Diaspora merupakan satu fenomena percambahan atau penyebaran sesuatu etnik atau kaum tertentu, yang pada asalnya datang dari kawasan tertentu ke satu kawasan lain - yang tidak ada hubungkait dengan sejarah atau warisan asal mereka selama itu.
Fenomena unik ini seringkali mewujudkan kontroversi yang kebiasaannya tercetus di kalangan masyarakat asal, yang sedikit sebanyak enggan menerima kedatangan 'kumpulan pendatang' ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun diaspora juga membantu menghasilkan kemajmukan masyarakat yang membolehkan perkongsian budaya dan adat resam berlaku dari generasi ke generasi.
Ada kalanya diaspora berlaku di kalangan masyarakat yang mempunyai identiti mirip tetapi ada juga situasi di mana diaspora berlaku, ibarat minyak yang dicampurkan dengan air. Berikut adalah 5 diaspora unik yang benar-benar berlaku di seluruh dunia.
1. Etnik Jepun di Peru
Antara percampuran etnik yang unik di dunia, berlaku di negara Peru selepas kedatangan orang Jepun ke situ pada penghujung abad ke 19, lebih tepat pada tahun 1899.
Bermula dengan kedatangan 790 orang petani Jepun ke Peru bagi mencari pekerjaan serta menimba pengalaman sebagai pekerja ladang tebu dan kilang gula, semua pekerja Jepun yang hadir ke situ diberikan kontrak kerja selama 4 tahun berkhidmat.
Walaupun demikian sebahagian besar antara mereka tidak pulang atas alasan masing-masing, menyebabkan berlakunya peningkatan populasi Jepun di situ yang meningkat kepada 30,000 ketika era perang dunia kedua.
Dikenali dengan nama etnik 'Peru Jepun', populasi mereka kini dianggarkan sekitar 160,000 orang.
Disebabkan oleh usaha kerajaan Jepun membantu individu berdarah Jepun di Peru yang terkesan akibat kemerosotan ekonomi, berbelas ribu orang etnik Peru Jepun memilih untuk pulang ke 'tanah asal' mereka, mewujudkan etnik Jepun Peru di Jepun pula.
2. Etnik Wales di Argentina
Percayakah anda di Argentina, wujud komuniti masyarakat Wales yang dikenali sebagai Wales Patagonia?
Patagonia merupakan nama kepada sebuah daerah yang terletak di bahagian selatan Argentina, yang terpilih sebagai pusat penghijrahan sekelompok orang Wales yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan di Wales yang dirasakan mengancam identiti mereka sebagai orang Wales!
Bermula awal abad ke 19 banyak pihak merasakan pemerintah Wales terlalu berkiblatkan England, mengutamakan pembangunan tidak terancang serta mengabaikan peranan penduduk desa dalam pemerintahan.
Bimbang sekiranya Wales menjadi sebahagian daripada koloni England, diaspora masyarakat Wales keluar mula berlaku ke beberapa negara luar. Salah satunya adalah Argentina. Kenapa Argentina menjadi pilihan?
Pada ketika itu, Patagonia menjadi rebutan antara Argentina dan Chile. Kerajaan Argentina membenarkan komuniti migran Wales berpindah ke Argentina, dengan syarat bersetuju untuk menetap di Patagonia.
Sementara orang Wales pula menetapkan syarat agar kerajaan Argentina membenarkan mereka mengekalkan identiti etnik dan bahasa mereka walaupun duduk di negara asing. Kedua-duanya berjaya mencapai persetujuan bersama.
150 orang Wales kumpulan pertama berlayar ke Patagonia pada bulan Mei 1865, tiba di Patagonia dan memulakan hidup baru mereka di negara yang amat berbeza dengan tanah asal mereka.
3. Etnik Kristang di Malaysia
Lebih dikenali dengan nama orang Serani berbanding nama rasmi mereka etnik Kristang, komuniti unik ini masih bertapak di negara kita sehingga ke hari ini.
Mereka berasal daripada percampuran masyarakat Portugis yang hadir ke Melaka (PDF) yang akhirnya memilih untuk berkahwin dan terus menetap di situ, meneruskan hidup bersama orang tempatan.
