Para saintis kebanyakannya adalah orang yang jenis tidak banyak bercakap. Jika kita berbicara tentang stereotaip, seorang saintis seringkali dibayangkan sebagai si bijak yang berambut mengerbang tidak terurus, memakai jubah makmal sambil menulis di papan hitam yang penuh dengan formula. Namun, tidak semua saintis yang memenuhi kriteria 'nerd' klasik itu. Ada juga saintis yang dikenali atas sebab-sebab pelik dan tak masuk akal:
7. Hennig Brand
Bidang kimia pada hari ini dikenali sebagai sains yang sukar dan bersandarkan pada fakta. Namun, sejarah awal kimia bermula dengan sains alkimia yang percaya sesetengah bahan boleh ditransmisikan menjadi emas.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 1669, seorang ahli alkimia bernama Hennig Brand meyakinkan dirinya tentang kebarangkalian air kencing boleh ditransmisikan menjadi emas. Beliau kemudian mula mengumpulkan air kencing isteri dan rakan-rakan sebelum mendidihkan 5,700 liter urin tersebut di dalam bilik bawah tanah rumahnya.
Brand tidak dapat mencipta sebarang ketulan emas, namun hasil didihan air kencing itu telah menghasilkan satu sinaran yang terpancar dalam kegelapan. Setelah menjalankan proses alkimia dengan membiarkan urin itu sejuk dan mengeluarkan gas, Brand akhirnya menemui sejenis bahan putih yang pada hari ini kita kenali sebagai fosforus.
6. Fritz Zwicky
Jika anda melihat Fritz Zwicky, anda pasti sangka beliau seorang lelaki dengan kepintaran hebat kerana memerhatikan supernova dan tahu serba-serbi tentang semua perkara berkaitan jirim gelap. Namun, jika anda mengenalinya dengan lebih dekat, anda akan tahu sifat dan keperibadian Zwicky yang sebenar.
Dilahirkan di Bulgaria, Zwicky berhijrah ke Caltech, Amerika Syarikat pada tahun 1920-an dan terus mula membuat musuh dengan orang sekeliling. Bermulut lancang, Zwicky menggelarkan para ahli astronomi di Balai Cerap Gunung Wilson sebagai "anak h*ram berbentuk sfera" yang bermakna "mereka itu tetap dilihat sebagai anak h*ram jika dilihat dari sudut mana sekalipun."
Salah seorang rakan sekerjanya, Walter Baade, enggan ditinggalkan sendirian dengan Zwicky. Hal ini disebabkan Zwicky telah memanggil Baade seorang Nazi dan Baade berasa khuatir jika Zwicky ingin membunuhnya walaupun apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar. Namun, Zwicky tidak pernah membunuh sesiapa dan hanya meneruskan penyelidikan serta penulisan sehingga meninggal dunia pada usia 76 tahun.
5. William Buckland
William Buckland ialah profesor geologi terlatih pertama di Oxford dan seorang yang amat suka makan. Menurut tetamu yang biasa berkunjung ke rumahnya, menu makan malam yang biasa disediakan termasuklah hidangan pelik seperti tikus celup tepung, stik harimau kumbang, pai badak sumbu, belalai gajah, lidah kuda, ham kanggaru dan daging buaya untuk sarapan pagi.
Kesemua tetamu terpaksa menikmati hidangan-hidangan pelik ini sambil ditemani beberapa ekor hyena dan monyet peliharaan Buckland yang dibiarkan berkeliaran di dalam rumah.
4. Carl Wilhelm Scheele
Carl Wilhelm Scheele menemui sekurang-kurangnya enam unsur yang berlainan namun tidak menerima sebarang penghargaan. Saintis dan penulis Isaac Asimov menggelarnya "Scheele Si Malang" memandangkan kisah pencapaiannya dalam penerbitan saintifik selepas sesuatu penemuan adalah amat menyedihkan.
Beliau juga merupakan saintis pertama yang mengenal pasti potensi klorin sebagai peluntur komersial. Namun demikian, tiada tindakan lanjutan diambil menyebabkan Scheele gagal mengubah kehidupan menjadi orang yang kaya dan berjaya.
