Perkahwinan adalah sesuatu yang semulajadi akan berlaku apabila manusia mula meningkat dewasa dan merancang untuk membina keluarga.
Bagaimanapun kekangan ekonomi serta masalah pekerjaan seringkali dilihat menjadi penghalang utama kepada perkahwinan, dengan desakan kewangan peribadi menjadi faktor yang melambatkan usia seseorang boleh berkahwin.
Pada usia berapakah orang ramai di sesetengah negara berkahwin dan rakyat negara manakah paling lama menangguhkan urusan perkahwinan mereka?
BESARKAN TEKS A- A+
Perkahwinan sedang mengalami pola menurun
Dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini, pola berlakunya perkahwinan telah mengalami penurunan yang ketara - khasnya di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.
Perbezaannya sangat jelas sekiranya kita membandingkan peratusan individu berusia 30-an yang sudah berkahwin antara dekad. Purata individu lelaki berusia 30-an yang berkahwin pada dekad 1940-an adalah 83% sementara menjelang 1980-an, angka ini menurun kepada 25%.
Sudah amat jarang sekali untuk masyarakat barat khasnya melangsungkan perkahwinan pada usia 23 ke 25 tahun, sebaliknya perkahwinan lebih banyak melibatkan pasangan yang sudah lanjut umur melebihi 30 tahun ke atas.
Lelaki di Ireland menjadi lelaki paling lambat berkahwin pada purata usia 36.8 tahun. Apa yang membimbangkan, wanita Ireland turut sama berkongsi takhta tersebut, berkahwin secara purata pada usia 34.8 tahun.
Ini menjadikan Ireland negara dalam dunia rakyatnya paling lambat nak melangsungkan perkahwinan.
Apa berlaku dengan pasangan Ireland?
Sejak tahun 1979, Ireland mencatatkan peningkatan konsisten purata usia individu pada perkahwinan pertama mereka. Sekitar dekad 1970-an, angka itu berada pada tahap 26.5 bagi lelaki dan 24.3 bagi perempuan.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada perubahan ini, dengan dua faktor dilihat menjadi penyebab utama; kemampuan ekonomi dan juga pendidikan.
Secara purata setiap pasangan di Ireland akan membelanjakan sekitar €29,624 atau RM144,530 sebagai belanja perkahwinan mereka, dengan hanya 45% daripada jumlah yang digunakan adalah wang sendiri.
Selebihnya pula hadir daripada pinjaman ibu bapa, pinjaman bank dan juga pemberian rakan taulan.
Desakan untuk individu menstabilkan kedudukan kewangan peribadi mereka terlebih dahulu sebelum berkahwin disamping perlu menyediakan amaun sebesar itu untuk perkahwinan, mendorong kebanyakan pasangan menangguhkan perkahwinan mereka ke waktu yang lebih sesuai.
Tahap pendidikan yang lebih baik dimiliki oleh lebih ramai orang, juga menyukarkan peluang pekerjaan mencukupi disediakan serta menghalang sebahagian yang lain memiliki sumber pendapatan tetap.
Terlalu ramai lulusan bertaraf ijazah saling berebut jawatan kosong, menyebabkan ramai individu di Ireland merasakan ada keperluan untuk mereka terus menyambung pengajian peringkat sarjana bagi menjamin peluang mereka.
Apakah lima negara paling lambat berkahwin?
Jika dibandingkan data terbaru, wujud perbezaan besar di antara negara dalam benua Eropah dengan negara-negara benua lain khasnya Asia dalam kiraan usia paling lambat berkahwin.
Terdapat 19 buah negara Eropah mempunyai purata usia perkahwinan pertama melebihi usia 30 tahun berbanding hanya 5 negara di Asia, iaitu Hong Kong, Jepun, Lubnan, Taiwan dan Korea Selatan.
Ireland menduduki tangga pertama, sementara Sweden, Iceland, Sepanyol dan Denmark menuruti tidak jauh di belakang menjadi lima negara paling lambat berkahwin. Kelima-lima negara ini turut mencatatkan purata melebihi 32 tahun apabila faktor jantina diambil kira.
Bagaimana dengan kita pula?
Bagi tahun 2019, lelaki di Malaysia mempunyai usia purata 28 tahun ketika perkahwinan pertama sementara bagi wanita pula 27 tahun. Untuk perkahwinan isteri kedua bagi lelaki pula, tidak diketahui pada umur berapakah akan berlaku biasanya.
Rujukan
Average age of Irish people getting married is now the oldest on record