Oleh pada 19 Aug 2023 kategori

Sejarah berkenaan penciptaan, melibatkan individu-individu yang menjadi pereka pertama sesuatu alat atau objek yang akhirnya digunakan seluruh dunia - biasanya berpaksikan kepada rekod-rekod penciptaan sarjana barat.

Ekoran daripada pengaruh barat ke atas pencatatan sejarah, nama-nama tokoh mereka sudah jadi terlalu sinonim dalam dunia rekaan, dikreditkan sebagai pengasas, pencipta dan diabadikan dalam buku teks sejarah yang diajarkan ke seluruh dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun demikian wujud beberapa rekod sejarah alternatif yang membawakan kisah berbeza, kurang diketahui tetapi tetap penting untuk kita tahu serta cakna tentangnya.

1. Alexander Graham Bell bukan pencipta telefon

meucci pencipta sebenar

Sebut tentang peranti telefon serta evolusinya yang kini sudah sampai ke tahap canggih dan moden, nama Alexander Graham Bell akan disebut sebagai pengasasnya. Kami yakin anda pun sependapat dengan sejarah ini. 

Walaupun demikian, wujud banyak bukti menunjukkan pencipta sebenar telefon versi pertama adalah seorang migran dari Florentine, Itali bernama Antonio Meucci.

Seorang pelajar dalam bidang kejuteraaan mekanikal dan rekaan di Itali, Meucci menggunakan pengetahuannya membina sebuah sistem memudahkan komunikasi di dalam sebuah panggung teater.

Selepas menemui kaedah menyalurkan gelombang suara melalui elektrik melalui wayar sekitar tahun 1830, Meucci berhijrah ke New York, Amerika Syarikat untuk meneruskan kajiannya. Bagaimanapun masalah kurang kemahiran berbahasa Inggeris serta ketiadaan dana untuk mendaftarkan hak cipta ciptaannya mengekang Meucci.

Usaha mempatenkan rekaannya yang dinamakan sebagai telettrofono atau 'talking telegraph' gagal, sehinggalah 16 tahun kemudian Alexander Graham Bell berjaya mempatenkan rekaan beliau yang mempunyai prinsip serupa. 

2. Wright bersaudara pencipta kapal terbang?

sejarah penciptaan lain daripada buku teks

Pernahkah anda mendengar nama Alberto Santos-Dumont? Pasti jarang kedengaran kan? Dumont adalah seorang warga Brazil daripada keluarga hartawan, yang menetap di Perancis.

Walaupun beberapa kali cuba melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, Dumont culas kerana lebih minat menghabiskan masanya mengkaji berkenaan penerbangan. Hobi sejak kecil itu akhirnya membawa dia kepada banyak eksperimen untuk membina mesin yang membolehkan manusia terbang.

Hasil sokongan dana serta bantuan kumpulan pakar aeronautik lain, Dumont dan pasukannya berjaya membangunkan sebuah pesawat kecil bernama 14-bis, yang direkodkan secara rasmi oleh badan pembangunan aeronautikal Perancis pada 23 Oktober 1906.

Pesawat itu direkodkan menjadi pertama berjaya terbang pada ketinggian 16 kaki dengan jarak sejauh 25 meter. Uniknya, demonstrasi itu dilakukan di hadapan orang awam berbanding penerbangan Wright bersaudara yang dibuat secara tertutup.

Pencapaian Dumont bagaimanapun tidak diiktiraf masyarakat barat ekoran status adik-beradik Wright yang lebih popular.

SItuasi ini menyebabkan nama Dumont yang didakwa sebagai pencipta pesawat pertama dunia tenggelam, hanya diraikan di tanah kelahirannya Brazil yang terus meletakkan Dumont sebagai salah seorang tokoh negara mereka.

3. Siapa pencipta sebenar lampu mentol?

siapakah pencipta sebenar

Nama Thomas Alva Edison sering disebut sebagai pereka sebenar lampu mentol, yang memang merupakan antara ciptaan paling penting dalam tamadun manusia moden. Walaupun demikian rekod sejarah berkenaan topik ini sebenarnya ada ralatnya.

Ini kerana terdapat sebuah rekaan mentol lebih awal berasaskan elektrik, yang telah dicipta jauh lebih awal berbanding rekaan Edison. Mentol pertama dunia direka oleh pencipta bernama Humphry Davy, kira-kira 60 tahun lebih awal sebelum mentol Edison popular.

Dengan menggunakan gentian karbon yang dihubungkan dengan bateri, arus elektrik dalam bentuk lengkungan akan terhasil seterusnya menghasilkan nyalaan pada karbon yang dicas. Rekaan ini menjadi ciptaan mentol pertama dunia yang dilabelkan sebagai 'lampu lengkung' atau 'arc lamp.'

Walaubagaimanapun rekaan Davy masih ada banyak kelemahan, khususnya pada rekaannya serta penyelenggaraannya.

Versi mentol yang dihasilkan Edison berjaya memperbaiki versi asal Davy, seterusnya mula digunakan secara meluas sehinggakan Edison lebih terkenal sebagai pencipta mentol berbanding Davy, yang sepatutnya dikreditkan sebagai pencipta asalnya.

4. Bolehkah anda namakan pencipta TV? 

siapa yang mereka alat televisyen

Walaupun boleh ditemui di majoriti kediaman, restoran dan pelbagai lagi premis, televisyen atau TV serta sejarah penciptanya jarang kita ceritakan. Entahlah kenapa.

Mungkin disebabkan oleh pelbagai kontroversi yang membelenggu catatan sejarah berkenaan penciptaan TV, mengakibatkan nama sebenar pereka TV jarang disebut dalam lipatan sejarah.

Secara amnya, TV dikatakan ciptaan syarikat elektronik RCA tetapi jarang sekali diceritakan apa yang benar-benar berlaku disebaliknya.

Philo Farnsworth adalah anak seorang peladang berkepercayaan Mormon yang berminat dengan kejuruteraan elektrik,  kimia dan fizik sejak sekolah, idola beliau adalah tokoh-tokoh pencipta zaman tersebut - yang memberikan beliau idea untuk mencipta sejenis alat yang mampu memancarkan imej.

Lakaran kasar rekaan Fansworth yang dibuat pada awalnya di atas papan hitam kelas semasa sekolah, akhirnya berjaya disiapkan oleh Farnsworth pada tahun 1926. Dinamakan sebagai 'image dissector', syarikat RCA yang menyedari potensi peranti tersebut cuba menawarkan pembelian paten rekaan itu dari Farnsworth namun ditolak.

Selepas gagal dengan cubaan itu, RCA kembali lagi dengan dakwaan berbeza bahawa rekaan Farnsworth sebenarnya bukan TV pertama sebaliknya seorang lagi pereka bernama Vladimir Zworkyin merupakan pencipta sebenarnya.

Untuk beberapa tahun 'perang paten' di antara Farnsworth dengan RCA dan Zworkyin berlangsung, sehinggalah Farnsworth mengalah. Dia bersetuju untuk menerima sagu hati USD1 juta daripada RCA, membolehkan RCA menjadi pemegang paten rekaan itu lalu memasarkan ciptaan itu sebagai 'televisyen.'




Hakcipta iluminasi.com (2017)