Kedatangan penjajah Portugis yang berlaku pada abad ke 16, menyebabkan pengenalan peraturan koloni Portugis yang menggalakkan agar warga Portugis yang hadir ke Melaka untuk mengahwini wanita-wanita tempatan.
Kerajaan Portugis pada ketika itu turut sama memberikan insentif kepada lelaki Portugis untuk cuba berhijrah ke kawasan koloni mereka seperti Melaka, bagi memperkembangkan pengaruh kerajaan mereka.
Hasilnya sehingga tahun 1604, lebih 200 pendaftaran perkahwinan lelaki Portugis dengan wanita tempatan bukan beragama Islam berlaku, menyebabkan penyebaran ajaran Kristian berlaku serta permulaan etnik baru Kristang, yang diklasifikasikan sebagai etnik Portugis Eurasia dalam daftar populasi negara kita.
4. Etnik Korea di negara bekas jajahan Soviet
Kita tahu komuniti yang tinggal di kawasan Siberia mempunyai darah kacukan mirip orang China, Mongol dengan orang Russia, tetapi tahukah anda di negara yang pernah duduk dalam kesatuan Soviet, wujud komuniti orang Korea yang agak besar?
Lebih dikenali dengan nama gelaran 'Koryo Saram' atau orang Korea, komuniti Korea ini menetap di Uzbekistan, Russia, Kazakhstan, Ukraine, Kyrgyzstan serta beberapa buah negara lain.
Uzbekistan mempunyai populasi terbesar Koryo Saram seramai 180,000 orang dan hampir 155,000 orang Korea memilih untuk menetap di Russia.
Semasa era kejatuhan Dinasti Joseon di Korea, kumpulan masyarakat Korea mula mencari alternatif bagi memperbaiki hidup mereka. 760 keluarga terdiri daripada 5,300 orang mula hadir ke kawasan sekitar Siberia bagi memulakan hidup.
Selepas Korea dijajah Jepun, migrasi lebih besar mula berlaku mengakibatkan jumlah populasi orang Korea ke kawasan sekitar negara kesatuan Soviet mula meningkat.
Sehingga ke hari ini komuniti yang dibawa gelombang diaspora ini terus berkembang dan kekal menjadi sebahagian daripada etnik rasmi di negara-negara yang menerima mereka.
5. Etnik Lebanon di Brazil
Komuniti diaspora terbesar dalam senarai ini, etnik Lebanon di Brazil kini telah mencecah hampir 7 juta orang kesemuanya menjadikan etnik tersebut sebagai komuniti masyarakat Arab terbesar di negara Amerika Selatan itu.
Komuniti terbesar etnik Lebanon di Brazil mendiami sebuah pekan bernama Foz do Iguacu, yang terletak di selatan negara tersebut; mempunyai populasi seramai 250,000 orang dengan lebih 90% daripadanya adalah etnik Lebanon.
Selebihnya orang Brazil Lebanon ini mendiami bandar-bandar seperti Sao Paolo, Rio Grande dan sebagainya tetapi Foz do Iguacu menjadi pilihan utama mereka sejak mula, ekoran kedudukannya yang sangat hampir dengan dua negara jiran Brazil iaitu Argentina dan Paraguay.
Orang Lebanon menjadikan pekan tersebut sebagai kediaman lalu mencari pendapatan di Argentina dan Paraguay, memudahkan mereka berulang alik antara negara.
Diaspora orang Lebanon ke Brazil telah bermula semasa era empayar Uthmaniyah sendiri, apabila komuniti beragama Kristian di Lebanon memilih untuk melarikan diri daripada ancaman yang mereka rasakan bakal menimpa mereka.
Apa yang sangat unik berkenaan komuniti ini adalah bagaimana mereka berkembang. Kami sudah menyebutkan tentang populasi mereka yang seramai lebih 7 juta orang kesemuanya.
Berapakah populasi negara asal mereka, Lebanon ketika ini? 6.8 juta orang semuanya. Ini bermakna golongan migran etnik Lebanon di Brazil lebih ramai daripada orang Lebanon di negara mereka sendiri.