Hayat Scheele juga tidak panjang kerana menemui ajal ketika hanya berusia 43 tahun. Dikhabarkan kematian Scheele disebabkan tabiatnya yang suka merasa dan menghidu setiap komponen dan bahan kimia yang sedang digunakan. Saintis lain berpendapat kematiannya berpunca daripada pendedahan kepada bahan beracun secara berulang kali seperti merkuri dan arsenik.
3. Ernest Rutherford
Ernest Rutherford digelar bapa kepada fizik nuklear kerana beliau merupakan manusia pertama yang berjaya memisahkan atom. Beliau juga merupakan orang pertama yang secara teorinya telah mengatakan manusia mampu mencipta senjata atom.
Dengan badan tegap serta bersuara sangat kuat dan lantang seolah-olah sentiasa berada di atas pentas, beliau adalah seorang individu yang agak sukar dikawal. Walau bagaimanapun, keperibadiannya digambarkan sebagai orang yang boleh melemaskan dan menurut rakan-rakannya seperti James Chadwick, dia bukanlah seorang pengujikaji yang begitu hebat. Namun, Rutherford berhati cekal dan bekerja lebih keras daripada orang lain.
2. Anak-beranak Haldanes
Pasangan ayah dan anak Haldanes merupakan orang pertama yang membangunkan peralatan menyelam yang boleh diterima akal. Namun, mereka juga mempunyai sisi pelik tersendiri.
Seperti kebanyakan saintis lain yang sezaman, mereka perlu menguji sendiri hipotesis dan alat tersebut. Dikhabarkan eksperimen John Scott Haldane yang kerap menggunakan merkuri menyebabkan beliau menjadi pelupa. Pernah isterinya meminta beliau naik ke atas untuk menukar baju untuk ke parti makan malam tetapi beliau tidak turun-turun kembali. Apabila isterinya ke bilik, dia mendapati John Scott sedang tidur. John Scott memberitahu isterinya yang beliau menyangka ia sudah waktu untuk tidur.
Anak kesayangan John pula, Jack mengikuti jejak langkah ayahnya menjadi seorang saintis. Seawal usia 3 tahun lagi Jack sudah bertanyakan soalan seperti "Adakah ia oksihemoglobin atau karboksihemoglobin?" Apabila Jack sudah cukup matang untuk berganding bahu bersama ayahnya, mereka akan sama-sama melakukan eksperimen dalam air seperti menguji gas-gas berbeza dan melihat siapa yang akan pengsan terlebih dahulu atau berapa lama masa yang diambil untuk naik ke atas untuk mendapatkan udara selepas menyelam.
Adakalanya, Jack pergi terlalu jauh dengan eksperimennya. Apabila ditanya mengenai kerosakan pada gegendang telinganya akibat menyelam, Jack membalas bahawa gegendang itu akan pulih dengan sendiri. Sekiranya lubang itu masih kekal di situ dan dia menjadi tuli, dia masih mampu meniup asap rokok melalui telinga itu dan ia akan menjadi satu pencapaian sosial yang dibanggakan bagi dirinya.
1. Henry Cavendish
Henry Cavendish paling dikenali kerana penemuan hidrogen dan mengenal pasti ketumpatan Bumi. Namun, beliau lebih gemar sekiranya tiada sesiapa pun yang mengenali dirinya. Merupakan seorang yang pintar tetapi amat pemalu, Cavendish teramat malu sehingga perasaan itu menjadi seperti 'penyakit' bagi dirinya.
Cavendish terlalu fobiakan orang, terutama sekali kaum wanita. Malah, beliau membina satu tangga asing di belakang rumah agar tidak bertembung dengan mana-mana pembantu rumah wanita. Jika bantuan pembantu rumah itu diperlukan, Cavendish akan meninggalkan nota di tangga.
Walaupun begitu, Cavendish masih mampu keluar dan memunculkan diri di parti sains yang dianjurkan Sir Joseph Banks setiap minggu. Namun, Sir Banks akan memaklumkan terlebih dahulu kepada semua tetamu tentang cara yang betul untuk menyapa Cavendish. Jika mereka merasakan perlu untuk bercakap dengan Cavendish, mereka harus berjalan ke arahnya perlahan-lahan dan berpura-pura terserempak dengannya untuk memulakan bicara.