Setiap kali tiba bulan Ramadan, masyarakat Islam di seluruh dunia akan mula menjalankan ibadah puasa; menahan diri dari makan dan minum daripada bermulanya fajar sehinggalah terbenamnya matahari selama satu bulan.

Dalam bulan ini jugalah kita akan mendengar kisah lucu dan menghiburkan tentang bagaimana sesetengah individu cuba ponteng puasa menggunakan pelbagai jenis helah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada yang mengaku dirinya Cina atau India walaupun muka Melayu habis, ada yang sanggup masuk kedai makan ikut pintu belakang dan ada juga yang menggunakan alasan anak demi mendapatkan bekalan makanan untuk mengalas perut. Hanya untuk elak dari puasa punya pasal!

Daripada aspek agama Islam, memang ada kumpulan-kumpulan individu tertentu yang dibenarkan untuk tidak berpuasa. Siapakah golongan ini?

1. Wanita yang datang haid dan nifas

sakit haid wanita puasa hukum

Individu wanita mendapat keistimewaan utama diringankan kewajipan berpuasa kerana wanita akan menjalani dua situasi unik hanya pada mereka; haid iaitu kitaran keluarnya darah yang dialami kesemua wanita secara berkala dan nifas di mana darah akibat kelahiran bayi masih mengalir.

Dua kategori melibatkan wanita ini membolehkan individu wanita itu untuk tidak berpuasa, kerana ibadah puasanya dianggap tidak sah sekiranya dilakukan. Membazir tenaga sajalah kalau dia masih cekal nak puasa.

Mana-mana wanita yang tidak menjalankan puasa wajib Ramadan bagaimanapun masih perlu menggantikan ibadah puasa yang tertangguh, mengikut tempoh hari di mana puasanya tidak dijalankan.

Gantinya sebaiknya dilakukan sebelum kehadiran bulan Ramadan tahun berikutnya, bagi mengelakkan denda bayaran beras atau fidyah mengikut kiraan hari yang gagal dilunaskan, dikenakan ke atas wanita itu.

2. Wanita hamil atau sedang menyusukan bayi

ibu hamil kewajipan berpuasa

Bagi wanita yang pernah merasai pengalaman menyusukan anak kecil, pasti mereka tahu betapa penatnya tubuh selepas setiap kali selesai menyusu kan? Itulah sebabnya keringanan diberikan kepada mana-mana wanita yang perlu menyusukan anak dalam bulan Ramadan.

Kebenaran ini bukan saja meliputi wanita yang menyusukan anak sendiri, bahkan turut meliputi wanita yang menjadi ibu susuan kepada anak pasangan lain dan juga anak berstatus luar nikah yang dibantu susuannya.

Walaupun demikian, sama seperti wanita yang sedang haid atau nifas - puasa yang ditangguhkan itu perlu diganti mengikut bilangan harinya. Dalam situasi tertentu berdasarkan keadaan wanita atau anak itu juga boleh memerlukan wanita itu membayar fidyah ke atas keringanan yang telah diterimanya.

Jika wanita itu perlu menyusukan suaminya, itu tidaklah boleh dianggap layak untuk tidak berpuasa ya. Nampak lawak, tetapi ini perkara yang perlu disebut.

3. Orang yang sakit

orang sakit hukum wajib puasa

Kategori ketiga orang yang dibenarkan tidak berpuasa melibatkan individu yang sakit yang dikategorikan berat, di mana apabila dia berpuasa risiko penyakit itu melarat menjadi lebih tinggi. 

Sebagai contoh, ada pesakit yang perlu minum air secara berkala bagi mengelakkan organ dalaman tubuh mereka rosak. Sekiranya mereka tidak minum air, tubuh mereka akan terkesan.

Status penggantian puasanya bergantung kepada kategori pesakit itu yang dibahagikan kepada dua; pertama dia ada harapan untuk sembuh dan yang kedua, dia tiada harapan untuk sembuh.

