Anda sukakan misteri? Pasti ramai yang gemar membaca tentang isu-isu misteri melibatkan konspirasi, serta perkara yang sukar untuk difahami minda kita.
Buku merupakan bentuk bahan bacaan yang telah lama wujud dalam pelbagai jenis, dengan aktiviti penerbitan buku sudah bertapak dalam tamadun manusia sejak dulu lagi. Walaupun budaya membaca sesuatu yang perlu dipupuk, kita pasti tahu kualiti buku itu sangat bergantung dengan isinya. Ada buku yang baik, ada buku yang tidak baik dan ada juga buku yang tak sepatutnya dibukukan.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimana pula dengan buku yang menyimpan 1001 rahsia di dalamnya? Tahukah anda tentang kewujudan buku seperti ini, yang telah lama mewujudkan perbincangan dan diskusi tentang apakah makna sebenar kandungan di dalamnya? Berikut adalah lima buah buku paling ganjil dan misteri, yang telah diterbitkan oleh manusia namun sehingga kini tidak dapat dirungkaikan sepenuhnya isi kandungannya.
1. Decretals of Gregory IX
Yoda dalam buku abad ke 13!
Decretals of Gregory IX juga dikenali sebagai Smithfield Decretals. Dinamakan sempena seorang paderi yang hidup pada abad ke 13 yang bertanggungjawab membukukannya. Pope Gregory IX dari Anagni, Itali diberikan tugas untuk membukukan peraturan dan undang-undang yang diperkenalkan oleh pihak gereja bagi kegunaan pengikut gereja mereka.
'Decretals' pada zaman tersebut merupakan sebuah jilid dokumen yang mengandungi teks peraturan dan arahan gereja yang digunapakai sebagai undang-undang am, dihias lukisan memaparkan corak-corak keagamaan dan mistik.
Penerbitan decretals merupakan satu perkara biasa pada zaman tersebut, namun decretals yang dikeluarkan Pope Gregory IX agak 'luar biasa' kandungannya. Ini disebabkan kebanyakan lakaran ilustrasi yang dipaparkan dalam jilid tersebut amat berlawanan sekali dengan teksnya.
Tidak diketahui apa sebenarnya terjadi semasa jilid ini disiapkan, tetapi visual ilustrasi di dalamnya yang menghiasi peraturan-peraturan gereja memaparkan objek aneh, seperti siput yang bersaiz gergasi, beruang menyerang kuda unicorn, arnab menunggang manusia dan yang paling popular - lakaran sejenis makhluk yang menyerupai Yoda daripada filem Star Wars.
2. Buku Soyga
Buku Soyga turut sama dikenali dengan nama 'Aldaraia' dan 'Aldaraia sive Soyga vocor', merupakan buku yang tidak diketahui siapa penulisnya. Kandungannya dikatakan berkisar kepada pembelajaran ilmu hitam dan mistik.
Kisah berkenaan buku ini menarik sekali untuk dibicarakan. Pada abad ke 16, buku ini dibeli oleh ahli matematik terkenal John Dee untuk mengkajinya - namun dia berdepan kekecewaan kerana gagal memahami isi kandungan buku tersebut, yang dipenuhi dengan simbol dan kod yang mustahil untuk beliau tafsirkan.
John Dee kemudiannya menemui perantara makhluk ghaib, dalam usaha untuk berkomunikasi dengan makhluk ghaib bagi memahami buku tersebut, namun usahanya tetap tidak membuahkan hasil.
Selepas kematian John, buku tersebut hilang sebelum dua versi yang dikatakan salinan manuskrip asal ditemui semula di Perpustakaan Bodleian, Universiti Oxford dan satu naskhah lagi di Perpustakaan Britain. Menurut kajian, buku Soyga mengandungi ilmu berkaitan magis, astrologi, ilmu kajian syaitan dan juga jampi yang mampu menemukan pemanggilnya dengan makhluk halus bagi tujuan-tujuan jahat.
3. Rohonc Codex
Salah satu buku paling misteri dengan usaha menterjemahkannya banyak menemui jalan buntu, Rohonc Codex sehingga kini menimbulkan tanda tanya pada mereka yang cuba mengkajinya. Ditemui pada abad ke 19 di Hungary, siapa penulis asalnya juga tidak pernah diketahui dengan tiada kewujudan sebarang petunjuk.
Apa yang mengagumkan, elemen yang dipaparkan dalam buku ini mempunyai elemen yang mirip dengan agama dunia seperti Kristian, Islam dan juga Hindu. Kesemua 448 muka surat buku tersebut turut sama mengandungi simbol dan teks yang sukar sekali difahami, dengan setiap helai kertas bercop dengan simbol sauh dalam bulatan.
