Siapa yang tidak suka makan aiskrim? Boleh dikatakan setiap lapisan umur meminatinya terutamanya kanak-kanak. Setiap negara mempunyai keistimewaan aiskrimnya yang tersendiri. Mari kita lihat antara negara yang mempunyai aiskrim yang terkenal di dunia dan wajib dikunjungi bagi peminat aiskrim:
1. Thailand - Rolled ice-cream
Mestipun rolled ice cream sudah mula boleh didapati di Malaysia, namun pada mulanya ia berasal dari negara jiran kita iaitu Thailand. Aiskrim ini terkenal kerana kehalusannya dan juga kepelbagaian perisa yang enak. Jika kamu berkunjung ke Thailand, jangan lepaskan peluang mencubanya.
BESARKAN TEKS A- A+
2. Israel - Halva ice-cream
Aiskrim yang berasal dari Israel ini menjadi kegemaran masyarakat di Timur Tengah. Antara yang paling diminati ialah aiskrim Halva yang dicampur dengan kacang pistachio.
3. Jepun - Mochi ice-cream
Negara matahari terbit ini terkenal dengan kuih Mochi. Aiskrim dari Jepun juga tidak ketinggalan dibuat menggunakan balutan kuih Mochi yang lembut. Terdapat pelbagai perisa aiskrim dengan corak kuih Mochi yang pasti membuatkan anda rasa sayang hendak makan.
4. Itali - Gelato
Di Malaysia, gelato kini semakin mudah didapati dan banyak terdapat di pusat membeli-belah di seluruh tanah air. Namun begitu, gelato ini berasal dari negara Itali dan paling sedap jika dinikmati di negara asalnya. Tidak perlu lagi diragui lagi kenikmatan rasa aiskrim yang lembut dan sedap ini walaupun harganya agak mahal.
5. Perancis - Foie Gras ice-ream
Di Perancis, terdapat terlalu banyak jenis aiskrim yang menyelerakan. Namun yang menjadi popular di sana ialah aiskrimnya yang dihidangkan bersama hati itik atau angsa. Jangan terkejut kerana aiskrim Foie Gras ini harganya boleh mencekik darah jika dibandingkan dengan aiskrim yang lain.
6. India - Kulfi ice-cream
Ais krim Kulfi ini merupakan hidangan tradisional masyarakat di India. Bukan sahaja menjadi kegemaran warga tempatan malah aiskrim ini juga telah dieksport memasuki pasaran antarabangsa ke negara sekitarnya termasuklah hingga ke Australia.
7. Iran - Faloodeh ice-cream
Aiskrim dari Iran ini biasanya dijadikan sebagai hidangan pencuci mulut yang agak mengenyangkan. Ini disebabkan ia biasa dihidangkan bersama mi yang diperbuat daripada tepung jagung.
8. Turki - Dondurma
Aiskrim yang berasal dari Turki ini memang sangat terkenal. Ia terkenal bukan semata-mata kerana rasanya tetapi kerana cara ia dijual. Biasanya penjual aiskrim ini akan membuat persembahan di mana pembeli akan "dibuli" terlebih dahulu. Setelah anda berjaya mendapatkan aiskrim ini, penjual akan membunyikan loceng tanda urusan jual beli selesai.
9. Filipina - Cheese ice-cream
Jika anda seorang penggemar aiskrim dan keju, maka anda perlu berkunjung ke Filipina yang sangat terkenal dengan aiskrim berperisa kejunya. Namun begitu, jangan makan terlalu banyak kerana dikhuatiri berat badan anda boleh naik dengan mendadak.
10. Jerman - Spaghetti ice-cream
Di Jerman, terdapat satu hidangan terkenal iaitu aiskrim spageti. Namun begitu, jangan keliru kerana ia hanyalah aiskrim yang menyerupai bentuk spageti sahaja. Biasanya ia dihidangkan dengan siraman kuah berperisa strawberi.
11. Alaska - Akutaq ice-cream
Akutaq membawa makna "campurkan semua" dalam bahasa Yupik. Aiskrim yang berasal dari Alaska ini mungkin salah satu aiskrim yang paling 'sihat' di dunia. Ini kerana ia diperbuat daripada bahan-bahan seperti lemak rusa, minyak ikan dan beberapa bahan tempatan yang lain yang sangat tinggi kalori. Jika anda hairan bagaimana rasanya aiskrim digabungkan dengan ikan, maka anda hendaklah berkunjung ke sana.
12. Amerika Syarikat - Frozen Yogurt
Aiskrim yogurt ini sangat digemari di Amerika Syarikat. Anda boleh mendapatinya di mana-mana bandar dan kawasan di sana. Ia biasa dihidangkan dengan pelbagai topping pilihan mengikut citarasa anda.
13. Taiwan - Snow ice-cream
Aiskrim yang berasal dari Taiwan ini mempunyai tekstur yang halus. Ia seakan-akan air batu campur (ABC) yang banyak terdapat di Malaysia. Mempunyai pelbagai perisa, ia juga boleh dihidangkan dengan pelbagai topping yang berbeza.
Walaupun nampak sedap semua aiskrim dari seluruh dunia ini, Malaysia juga tidak kurang hebatnya dengan aiskrim potong, aiskrim Malaysia, aiskrim goreng dan sebagainya.
Pendek kata, jika anda seorang penggemar aiskrim, tidak kiralah aiskrim dari benua mana sekalipun, ia pasti dapat memuaskan hati anda. Apatah lagi jika dinikmati dalam cuaca panas terik dan ketika tekak rasa dahaga. Pergh!