Bagi mereka yang boleh sembuh, mereka perlu menggantikan puasa yang tidak dijalankan selepas mereka sembuh. 

Sementara untuk individu yang tiada harapan untuk sembuh diiktiraf tidak lagi sesuai berpuasa sepanjang hayat, mereka tidak perlu berpuasa dalam bulan Ramadan tetapi perlu membayar fidyah untuk setiap hari mereka meninggalkan puasa.

Dalam erti kata lain, sekiranya doktor menasihatkan pesakit untuk tidak berpuasa - dengarlah. Perlu diperjelaskan - 'sakit hati dengan perangai orang lain' tidak diterima sebagai kategori sakit.

4. Orang yang menjalani prosedur perubatan

kewajipan puasa pesakit rawatan rongga

Untuk sesetengah individu yang tidak bernasib baik, mereka diberikan tarikh temu janji pemeriksaan perubatan yang kebetulan pula jatuh dalam bulan Ramadan. 

Bukan semua prosedur perubatan dianggap akan membatalkan puasa seseorang, kerana syarat jenis prosedur yang dibenarkan untuk tidak berpuasa haruslah difahami.

Secara asasnya, apa saja prosedur yang memerlukan peralatan seperti tiub atau kamera masuk ke dalam bahagian berongga badan seperti telinga, hidung, mulut, salur kencing dan sebagainya dianggap membatalkan puasa.

Selain itu, seseorang yang pengsan selepas diberikan ubat bius juga dianggap dibenarkan untuk tidak berpuasa. Bagaimanapun situasi ini dikatakan bergantung kepada selama mana dia pengsan. 

Seandainya dia sudah berniat puasa hari sebelumnya dan sedar ketika waktu masih siang, ibadah puasanya dianggap masih berlangsung.

Sekiranya dia berniat puasa tetapi kemudiannya dibius sepanjang tempoh sepatutnya puasa berlangsung, puasanya dianggap tidak sah dan perlu diganti.

5. Orang yang musafir

musafir kewajipan berpuasa

Musafir atau orang yang sedang dalam perjalanan turut diberikan pengecualian daripada menjalankan ibadah puasa Ramadan, asalkan perjalanannya merangkumi jarak melebihi 81 kilometer tak kiralah apa jenis pengangkutan yang digunakannya.

Walaupun demikian, puasa yang tidak dilakukan itu tetap perlu digantikan mengikut bilangan hari di mana dia tidak berpuasa.

Pasti ada yang tertanya-tanya sekiranya seseorang itu mampu berpuasa ketika bermusafir, adakah elok dia meneruskan ibadah puasa beliau atau lebih baik dia berbuka puasa lalu makan dan minum? Ada 3 pendapat di sini.

Kebanyakan mazhab berpendapat adalah lebih baik berpuasa daripada berbuka sekiranya mampu, kecuali Mazhab Hanbali yang memegang pendapat adalah lebih baik berbuka daripada berpuasa semasa dalam situasi musafir.

Pendapat ketiga pula bersifat jalan tengah, memberikan pilihan kepada individu itu bergantung kepada risiko mudarat yang boleh menimpa seseorang musafir. Sekiranya tidak berpuasa memudahkan dirinya, seeloknya dia tidak berpuasa.

5 golongan yang dibenarkan tak puasa

Seandainya dengan berpuasa individu itu merasakan lebih nikmat urusannya kerana tidak perlu menggantikan puasa serta memberi dia peluang untuk merasai pengalaman berbuka puasa bersama umat Islam di kawasan musafirnya, maka seeloknya dia teruskan ibadah puasa.

Jadi pilihan terletak di tangan anda sekiranya anda sedang dalam perjalanan pulang ke kampung. Kalau kawan sindir anda lembik kerana tak puasa walaupun naik kapal terbang, anggap sajalah itu sebagai cabaran Ramadan anda. Asalkan perjanan anda melebihi jarak yang ditetapkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)