Sejarah sesebuah negara amat sukar untuk diperiksa kesahihannya, melainkan rekod serta catatan sejarah direkodkan secara terperinci.
Aktiviti penerbitan jurnal akademik yang merekodkan sejarah negara kita boleh dikatakan agak aktif, dimulakan oleh individu-individu yang mempunyai hubungan dengan penjajah serta dibantu dengan penerbitan artikel dalam surat khabar sebagai rekod rasmi dalam hal ehwal berkaitan sejarah.
BESARKAN TEKS A- A+
Sejak bilakah aktiviti penerbitan jurnal akademik sejarah dimulakan di negara kita? Berikut adalah lima jurnal terawal dan paling tua berkaitan dengan sejarah negara yang kita yang pernah diterbitkan, sebagai usaha ahli akademik merekodkan catatan sejarah negara kita.
1. Sarawak Museum Journal (1911)
Diterbitkan pada edisi pertama tahun 1911, Sarawak Museum Journal berjaya diterbitkan sebanyak 15 isu daripada siri pertama penerbitannya sehinggalah tahun tahun 1937, apabila berlakunya kemasukan tentera Jepun ke kawasan tersebut yang menghentikan operasi mereka.
Penerbitan jurnal ini dimulakan semula pada bulan Mei 1949 dengan edisi nombor 16 dan kekal diterbitkan sehingga kini, menjadikan Sarawak Museum Journal sebagai antara jurnal sejarah paling tua dan paling lama diterbitkan di negara kita. Tujuan penerbitannya pula adalah untuk melaporkan berkenaan kajian sejarah melibatkan negara Asia tetapi lebih banyak memfokuskan pada kajian yang dijalankan di kepulauan Borneo serta negeri Sarawak. (rujukan)
2. Perak Museum Notes (1893)
Perak Museum Notes diterbitkan oleh Muzium Perak yang terletak di Taiping bermula pada tahun 1893. Editor pertama jurnal ini adalah kurator Muzium Perak sendiri ketika itu iaitu Leonard Wray. Penerbitan jurnal ini hentikan bermula tahun 1899 sehinggalah tahun 1904 sebelum 'Journal of the Federated Malay State Museum' diterbitkan sebagai ganti kepada Perak Museum Notes.
Kedatangan Jepun ke Tanah Melayu menghentikan aktiviti penerbitan jurnal ini dan hanya pada tahun 1954, penerbitan ini disambung kembali dengan nama Federation Museum Journal, New Series dimulakan kembali oleh Muzium Negara. Selepas penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, jurnal ini mula menerbitkan artikel-artikel dalam bahasa Melayu, sebelum editor pertama berbangsa Melayu dilantik bagi mengendalikan penerbitan jurnal ini pada tahun 1969.
3. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society (1878)
Sejak awal penerbitannya, fokus tulisan dalam jurnal ini yang diterbitkan di Singapura meliputi pelbagai topik, khasnya falsafah, geografi, geologi, literatur dan etnologi. Hanya bermula pada era 1920-an ketika jurnal ini dijenamakan semula sebagai Journal of the Malayan Branch of the Royal Asiatic Society, barulah penekanan terhadap koleksi tulisan sejarah menjadi fokus penerbitannya.
Seperti biasa, kedatangan Jepun ke Tanah Melayu menghentikan aktiviti penerbitannya sebelum penubuhan Malaysia menukarkan namanya yang masih diguna pakai sehingga kini, iaitu Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. Antara nama terkenal yang menyumbangkan tulisan dalam penerbitan ini adalah Prof. Khoo Kay Kim serta Prof Cheah Boon Kheng. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantara, artikel Bahasa Melayu mula diterima dalam penerbitan ini sejak bulan Julai tahun 2000. (rujukan)
4. Journal of Eastern Asia (1875)
Jurnal sejarah kedua tertua di negara kita adalah Journal of Eastern Asia yang dimulakan oleh seorang pegawai botani kerajaan negeri-negeri selat bernama James Collins. James yang ketika itu memegang jawatan sebagai perpustakawan di Muzium dan Perpustakaan Raffles, Singapura menggunakan wangnya sendiri bagi menampung kos penerbitan.
James bertindak sedemikian kerana merasakan perlu wujud satu usaha bagi merekodkan informasi-informasi penting yang berlaku melibatkan negeri-negeri dalam Tanah Melayu ketika itu. Mesej itulah yang disampaikan dalam edisi pertama terbitannya, yang turut sama mendapat sokongan dana daripada Gabenor negeri selat ketika itu, Andrew Clarke.
Usaha James berjaya menerbitkan satu edisi pada bulan Julai 1875 namun kekangan kewangan menggagalkan usaha menerbitkan edisi berikutnya, yang sepatutnya keluar pada Oktober tahun yang sama. Satu-satunya edisi yang berjaya dikeluarkan meliputi perihal sejarah zaman tersebut, selain daripada subjek botani, geologi, geografi serta cuba melaporkan berkenaan isu-isu saintifik era tersebut.
5. Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia (1847)
Jurnal tertua dan paling awal diterbitkan berkenaan rekod serta catatan sejarah adalah Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia yang terbit pada tahun 1847, atas usaha seorang jurnalis dan peguam bernama James RIchardson Logan. Turut sama dikenali dengan nama 'Logan's Journal', James bertindak secara sendirian menjadi pengumpul tulisan, penerbit, editor serta penulis dalam usaha menerbitkannya.
Sebanyak 13 isu telah berjaya diterbitkan bermula pada tahun 1847 sehinggalah pada tahun 1863, sebelum James meninggal dunia pada tahun 1869. Untuk setiap isu, sebanyak 200 ke 300 naskhah dicetak dan diedarkan, dengan 50 daripadanya disimpan oleh Syarikat India Timur bagi kegunaan pegawai kerajaan di negeri-negeri selat.
Rekod-rekod dalam jurnal ini merupakan antara catatan rasmi bersifat akademik terawal berkenaan sejarah orang Melayu, masyarakat di Sabah dan Sarawak serta banyak membantu menerangkan tentang sistem sosial yang diamalkan masyarakat ketika zaman itu.
Sekiranya anda peminat sejarah, kami syorkan anda dapatkan salinan lengkap jurnal ini kerana catatan yang ada di dalamnya merangkumi bukan sahaja sejarah kita, malahan cuba membincangkan berkenaan mentaliti masyarakat Melayu nenek moyang kita yang membentuk pemikiran kita sekarang. (rujukan)
Rujukan
MALAYSIAN HISTORICAL JOURNALS (1847-1966): A BIBLIOMETRIC STUDY (PDF)