Lakaran menggambarkan peperangan turut sama terkandung dalam buku ini, namun diselang-selikan dengan ilustasi visual keamanan pengikut Kristian, Islam dan kepercayaan pagan yang digambarkan mampu hidup dengan aman bersama-sama. Penggunaan simbol salib, bulan dan matahari di dalamnya kerap kali diulang seperti melambangkan satu petunjuk.
Sudah wujud pelbagai jenis hipotesis berkenaan apakah bahasa sebenar yang digunakan dalam buku ini, dengan banyak pendapat mengatakan ia adalah sejenis bahasa Hungary kuno atau bahasa Rom purba. Bagaimanapun sehingga sekarang, usaha menterjemahkan buku ini tetap menemui jalan buntu dalam merungkai misteri di sebalik kandungannya.
4. Manuskrip Voynich
Dianggarkan ditulis pada abad ke 15, manuskrip Voynich merupakan sebuah buku yang mengandungi keterangan berkenaan ilmu botani serta berkisar kepada ilmu-ilmu lain. Yang menjadi misteri kepada pengkaji dan penyelidik berkenaan buku ini adalah majoriti tanaman yang direkodkan dalam buku ini - tidak pernah ditemui di muka bumi.
Selain ilustrasi tanaman, manuskrip Voynich juga mengandungi beberapa bab yang menceritakan tentang ilmu astronomi dan astrologi, serta berulang kali memaparkan visual wanita mengandung tidak berpakaian yang dihubungkan dengan tanaman-tanaman seolah manusia dan tumbuhan itu satu.
Tidak diketahui siapa penulis asal buku ini, jadi manuskrip ini dinamakan sempena WIlfrid Voynich - pemilik buku yang memilikinya sejak tahun 1912, sebelum manuskrip ini didermakan kepada Universiti Yale pada tahun 1969.
Manuskrip Voynich menjadi salah satu misteri pengkaji buku-buku lama dengan ramai penterjemah cuba merungkaikan misteri kandungannya namun belum ada satu pun keputusan yang boleh dianggap tepat. Pada awal 2018, Universiti Alberta dari Kanada mengumumkan mereka sedang menggunakan teknologi kepintaran buatan yang mampu mengkaji 400 jenis bahasa, untuk cuba menafsir dan membandingkan bahasa-bahasa dalam pengkalan data dengan bahasa yang terkandung dalam manuskrip Voynich. (rujukan)
5. Les Propheties
'Les Propheties' merupakan tajuk asal buku tulisan Michel de Notre Dame atau lebih dikenali dengan nama terkenalnya Nostradamus. Dalam bahasa Inggeris, buku itu bertajuk 'The Prophecies.'
Les Propheties diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1555, mengumpulkan hasil tulisan terbaik beliau sebelum dua versi berikutnya memanjangkan lagi tulisan asal. Nostradamus menulis dalam bentuk yang digelarkan 'quatrains', sejenis format sajak empat baris yang ringkas untuk dibaca. Selepas kematiannya, 'Les Propheties' dilengkapkan lagi dengan hasil tulisannya sebelum meninggal dunia menjadikan versi keempat adalah kompilasi paling lengkap.
Sajak pendek Nostradamus tidak disusun mengikut kedudukan, diatur secara rawak serta ditulis dalam empat jenis bahasa, iaitu bahasa Perancis, Greece, Latin dan Occitan. Bagaimana Nostradamus boleh mendapat ramalan-ramalannya masih menjadi misteri hingga kini. Pendapat mengatakan Nostradamus menggunakan kisah-kisah dalam Bible dan sejarah dunia, sebagai panduan dalam mengagak apa yang akan berlaku.
Les Propheties banyak menceritakan berkenaan bencana alam, seperti wabak, gempa bumi, banjir dan peperangan - dengan beberapa hasil tulisannya kini didakwa benar-benar terjadi. Ramalan beliau yang dikatakan benar-benar berlaku adalah seperti insiden kebakaran besar di London, insiden tembakan Presiden Amerika Syarikat J.F.Kennedy, pengeboman World Trade Centre pada 11 September dan banyak lagi peristiwa besar dunia.
Nagi mereka yang skeptikal - Nostradamus dipuji sebagai seorang pengkaji yang pandai memanipulasi sentimen pembaca serta mempunyai cara tulisan yang agak kabur untuk difahami. Oleh yang demikian, pembaca tulisan beliau perlu membuat kesimpulan sendiri apa makna sebenar tulisannya, sehingga pembacanya seolah-olah nampak sesuatu yang sebenarnya tidak ada.
Atas sebab itulah dikatakan ramai pihak nampak Nostradamus seolah-olah mempunyai keupayaan untuk meramal masa depan, walhal apa yang berlaku adalah pembaca itu sendiri mahu kesimpulan mereka selepas membaca tulisan beliau jadi realiti - menyebabkan minda pembacanya meyakinkan diri sendiri tulisannya benar-benar terjadi.Benar atau tidak, kami sendiri tidak tahu.