Apabila sesuatu bencana, konflik atau kemalangan berlaku, maka adalah sudah menjadi tanggungjawab kerajaan tempatan untuk melakukan usaha menyelamat tidak kira berapa mahal kosnya sekalipun. Kos yang tinggi ini biasanya disebabkan kos kepakaran dan teknologi yang digunakan untuk menyelesaikan sesuatu isu, kemalangan atau konflik tersebut.
Kes kehilangan kapal terbang Malaysia Airlines MH370 beberapa tahun dahulu dan misi menyelamatkan 12 orang murid yang terperangkap dalam sebuah gua di Thailand baru-baru ini merupakan antara misi menyelamat yang menelan kos yang besar. Malah, kes-kes ini juga menarik minat dan perhatian masyarakat antarabangsa sehinggakan ramai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan mangsa.
BESARKAN TEKS A- A+
Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 4 misi mencari dan menyelamat yang menelan kos paling mahal di dunia pernah dilakukan. Jumlah yang dinyatakan mungkin sekadar anggaran dan terdapat kemungkinan kos-kos lain yang tidak didedahkan oleh pihak yang terlibat atas persetujuan yang dilakukan.
1. Misi menyelamat pasukan bola sepak di Gua Tham Luang, Thailand
Pada 23 Jun 2018, satu pasukan bola sepak dari Thailand yang terdiri daripada 12 orang kanak-kanak baru sahaja selesai melakukan latihan sebelum mereka mengambil keputusan untuk ke Gua Tham Luang bersama seorang jurulatih mereka. Sewaktu di dalam gua, tanpa mereka sedar hujan sangat lebat di luar dan air mulai masuk ke dalam gua.
Aliran masuk air yang laju menghalang laluan mereka untuk keluar. Akibat paras air yang semakin tinggi, kumpulan kanak-kanak ini terpaksa mencari kawasan yang sesuai untuk menyelamatkan diri daripada lemas. Usaha mencari kanak-kanak ini mengambil masa kira-kira seminggu dan operasi menyelamat bertambah sukar kerana keadaan gua yang gelap dan aliran air hujan yang laju.
Kesemua mangsa berjaya diselamatkan selepas hampir 2 minggu dan misi ini telah meragut satu nyawa anggota Thai Navy SEAL bernama Saman Gunan. Misi menyelamat yang dilihat hampir mustahil ini mendapat perhatian dan bantuan antarabangsa antaranya pakar selam dari British dan pelbagai negara lain. Buat masa ini tiada angka yang dikeluarkan, tetapi kos keseluruhan misi ini sememangnya sangat tinggi ditambah lagi dengan seorang nyawa yang terkorban.
2. Misi menyelamatkan pekerja lombong di Chile
Apabila misi menyelamat Gua Tham Long dibincangkan, ramai pihak yang akan membandingkannya dengan misi menyelamatkan pekerja lombong di Chile yang mengambil masa yang sangat lama iaitu melebihi dua bulan. Dengan kedalaman lombong di Chile ini yang sangat dalam, ianya satu misi yang sangat merbahaya dan berisiko tinggi.
Pada 5 Ogos 2010, bahagian utama lombong di Copiapo, Chile runtuh sehingga menyebabkan 33 orang pelombong yang berada pada kedalaman 2300 kaki terperangakap. Ianya mengambil masa selama 2 minggu sebelum pasukan penyelamat berjaya berkomunikasi dengan 33 orang pekerja yang terperangkap. Kesemua mereka terpaksa bergantung kepada sisa makanan yang ada, biskut dan sedikit air untuk terus hidup.
Bagi menyelamatkan mangsa, satu lubang besar terpaksa ditebuk dari atas. Keseluruhan operasi menyelamat mengambil masa 69 hari. Walaupun kerajaan pada awalnya mengatakan mereka akan menanggung kos menyelamat, mereka kemudiannya telah menyaman syarikat lombong tersebut atas alasan kecuaian dan bagi memperoleh kembali $22 juta yang telah dibelanjakan bagi misi menyelamat tersebut.
3. Misi menyelamatkan tebusan Amerika Syarikat di Iran
Pada tahun 1979, telah terjadi satu konflik dimana kesemua pekerja di Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran, Iran telah ditahan dan dijadikan tebusan oleh pihak militan Iran. Tindakan tersebut dilakukan sebagai tanda protes tindakan Amerika Syarikat masuk campur dalam hal dalaman Iran.
Dalam konflik ini, 66 orang telah dijadikan tebusan sebelum 16 daripadanya dibebaskan tidak lama kemudian. Baki 50 orang lagi masih dijadikan tebusan sehingga 444 hari, iaitu melebihi setahun lamanya. Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Jimmy Carter telah mencuba pelbagai taktik termasuk rundingan namun semuanya gagal.
Akhirnya, kerajaan telah melancarkan operasi menyelamat yang dikenali sebagai Operation Eagle Claw iaitu menghantar sepasukan askar elit untuk menyelamatkan kesemua tebusan. Antara sebahagian rancangan ini adalah menghantar helikopter, trak dan juga jet pejuang. Malangnya, mereka tidak menyangka akan terjadinya ribut taufan yang menyebabkan 4 helikopter kemalangan dan membunuh 8 orang askar. Misi menyelamat ini telah menyebabkan kerugian $193 juta dan 8 nyawa yang terkorban.
4. Misi mencari kapal terbang MH370
Kapal Terbang Malaysia Airlines MH370 telah hilang daripada radar pada 8 Mac 2014. 227 penumpang dan 12 orang anak kapal hilang dan tidak dapat dikesan apabila pesawat tersebut telah terputus hubungan dengan menara pemancar, berubah haluan perjalanan dan tidak dapat dikesan oleh radar.
Pelbagai pihak telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat namun semuanya gagal. Dianggarkan kira-kira 30 buah negara telah menyertai misi mencari ini termasuklah Amerika Syarikat, China, Australia dan juga Malaysia. Terdapat pelbagai spekulasi yang muncul antaranya kapal tersebut telah terjunam ke dalam Lautan Hindi atau Laut China Selatan berdasarkan beberapa teori.
Beberapa serpihan dipercayai daripada MH370 telah ditemui di lautan tetapi ianya tetap tidak membawa kepada penemuan kapal terbang ini. Misi pencarian ini juga turut melibatkan penggunaan kapal ketenteraan milik pelbagai negara bagi mengesan kedudukan pesawat ini namun semuanya gagal.
Jumlah keseluruhan misi mencari kapal terbang MH370 ini tidak dapat dipastikan tetapi Malaysia dikatakan telah membelanjakan sekitar $8.6 juta, Vietnam $8 juta, Amerika Syarikat $11 juta dan Australia pula sekitar $44 juta. Kerajaan Malaysia secara rasminya telah mengarahkan operasi mencari dihentikan dan kesemua penumpang dan anak kapal diisytiharkan telah terkorban.