Keindahan kawasan pantai menjadi antara tarikan utama pelancong tempatan dan luar negara, dijadikan destinasi pelancongan popular.

Pergilah ke mana-mana kawasan pantai kita di Malaysia, kita akan menemui pantai yang terbentuk hasil tambakan pasir-pasir halus yang menyimpan bermacam jenis hidupan di dalamnya.

Bagaimanapun, bukan semua pantai sama seperti apa yang biasa dapat kita lihat di sini. Ada beberapa jenis pantai lain yang tidak dibentuk oleh pasir, sebaliknya dibentuk daripada struktur yang berbeza-beza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima jenis pantai yang ada di serata dunia.

1. Pantai berpasir

pantai pasir merah jambu

Pantai jenis berpasir merupakan pantai yang sering divisualkan dalam gambar, khususnya pantai-pantai yang terletak di kawasan tropika seperti kita. Apa yang membezakan pantai-pantai berpasir ini adalah warna pasirnya.

Setiap pantai berpasir yang terbentuk, warna pantainya ditentukan oleh bahan mineral yang membentuk pasir di situ. Malaysia majoritinya mempunyai pantai pasir putih tropika. Kita juga ada satu kawasan unik di Langkawi yang kita gelarkan Pantai Pasir Hitam, di mana pasirnya dipenuhi mineral granit.

Selain putih dan hitam, wujud beberapa jenis pantai dengan warna berbeza seperti pantai pasir merah Kaihalulu di Hawaii serta pantai pasir hijau di Hawaii, Guam, Kepulauan Galapagos dan Norway. Ada juga pantai pasir merah jambu, paling dekat dengan kita di Pantai Tangsi, Kepulauan Lombok.

Dianggarkan 1/3 daripada keseluruhan pantai yang ada adalah pantai berpasir di seluruh dunia.

2. Pantai batu kerikil

pebble shingle beach pantai batu kerikil

Pantai batu kerikil atau pebble beach, juga digelarkan sebagai shingle beach atau rocky beach, adalah pantai yang permukaannya dipenuhi batu-batu kerikil pelbagai variasi saiznya.

Paling banyak ditemui di benua Eropah, serta negara seperti Jepun, New Zealand dan United Kingdom, pantai batu kerikil terbentuk akibat bentuk muka buminya yang agak tinggi di bahagian pesisir serta curam di bahagian pantai, dianggarkan berlaku sekitar 2.58 juta tahun dulu.

Perubahan yang berlaku sepanjang era tersebut mengakibatkan pergerakan glasier yang membawa batu-batu kerikil di dalamnya. Apabila glasier ini bergerak berhampiran dengan kawasan pantai, batu-batu kerikil yang ada akan ditinggalkan.

Mempunyai struktur yang tidak rata, permukaan pantai batu kerikil senantiasa berubah-berubah dan tidak stabil, mengakibatkan tumbuhan sukar untuk hidup pada permukaannya.

Kita nak berbaring atas permukaan pantai pun, nampak tak selesa.

Jika anda nak cuba pantai batu kerikil, yang terhampir dengan kita adalah Pantai Bagolatao, pantai batu kerikil putih yang popular serta unik di wilayah Camarines Sur, Filipina.

3. Pantai kaca

glass beach california pantai kaca

Bunyinya agak menakutkan, kan? Pantai yang dipenuhi kaca!

Pantai kaca adalah kategori pantai bukan semulajadi yang jarang wujud. Setakat ini direkodkan ada dua, satu di California dan dinamakan Glass Beach dan satu lagi di Vladivostok, Russia. Pantai ini dipenuhi kaca, kerana kerja tangan manusia sejak dulu.

Menurut kisah pantai kaca di California, pada awal abad ke 20 penduduk di Fort Bragg, California memilih untuk menjadikan pantai di situ sebagai pusat pembuangan sampah komuniti.

Jadi kebanyakan produk buangan, baik barangan peralatan rumah, sampah dan juga kenderaan yang tidak mahu lagi digunakan akan dihumban ke laut - dengan harapan laut akan membersihkannya. Selama berdekad lamanya tabiat ini diamalkan.

Sehinggalah pada tahun 1967 peraturan tatacara pembuangan sampah diperkenalkan kerajaan California. Usaha membersihkan kawasan pantai mula dijalankan, memakan masa berdekad-dekad. Semua bahan buangan besar dikeluarkan dan mana yang terurai dengan air, mula reput.

Kecuali barangan kaca. Ekoran ambakan barangan kaca seperti botol-botol yang terlalu banyak serta telah dibuai ombak, kaca-kaca yang pecah itu mula memiliki bentuk yang unik dan lebih bujur sisinya. Lama-kelamaan kaca ada akhirnya dibawa air laut singgah ke pantai, membentuk lapisan kaca berwarna-warni yang cantik di situ.

Ada 3 pantai di sini menyaksikan fenomena sama berlaku, mempopularkan Glass Beach sebagai salah satu destinasi pelancongan unik. Harus kami ingatkan, pengunjung yang hadir dilarang membawa pulang kepingan kaca yang ada.

Pantai kaca di Vladivostok, Russia pula teletak di sebuah teluk bernama Teluk Ussuri. Bagaimana pantai kaca ini terhasil? Kisahnya sama dengan apa yang telah berlaku di California. Penduduk buang botol-botol kaca, akhirnya kepingan kaca itu dihanyutkan kembali ke pantai selepas berdekad lamanya.

4. Pantai kulit cangkerang

shark bay shell beach pantai cangkerang

Mengutip cangkerang di pantai memang menyeronokkan, apatah lagi kalau ada umang-umang masih duduk di dalamnya.

Namun bagi satu pantai unik yang terletak di Shark Bay, Australia - keseluruhan kawasan pantai di sana dipenuhi cangkerang-cangkerang yang membentuk keseluruhan permukaan pantai.

Diberikan nama 'Shell Beach' (apa lagi nama yang sesuai kan), kawasan pantai itu diliputi kulit kerang daripada spesis fragum erugatum, yang memberikan pantai itu warna putih kemerah-merahan yang unik.

Kerang itu mampu hidup dan membiak dengan giat disebabkan oleh kesesuaian spesis itu dengan tahap air di sana, serta ketiadaan pemangsa yang menyumbang kepada peningkatan populasi kerang itu secara sangat mendadak.

Permukaan pantai yang dilitupi kulit kerang itu pula cukup dalam, dengan anggaran ketebalan kulit kerang yang ada sudah mencapai di antara 7 ke 10 meter dalamnya. Anda nak baring di atas pantai ini? 

Kami tak mahu.

5. Pantai lumpur

pantai lumpur korea selatan

Pantai berlumpur atau muddy beach, adalah sejenis pantai yang bukan saja sesuai untuk dijadikan kawasan pelancongan jika anda mahu - bahkan sesuai untuk bercucuk tanam.

Struktur pantai sebegini dikenali dengan nama silty sand, mempunyai struktur lumpur atau tanah liat yang kurang poros serta mampu menampung air dalam jumlah yang banyak. Banyak ditemui di kawasan Eropah utara seperti di Belanda dan Jerman, istilah popular yang digunakan bagi menggelarkan pantai sebegini adalah 'mudflats.'

Ekoran daripada tahap kesuburan yang tinggi serta kesesuaiannya menampung banyak jenis hidupan, pantai berlumpur turut menyembunyikan pelbagai jenis hidupan yang unik dan jarang dapat ditemui di pantai jenis lain.




Hakcipta iluminasi.com (2017)