Kredit gambar Malaysiakini

Ramai orang selalu berkata - kita manusia semua sama. Taraf kita serupa, kedudukan kita serupa. Darjat kita semua tiada bezanya.

Walaupun demikian, realitinya tidak ramai yang benar-benar berjaya mempraktikkan apa yang disebutkan, sehingga menyebabkan wujud jurang besar dalam kalangan masyarakat kita apabila kita bercerita tentang kerjaya. Kerjaya seseorang dilihat menjadi kayu ukur status seseorang dengan ramai berebut mahu menjadi pemilik kepada kerjaya yang dihormati orang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sementara bagi mereka yang kurang bernasib baik, mereka akan memenuhi jawatan-jawatan di mana mereka perlu melayan orang lain yang akan dengan mudah memandang rendah mereka. Tahukah anda beberapa jenis kerjaya yang selalu dipandang rendah masyarakat kita?

1. Pelayan/tukang kira

cashier mcdonald

Penulis selalu bersimpati dengan mereka yang bekerja di restoran-restoran makanan segera. Ini kerana dapat dilihat dengan mata kasar kita bagaimana sesetengah ahli masyarakat kita, tanpa segan-segan memandang rendah mereka yang sedang bekerja.

Herdikan sekiranya terpaksa beratur panjang, menunggu lama atau tersalah pesanan sudah jadi lumrah golongan pelayan dan tukang kira yang perlu mereka lalui, setiap hari. Masalahnya, mereka dibebankan dengan persepsi seolah-olah setiap kesalahan pesanan yang mereka lakukan melambangkan ketidak cekapan mereka.

Penulis pernah melihat dengan mata sendiri bagaimana seorang pelayan di sebuah restoran makanan segera dimaki pelanggan yang marah, hanya kerana dia perlahan menggunakan mesin kira. Sudah tertera tag nama 'Trainee' dipakainya jadi tak salah pun untuk kita menanam sifat sabar memberikan dia peluang dan masa.

2. Pekerja pembersihan

alam flora pekerja pembersihan

Tidak ramai yang menyedari tanpa golongan ini, yang bertanggungjawab membersihkan kawasan kediaman anda, pasaraya kegemaran anda, sekolah anak anda, pejabat anda dan bermacam lagi tempat yang anda kunjungi - hidup anda mungkin tidak seceria sekarang.

Bagaimanapun persepsi bahawa mereka 'lebih rendah' berbanding orang lain amatlah sukar dikikis. Kenapa ya? Adakah kerana mereka bergelumang dengan kekotoran setiap hari, berpeluh, tidak bekerja dalam pendingin hawa menyebabkan ramai di antara kita merasakan mereka tak sama macam kita?

Kita tahu mengeluh apabila sampah kita tidak dikutip tetapi dalam masa yang sama, kita tak mampu meletakkan mereka yang mengutip sampah kita setaraf kita. Di mana silapnya mentaliti kita?

3. Pengawal keselamatan

pak guard pengawal keselamatan

Salah satu profesion paling senang kena maki, adalah pengawal keselamatan. Malas kerja memanglah salah. Terlalu ikut peraturan semasa kerja pun salah. Penulis pernah duduk dalam komuniti di mana akan adalah kedengaran kes nak bertumbuk di antara pengawal dengan penduduk, apabila pengawal tidak membenarkan kenderaan luar masuk ke kawasan rumah.

Orang kita ni semuanya nak ikut kepala dia saja. Bila apa-apa hal melibatkan dia, dia mahu pengawal keselamatan tolong dia. Bila pengawal keselamatan tidak menyedari berlaku kes kecurian kenderaan misalnya, yang akan dipersalahkan sudah pastilah pasukan keselamatan.

Atas sebab itulah pengawal berasal dari Nepal amat ditagih khidmatnya atas beberapa faktor. Satu, mereka sangat tegas dalam kerja. Tak ada kompromi. Kedua, mereka rata-ratanya bekas askar. Ketiga, mereka tak faham bahasa kita jadi dia lebih selesa nak uruskan kerenah ahli masyarakat kita yang tak faham bahasa.

4. Pemandu lori

pemandu lori kerja hina

Kerja memandu lori memang nampak lekeh. Duduk memandu siang ke malam, malam ke siang setiap hari dengan pakaian ala kadar dari segi luarannya begitulah. Sama seperti pemandu teksi, pemandu lori juga dibeban dengan stigma serupa iaitu 'terdiri daripada golongan malas belajar.'

Realitinya, walaupun anda berkemahiran tinggi macam mana sekalipun dan anda pakar, anda tak boleh buat apa yang pemandu lori tu buat setiap hari. Pada kita, kita rasa kerjaya mereka mudah kerana hanya perlu memandu. Kita pun boleh buat.

Tetapi hanya orang-orang tertentu saja yang mampu berjalan ratusan kilometer setiap hari tanpa berlaku kemalangan, dalam kelajuan yang kadangkala amat perlahan. Lagipun, pendapatan pemandu lori sebenarnya agak tinggi dan tak ramai tahu perkara ini. Tinggi mana pun, percayalah hanya mereka yang mampu dapat melakukan kerja sebegini.

5. Jururawat

jururawat mangsa kutukan masyarakat

Kami tidak tahu kenapa kerjaya sebagai jururawat dipandang lekeh oleh masyarakat kita. Adakah ini kerana mereka dilihat sebagai pembantu doktor? Kumpulan kerjaya yang dianggap rendah dalam bidang perubatan?

Amat kerap sekalilah viral tulisan-tulisan mengkritik jururawat malas. Seolah-olah seronok betul masyarakat kita memuat naik tulisan mengutuk jururawat dengan pelbagai dakwaan dan biasanya berkisar kepada isu 'malas.' Jururawat tak buat itu, jururawat tak buat ini - semuanya dibebankan pada bahu jururawat yang comel itu.

Cuba kita tanyakan pada diri kita sendiri - apa sebenarnya tanggungjawab jururawat? Adakah mereka bertugas di situ untuk memuaskan hati kita atau mereka berada di situ, untuk membantu pesakit bertahan?

Adakah hospital akan jadi lebih baik tanpa kehadiran jururawat? Mungkin ya pada sesetengah golongan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)