam bandar Lodi, Steve Schwabauer menyatakan bahawa tuntuan ini juga adalah mustahil. Di bawah undang-undang California, suami dan isteri dianggap sebagai satu entiti.
Walaupun isteri boleh menuntut dalam beberapa perkara seperti perceraian, namun dia tidak boleh menyaman perkara disebabkan oleh kecuaian, yang mana berlaku dalam kes ini.
Rhonda mendakwa dia mempunyai hak untuk menyaman kerana trak bandar Lodi melanggar keretanya. Menurut pandangannya, sesiapa yang memandu itu adalah tidak relevan dalam kes ini.
Kes dimenangi bandar Lodi.
4. Kes mahkamah Robert Lee Brock
Pada tahun 1995, Robert Lee Brock yang sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Indian Creek di Chesapeake, Virginia, telah menyaman dirinya sendiri sebanyak RM20 juta.
Walaubagaimanapun, Robert menuntut agar saman itu dibayar oleh pihak kerajaan kerana dia tidak mempunyai wang untuk membayar kepada dirinya.
Menurut saman itu, Robert meminum minuman keras pada 1 Julai 1993, yang bercanggah dengan kepercayaan agamanya. Selain itu, ia menyebabkan dia melakukan jenayah yang mana menjadi penyebab penahanannya.
Ketika tuntutan saman ini difailkan, Robert sedang menjalani hukuman penjara 23 tahun atas kesalahan memecah masuk dan merompak. Hakim Rebecca Beach Smith menolak kes ini.
Walaupun hakim Rebecca bersetuju bahawa Brock bertindak inovatif untuk mendapatkan keadilan terhadap dirinya, namun ia adalah tidak masuk akal.
3. Kes mahkamah Oreste Lodi
Pada tahun 1984, Oreste Lodi mengheret dirinya ke mahkamah California disebabkan oleh ladang yang dimilikinya.
Menurut Oreste, dia telah berusaha untuk mendapatkan kembali harta pusaka yang dimilikinya dan memberikan kepada dirinya untuk diuruskan, namun dia enggan membebaskannya kepada dirinya sendiri.
Mahkamah menolak kes tersebut, membuatkan Oreste memfailkan dua rayuan terhadap tuntutan itu.
Satu rayuan menyokong dirinya kerana mahu mendapatkan kembali harta pusaka daripada dirinya, manakala satu lagi menentang dirinya kerana tidak melepaskan hartanya sendiri.
Namun, mahkamah menolak rayuan-rayuan tersebut kerana penuntut dan pesalah perlulah orang yang berlainan. Dan dalam kes ini, Oreste akan memenanginya walau apa keputusan yang akan ditentukan oleh mahkamah.
Mahkamah mengkategorikan rayuan ini sebagai remeh dan pada mulanya mempertimbangkan sama ada Oreste perlu membayar kerana memfailkan rayuan remeh.
Mahkamah kemudian memutuskan bahawa kedua-dua Oreste, iaitu penuntut dan pesalah, agar membayar untuk kedua-dua rayuan. Ini bermakna Oreste perlu membayar sebanyak 2 kali.
Tidak jelas mengapa Oreste mahu menyaman dirinya sendiri, namun ia disyaki ada kaitan dengan cukai. Ketika menyaman dirinya sendiri, Oreste menghantar satu salinan litigasi kepada Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri.
2. Kes mahkamah Larry Rutman
Pada 5 Ogos 1996, South China Morning Post telah melaporkan bahawa Larry Rutman dari Owensboro, Kentucky, telah menyaman dirinya sebanyak RM1.2 juta, dan memenangi kes tersebut.
Walaubagaimanapun, Larry tidak membayar satu sen pun kepada dirinya. Bayaran tersebut diselesaikan oleh syarikat insuransnya.
Menurut laporan itu, Larry yang sedang bermain membaling boomerang nya dan ia kemudian mengenai kepalanya. Kemalangan itu dikatakan telah mengubah ingatan dan meningkatkan nafsunya.
Pada mulanya, Larry ingin menyaman syarikat pembuat boomerang atas kemalangan itu, tetapi peguamnya memberitahu agar menyaman dirinya sendiri.
Menurut penghakiman, Larry perlu membayar pampasan tersebut kepada dirinya kerana menyebabkan "kerosakan tubuh badan melalui kecuaian dan kelalaian", ke atas dirinya.
Namun, terdapat dakwaan bahawa kes ini tidak pernah berlaku.
1. Kes mahkamah Barbara Bagley
Pada tahun 2015, seorang wanita berusia 55 tahun, Barbara Bagley telah menyaman dirinya sendiri atas kemalangan yang disebabkan olehnya.
Pada hari tersebut, Barbara sedang memandu di padang pasir Nevada dan terlibat dalam kemalangan. Kesan daripada kemalangan itu, penumpang dan suaminya, Bradley Vom Baur, telah terhumban ke dalam semak menyebabkan kecederaan parah.
Suaminya meninggal dunia 10 hari kemudian. Barbara kemudiannya menuntut agar syarikat insurans membayar pampasan bagi bil rawatan dan pengebumian suaminya, namun tuntutannya ditolak.
Syarikat insurans mendakwa bahawa Barbara tidak layak menerima sebarang pampasan kerana dia yang menyebabkan kemalangan itu berlaku. Walaubagaimanapun, mereka bersetuju untuk membayar pampasan untuk kenderaan tersebut.
Mahkamah rayuan di Utah memutuskan bahawa Barbara boleh menyaman dirinya untuk menerima pampasan daripada syarikat insurans tersebut.
Jadi, Barbara (balu dan pewaris Bradley Vom Baur) menyaman Barbara (pemandu) atas kecuaian.
Kerumitan tindakan undang-undang seperti ini adalah Barbara perlu memberikan keterangan terhadap dirinya sendiri untuk membuktikan bahawa dia cuai semasa memandu.
Barbara kemudiannya mengupah seorang peguam untuk mewakili Barbara (balu) manakala Barbara (pemandu) pula diwakili oleh peguam syarikat insurans kerana mereka perlu membayar kos penghakiman jika Barbara (pemandu) kalah dalam kes ini.
Bukan itu sahaja, Barbara juga merupakan pewaris harta suaminya. Barbara (pewaris harta) ini juga menyaman Barbara (pemandu). Jadi, Barbara adalah dua orang plaintif (pihak penuntut) dan juga seorang defendan (tertuduh) dalam tuntutan yang sama.
Dan tuntutan ini berjaya dilakukan. Pada tuntuan pertama, ia telah ditolak kerana ia kelihatan seperti polisi yang teruk jika seseorang itu boleh menyaman diri sendiri kerana membunuh orang.
Namun, mahkamah rayuan mengkaji semula teks undang-undang dan mendapati bahawa tiada apa yang menghalang Barbara untuk menyaman diri sendiri.
Keputusan bagi kes ini masih belum diperoleh.
Rujukan: