Griffin Spikoski mungkin bukan nama yang terkenal pada majoriti masyarakat dunia, tetapi bagi mereka yang menggilai permainan video sensasi Fortnite - nama beliau menjadi sebutan ramai.
Saluran Youtube Spikoski yang memaparkan video beliau bermain permainan atas talian itu, mempunyai 1.2 juta pengikut dengan lebih 71 juta kali tontonan keseluruhannya. Pendapatan yang dijana beliau hanya dengan bermain Fortnite mampu membawa pulangan lumayan pada beliau.
BESARKAN TEKS A- A+
Tahun lepas saja dia berjaya membawa pulang pendapatan melebihi $200,000 setahun atau sekitar RM825,000 - lebih kurang RM68 ribu sebulan. Apa yang mengagumkan, Spikoski baru berusia 14 tahun.
Mendapat restu keluarga
Salah satu perkara yang paling sukar untuk beliau dalam kehidupannya sebagai seorang pelajar, adalah kesukaran untuk membahagikan masanya belajar di sekolah serta tugasannya sebagai seorang pemain Fortnite popular.
Spikoski yang menggunakan nama gelaran 'Sceptic' di Youtube, terpaksa mengambil langkah untuk memindahkan masa belajarnya di sekolah kepada pembelajaran secara dalam talian - bagi membolehkan dia fokus sepenuhnya pada kariernya.
Kedua ibu bapanya tidak menyangka anaknya sehebat itu, sehinggalah mendengar sendiri daripada orang lain apa yang telah berlaku pada nasib anak mereka. Ini kerana kedua ibu bapanya seakan tidak percaya anak mereka sehandal atlit elektronik professional, walaupun Spikoski sendiri memberitahu dia handal.
Selepas satu pertarungannya dengan seorang pemain Fortnite terkenal berakhir dengan kemenangan pada Spikoski, video rakaman perlawanan itu yang dimuatnaik ke Youtube mendapat jumlah tontonan sekitar 7.5 juta orang. Nama Spikoski atau lebih dikenali sebagai 'Sceptic' mula disebut-sebut dan populariti beliau meningkat naik.
Spikoski mula mengambil lebih serius peluang yang terbuka, mengutip $100 pertama melalui aplikasi Twitch dan dua bulan kemudian, melihat hasil pendapatannya meningkat berkali-kali ganda. Ibu bapanya mula melantik juruakaun serta penasihat kewangan bagi menguruskan wang yang mencurah masuk.
Cita-cita menjadi atlit elektronik professional terulung
Nama 'Sceptic' mula jadi lebih terkenal sehingga memberi tekanan pada Spikoski dalam kehidupan hariannya. Identitinya yang nyata berbeza di antara dunia nyata dan dunia dalam talian menyebabkan Spikoski perlu mengambil keputusan sukar; dia berhenti daripada persekolahan sepenuhnya dan bernasib baik tindakan itu disokong oleh kedua ibu bapanya.
Walaupun berat pada awalnya, kesungguhan anak mereka menyebabkan ibu bapanya belajar menerima karier baru anak mereka. Saudara mara yang sebelum itu skeptikal terhadap keputusan ibu bapa Spikoski juga tercengang mendengar pendapatan lumayan yang diperolehi Spikoski, hanya dengan bermain permainan video sepanjang hari.
Griffin Spikoski dibenarkan bermain permainan video sejak berusia 3 tahun, sedikit sebanyak membentuk persepsi dan minatnya terhadap permainan video sehinggalah sejak usia kecil lagi, dia memasang impian mahu menyertai pertandingan permainan video secara professional.
Persoalannya - adakah mereka yang skeptik dengan masa depan atlit elektronik ini mempunyai asas yang kukuh kenapa mereka berpandangan sedemikian atau atlit elektronik memang perlu dilihat sebagai satu peluang kerjaya baru, dengan minda yang lebih terbuka?
Apa pun pandangan anda, kejayaan Spikoski mencapai pendapatan hampir RM1 juta pada usia muda bukanlah satu kejayaan yang perlu dipandang enteng. Apatah lagi semuanya dilakukan hanya dengan duduk depan komputer saja.
Jika anda diberikan peluang serupa - mahukah anda mengambil keputusan seperti adik muda kita?
Rujukan