Ais krim. Hanya membayangkan rupanya saja sudah cukup untuk membuatkan kita rasa terliur - apatah lagi bagi mereka yang sedang merasa dahaga.

Susah untuk kita menemui orang Malaysia yang tak menggemari ais krim. Sejak kecil kita didedahkan dengan ais krim potong, ais krim Malaysia, ais kacang dan cendol - sebelum mula menemui kelazatan Cornetto, Vienetta dan aiskrim lain yang mula lebih tinggi harganya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda tertanya-tanya, siapa yang menemui cara menghasilkan ais krim dan kenapakah tab yang menggabungkan aiskrim vanila, coklat dan strawberi - dinamakan aiskrim neapolitan?

Siapa menemui cara membuat ais krim?

maharaja tang dinasti shang aiskrim

Walaupun sudah wujud beberapa usaha untuk menghasilkan ais krim dengan menggunakan salji yang dicampurkan dengan susu sejak era sebelum masihi lagi, ais krim yang mirip aiskrim yang ada sekarang, dipercayai bermula dari China.

Semasa pemerintahan Maharaja Tang ketika era Dinasti Shang sekitar abad ke 7, masyarakat zaman tersebut menemui cara untuk menghasilkan ais krim berperisa madu.

Maharaja Tang mengarahkan pekerja seramai hampir 100 orang bagi menghasilkan aiskrim, menggunakan gabungan ais, susu, tepung dan herba yang diambil daripada pokok kapur. Adunan itu akan disebatikan sebelum madu dimasukkan sebagai perisa.

Penemuan teknik membekukan sesuatu larutan dalam bekas yang disejukkan menggunakan salji dan garam memudahkan penghasilan aiskrim serupa, sebelum orang Arab memperkenalkan teknik penghasilan 'sharbat', mengadunkan sirap buah-buahan dengan ais serta susu dan gula yang memberikan rasa lazat yang kekal sehingga kini.

Selepas Empayar Islam menakluki Pulau Sicily di Eropah pada abad ke 8, orang Arab mula memperkenalkan teknik penghasilan 'sharbat' kepada masyarakat Eropah seterusnya memperluaskan lagi populariti aiskrim berperisa buah-buahan kepada dunia.

Kenapa gabungan vanila, coklat dan strawberi digelar neapolitan?

spumoni itali naples

Aiskrim neapolitan merupakan antara perasa aiskrim unik yang sangat mudah didapati di mana. Keunikannya terletak kepada gabungan perasa vanila, coklat dan strawberi yang terletak sebelah menyebelah tetapi tidak diadunkan sekali. Siapa punya idea nak buat aiskrim sebegitu?

Sejarahnya panjang tetapi kami akan cuba ringkaskan!

Bermula pada tahun 1880, berlaku migrasi besar-besaran orang Itali sejumlah 13 juta orang ke serata Eropah dan Amerika Syarikat, disebabkan oleh rasa bimbang masyarakat mereka kepada perubahan politik yang berlaku semasa proses Risorgimento - usaha menyatukan negeri-negeri Itali di bawah satu pemerintahan pusat.

Salah satu kawasan yang paling terkesan adalah Naples, di mana mereka akan diubah menjadi hanya sebuah negeri sedangkan ketika itu Naples adalah negara mereka sendiri.

Disebabkan ketidakstabilan politik - masalah sosial seperti pengangguran dan wabak mula berlaku, menyebabkan orang Naples memilih untuk keluar secara sukarela mencari negara baru tidak mahu duduk di bawah rejim kerajaan baru akibat rasa kurang puas hati dengan keputusan yang diambil.

Membawa resipi tradisional masyarakat Itali

spumoni mint itali

Orang Naples terkenal sebagai pengusaha sejenis manisan yang dinamakan sebagai spumoni, gabungan aiskrim 3 perisa ke dalam satu hidangan. Spumoni tidak terhad kepada vanila, strawberi dan coklat sahaja - malahan spumoni sebenar mempunyai variasi yang sangat pelbagai.

Kehadiran mereka ke Amerika Syarikat membawa bersama resipi spumoni, mempopularkan ais krim unik gabungan mereka sehinggakan warga Amerika Syarikat merujuk aiskrim itu sebagai 'Neapolitan' yang mewakili tempat asal mereka, Naples.

Oleh kerana di Amerika Syarikat 3 perisa paling popular adalah vanila, coklat dan strawberi, permintaan terhadap spumoni yang menggabungkan ketiga perisa itu mula popular.

Ini memulakan trend 'aiskrim neapolitan' yang sehingga kini dikenali sebagai gabungan ais krim vanila, coklat dan strawberi dalam satu hidangan.

Pengenalan Hari Aiskrim Sedunia

ronald reagan aiskrim

Bagi memaktubkan populariti aiskrim dalam budaya popular masyarakat mereka, kerajaan Amerika Syarikat memulakan apa yang kita kenali sebagai 'Hari Ais Krim Amerika Syarikat' melalui undang-undang khas Presiden pada 9 Julai 1984 oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Ronald Reagan.

Dengan pengisytiharan itu, gabungan negeri dalam Amerika Syarikat bersetuju untuk menamakan bulan Julai tahun 1984 sebagai 'Bulan Aiskrim Nasional' sementara tarikh 15 Julai 1984 sebagai 'Hari Aiskrim Nasional.'

Dalam ucapan beliau sempena pengenalan undang-undang baru itu, Presiden Reagan menyeru agar semua pihak memberikan sokongan penuh kepada perayaan itu, sama-sama meraikannya dengan acara dan sambutan yang meriah. Beliau juga mengingatkan orang ramai bahawa aiskrim merupakan makanan yang berkhasiat serta sedap dimakan.

Tradisi ini mula diikuti masyarakat negara luar yang mencintai aiskrim.

Kini setiap tahun penggemar aiskrim akan meraikan 'Hari Aiskrim Sedunia' pada setiap hari Ahad dalam minggu ketiga, bulan Julai setiap tahun.

Nota - Hmm. Sedap juga berbuka puasa dengan aiskrim hari ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)