Setiap negara mempunyai bendera masing-masing yang dianggap sebagai simbol identiti sesebuah negara.
Daripada rekaan bendera itu sendiri menceritakan pelbagai perkara tentang ciri-ciri amalan negara tersebut, melalui penggunaan warna, simbol dan corak yang diletakkan pada bendera negara masing-masing.
Ada beberapa corak rekaan bendera di dunia ini yang unik dan agak berbeza. Berikut adalah 5 rekaan bendera yang mempunyai keunikan tersendiri dapat kami himpunkan sebagai penambah pengetahuan anda semua.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Bendera yang bentuknya paling unik
Satu-satunya bendera rasmi negara dunia yang tidak menggunakan bentuk segi empat, bendera Nepal menggunakan gabungan dua bentuk yang digelarkan 'pennon'.
Menggunakan 3 warna, dengan warna merah melambangkan bunga rhododendron, bunga rasmi negara Nepal, warna biru sebagai lambang keamanan dan dihiasi dengan logo matahari dan bulan. Pada awalnya, dua logo matahari dan bulan itu mempunyai wajah manusia, namun diubah pada tahun 1962.
Untuk melukis bendera Nepal agak sukar kerana ketepatannya memerlukan nisbah pembahagian kedua-dua pennon yang tepat. Oleh kerana itu, sudah banyak kali sebenarnya kesilapan dilakukan oleh pihak penganjur seperti Sukan Olimpik dalam mencipta semula bendera negara Nepal.
2. Bendera yang memaparkan senjata api
Bendera negara Mozambique merupakan salah satu daripada dua bendera di dunia ini yang meletakkan senjata api pada rekaannya. Senjata api yang digunakan bukan calang-calang, ia adalah replika sebuah senapang AK-47 dengan bayonet dipasang dihujungnya.
Negara Guatemala juga meletakkan dua laras senapang jenis musket pada rekaan bendera rasmi negara mereka, yang menjadi simbol kepada masyarakat Guatemala yang akan mempertahankan diri dengan kekerasan sekiranya diserang.
3. Bendera paling senang nak buat
Sebelum ditukarkan kepada bendera Libya sekarang pada tahun 2011, bendera rasmi Libya adalah sebuah bendera kosong dengan warna hijau, yang dipilih sendiri oleh Muammar Gaddhafi bagi menyatakan ideologi politiknya.
Asal usul bendera ini datangnya daripada buku The Green Book tulisan Muammar yang diterbitkan pada tahun 1975. Warna hijau dipilih bagi memaparkan identiti Islam kerajaan Muammar Gaddhafi dan digunakan dari 1976 sehinggalah beliau dijatuhkan pada tahun 2011.
4. Bendera yang ada dua muka berbeza
Keunikan bendera Paraguay terletak pada dua rekaan berbeza yang dipaparkan pada bahagian hadapan dan belakang bendera negara tersebut. Pada bahagian hadapannya memaparkan jata kebangsaan negara Paraguay yang memaparkan perkataan 'Repubclia Del Paraguay' diapit oleh dua pohon pokok zaitun, dengan satu bintang ditengahnya.
Pada bahagian belakang bendera Paraguay pula, jata negara mereka digantikan dengan logo perbendaharaan negara mereka, yang memaparkan singa berdiri di sebelah sebatang kayu yang dipakaikan phyrgian cap serta motto yang tertulis 'Paz Y Justicia' atau 'Keamanan dan Keadilan.'
5. Bendera segi empat sama
Dalam banyak-banyak bendera di dunia, bendera kedua-dua negara ini sahaja yang secara rasminya menggunakan bentuk segi empat sama. Bendera Switzerland memaparkan latar belakang merah dengan simbol palang berwarna putih.
Sementara itu, bendera rasmi Vatican City pula memaparkan dua bentuk kunci yang menggambarkan 'Keys of Heaven' mengikut kepercayaan ajaran Kristian dan mahkota yang digelarkan 'papal' yang dipakai oleh paderi Gereja Katolik.
Secara rasmi, bendera asal mereka berbentuk segi empat sama tetapi sekiranya anda melihat bendera kedua-dua negara ini dikibarkan dalam bentuk lain, itu adalah variasi kepada bendera rasmi kedua negara tersebut.
Anda tahu ada tak beberapa bendera lain di dunia yang mempunyai keunikan tersendiri? Kongsikan pengetahuan anda bersama-sama.